Sekian lama Syafiqah menekur lantai perhentian bas, kedengaran titisan air hujan mula rintik di bumbung. Dia menghela nafas kemudian mendongak ke arah langit yang diselimuti oleh awan hujan.
'Aihhh.... langit pun tahu aku sekarang ni tengah sedih. Agak agak macam mana keadaan ibu sekarang? Tak sabarnya nak jumpa ibu. Sya rindu ibu' luah Syafiqah di dalam hati.
Semakin lama semakin lebat air hujan membasahi bumi. Kadang kala air hujan tempias terkenanya lalu dia mengesot sedikit ketengah bangku di perhentian bas. Syafiqah sedikit mengeluh kerana menunggu ayahnya agak lama. Sambil itu, sempat dia menilik jam tangan yang dipakainya.
'Lebih dari setengah jam ni. Hujan lagi lama lagi lebat, dah la aku sorang ja dekat sini. Ni mesti banyak kerja dekat pejabat. Tunggu jela Syafiqah oiii' sempat dia berseloroh di dalam hati.
Selepas beberapa minit, hujan yang agak lebat tadi beransur renyai. Tidak senang Syafiqah berada di situ kerana dia merasa diperhatikan oleh sesuatu 'benda'. Meremang bulu roma dibuatnya .
Sebenarnya sejak keluar dari sekolah dan ketika bertembung dengan Hanisah, dia sudah berasa sesuatu seperti ada mata yang memerhati walaupun tiada orang yang berada di situ selain mereka berdua. Namun Syafiqah masih dapat kawal reaksi wajahnya agar tidak timbul persoalan di benak hati Hanisah pada ketika itu.
"Tak cukup kau kacau ibu, dengan aku sekali kau cari ya, sabar Sya. Dah la aku sorang ja dekat sini. Jangan takut, bukan kau tak pernah tengok 'dia' kan," keluh Syafiqah perlahan.
Sementara itu mulutnya terkumat kamit melafazkan kalimah suci ayat al Quran dengan perlahan sebagai pendinding diri. Setiap kali dia merasa takut dan tidak tenteram, zikir dan amalan sunat yang lainnya menjadi penawar.
Lagipun, Syafiqah merupakan bekas pelajar pondok, dia dihantar masuk ke sekolah pondok sejak daripada sekolah rendah sehingga umur mencecah belasan tahun, tetapi terpaksa mengambil keputusan untuk keluar dari situ ketika umurnya enam belas tahun lalu berpindah ke sekolah yang berdekatan untuk menjaga ibunya kesihatan semakin merosot.
Sedang Syafiqah khusyuk melontarkan zikir dari mulut dengan wajah yang tertunduk sambil memejamkan mata, tanpa dia sedar sebuah kereta berjenama Honda Civic berwarna putih bersih sudah berada di hadapannya. Tersentak Syafiqah apabila kereta putih itu membunyikan hon.
"Astaghfirullahalazim, boleh pulak ayah tekan hon kereta macam tu. Jantung aku ni macam nak terkeluar dari badan ja, dah la 'benda' tu tengah 'skodeng' aku . Salah kau jugak sampai tak perasan ayah datang depan batang hidung kau, khusyuk sangat," kata Syafiqah perlahan sambil mengurut dada.
Setelah itu Syafiqah bangun dari tempat duduk lalu membuka langkah menuju kereta yang berada di hadapannya. Sampai saja Syafiqah di depan pintu kereta, dia membuka pintu kereta bahagian hadapan lalu meloloskan diri ke dalam kereta.
"Banyak sangat ke kerja dekat pejabat ayah, Ni kita nak balik dulu atau pergi pick up ibu dekat hospital terus?" soal Syafiqah tanpa mukadimah.
Sementara itu dia mengambil plan holder yang terbaring di belakang lalu diletakkan secara menegak di bawah. Kemudian beg sekolah diletakkan bahagian tengah belakang penumpang. Seatbelt yang berada di sisi ditarik kemudian dipasang.
"Aik, tak bagi salam dulu ke, lepas masuk dalam kereta tanya ibu terus. Tahu la rindu ibu, ayah ni cuma patung je dekat mata Sya," usik Saiful lalu berpaling melihat anaknya yang berada di sebelah.
"Ish, apa ayah mengarut ni. Ye la Sya lupa bagi salam, assalamualaikum ayahku sayang," balas Syafiqah sambil mengukir sedikit senyuman.
"Kenapa muka Sya nampak pucat semacam. Benda tu ganggu Sya sampai dekat sekolah ka? Soal Saiful sambil melihat wajah anaknya kelihatan seperti menyorokkan sesuatu darinya.
"Takde apalah ayah, dekat luar kan hujan, mungkin sejuk kot. Masa tu Sya duk berangan sampai tak sedar ayah dah sampai. Ayah pula hon kereta macam tu, Sya terkejut kut" jawap Syafiqah untuk menyedapkan hati Saiful.
"Sya jangan nak tipu ayah. Ayah kenal Sya bukan sehari ja tau," kata Saiful seperti ingin tahu. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke arah jalan raya di hadapan lalu mula menggerakkan kereta.
"Betul ayah, Sya tak tipu pun. Mungkin perasaan Sya je kot," balasnya sambil melihat jam di dashboard.
"Hmm yela. Bukan apa Sya, takut benda ni makin melarat. Ayah tak nak benda yang lepas berulang lagi. Ayah ada call ustaz, hujung minggu ni dia kata akan datang rumah kita," kata Saiful. Dia dapat mengagak apakah yang menganggu anaknya sebelum dia datang.
"Ok," balas Syafiqah pendek lalu mengalihkan pandangan melihat jalan raya di hadapan.
'kalau Sya bagi tahu ayah, perkara tu takkan merubah apa apa pun. Sya dah lali dengan semua ni. Panggil lah berpuluh puluh ustaz pun, 'benda' tu tetap ganggu keluarga kita. Terutamanya ibu. Harap adik tak kena kacau juga macam akak alami sekarang ni' lirih sahaja suara hatinya.
Waktu itu hanya muzik sahaja yang bermain di corong radio dalam kereta. Hujan yang agak lebat tadi telah berhenti. Syafiqah diam tak berkutik kerana memikirkan keadaan ibunya.
"Sya, kita terus pergi jemput ibu tau. Kita tak singgah rumah dah sebab lepas ambil ibu, ayah nak kena jumpa klien dari Negeri Sembilan," kata Saiful memecah kesunyian.
"Ooo" balas Syafiqah sambil mulutnya membuat huruf O tanpa mengalihkan pandangan.
Setelah itu, hanya bunyi suara DJ sahaja yang bercakap di dalam kereta.
Setelah hampir setengah jam perjalanan menuju ke hospital dari sekolah, dalam tak sedar, kereta yang dibawa ayah Syafiqah telah masuk perkarangan hospital lalu kereta itu diletakkan di tempat parking yang berdekatan dengan pintu masuk utama.
"Sya, kita dah sampai ni," kata Saiful dengan menarik handbreak kemudian mematikan enjin kereta.
"Ahh apadia ayah cakap, Sya tak dengar la," terpinga pinga Syafiqah bertanya kepada Ayahnya.
"Ni mesti berangan. Kita sampai dah, jom turun," jawap Saiful sambil membuka seatbelt lalu membuka pintu kereta dan melangkah keluar dari kereta.
"Eh jap, tunggu Sya ayah," terkocoh kocoh Syafiqah membuka seatbelt kemudian dia turut keluar dari kereta. Selepas itu dia mengikuti langkah Saiful yang sudah berjalan menuju ke arah pintu masuk utama.
"Sya pergi dulu. Ayah nak pergi kaunter kejap, Sya tahu kan dekat mana wad ibu," kata Saiful sambil mengeluarkan dompet dari celah poket seluar.
"Ayah dah bagi tahu kan semalam, Sya pergi dulu yah," selepas itu, dia membuka langkah menuju ke wad yang diduduki
ibunya.
'nasib baik ayah uruskan ibu supaya ditempatkan dekat single room. Dah lah tak jumpa ibu lima hari. Boleh lepaskan rindu dengan ibu' tersenyum dia sendiri mengingati wajah Ibu.
Berdiri terpacak Syafiqah di hadapan pintu wad ibunya. Dengan lafaz bismillah, dia membuka pintu lalu mengorak langkah masuk ke dalam bilik wad tersebut.
Selepas Syafiqah membuka pintu, dia melihat susuk tubuh seseorang sedang sibuk mengemas baju dan barangan peribadi ke dalam beg pakaian. Seseorang yang amat di rindunya.
"Ibuuuu!!!" jerit Syafiqah sambil meluru ke arah ibunya sedang duduk di birai katil sambil tersenyum lemah sebalik wajah yang cengkung dan agak pucat. Tetapi perkara itu tidak menghilangkan keayuan dari wajah tersebut.
Langsung dia terus memeluk ibu dengan erat sekali sehingga bergoyang sedikit katil hospital. Kepala Syafiqah di sembam pada bahu Faizatul lalu kedua belah tangan melilit pinggang ibunya. Lama mereka berkeadaan begitu.
"Anak ibu sihat?" soal Faizatul terhadap Syafiqah sambil tangan kanan mengusap lembut kepala Syafiqah yang berlapik tudung sekolah, sementara tangan kiri masih memeluk tubuh anaknya.
"Macam ibu tengok sekarang ni," kata Syafiqah dengan mengangkat kepala dari bahu Faizatul bersama senyuman nipis tanpa mengalihkan tangan dari memeluknya.
Tubir matanya terasa panas selepas melihat wajah ibu dari jarak dekat. Muka ibu pucat lesu dan menampakkan tulang pipi. Tangan Syafiqah yang masih berada di pinggang ibunya merasakan susuk tulang semakin kelihatan.
"Shhhhh, jangan nangis. Ibu tak apa apa pun. Tengok, harini ibu dah boleh keluar dah. Diya jangan risaukan ibu sampai abaikan pelajaran. Peperiksaan SPM lagi beberapa bulan ja. Selalu ibu tengok Diya ponteng sekolah sebab ibu. Jangan buat macam ni lagi ya. Ibu tak suka," tangan kanan Faizatul yang mengusap kepala Syafiqah di alihkan mengesat air mata Syafiqah telah tumpah selepas mendengar kata katanya tadi.
"Diya tak buat dah macam tu ibu. Ibu doalah dekat anak anak ibu supaya berjaya dunia akhirat, lagi lagi Ira. Minggu ni peperiksaan PT3 berjalan," ucap Syafiqah lalu merenggangkan pelukan kemudian mengeringkan air mata yang tersisa di tubir mata dengan sebelah tangan. Manakala sebelah lagi masih berada di pinggang ibunya.
"Tak pernah putus pun doa untuk anak anak ibu. Ibu mana yang sanggup mendoakan keburukan untuk anak anaknya. Ibu sayang anak anak syurga ibu. Diya tak beritahu Ira pasal ibu kan?" soal Faizatul.
"Tak bagi tahu pun ibu. Diya takut nanti ganggu adik nak jawap periksa. Ayah pun setuju dengan cadangan Diya," jawap Syafiqah kemudian dia mengubah kedudukan duduk di sebelah ibunya di atas katil.
Tersenyum Faizatul apabila melihat Syafiqah berkata begitu.
'maafkan ibu nak, ibu dah banyak menyusahkan kamu dua orang. Ibulah penyebab masalah semua ni' desis Faizatul di dalam hati. Terasa hangat tubir matanya. Cepat cepat dia mengalihkan muka supaya tidak dilihat oleh Syafiqah.
Dengan perlahan dia mengesat air mata yang telah selamat mendarat di pipi.
"Kenapa ibu, ada sakit dekat mana mana ke? Soal Syafiqah berbaur risau. Kerana dia dapat melihat perubahan air muka ibu sebelum mengalihkan pandangan ke arah lain.
Dia risau ada perkara lain mengganggu ibunya.
"Hm, Takde apa pun. Tadi ibu gatal mata je. Mana ayah?" soal Faizatul melihat wajah anaknya dan cuba mengubah topik.
"Ayah ada dekat kaunter, ayah suruh Diya pergi dulu tengok ibu. Kejap lagi ayah datang," jawap Syafiqah.
"Dah kemas ke semua barang barang ibu," soal Syafiqah.
"Sebelum Diya datang lagi ibu dah kemas. Tadi tu ibu nak cek je, kot ada barang yang tertinggal," kata Faizatul sambil menunjukkan beg pakaian di sebelahnya.
Tetiba pintu dikuak dari luar. Terjengul wajah Saiful di muka pintu. Dia melangkah masuk ke dalam bilik wad tersebut.
"Semua dah siap? Nanti takut tertinggal apa apa barang," soal Saiful lembut sambil melihat dua orang insan tersayang di hadapan.
"Semuanya dah, jom kita balik. Ibu pun dah cukup 'seronok' duduk dekat hospital ni," tergelak kecil Faizatul selepas menutur bicara sebentar tadi.
Sekilas Syafiqah berpaling melihat ibunya. Bibirnya menguntum senyuman.
'rindunya dengan gelak tawa ibu. Alangkah bagusnya perkara ni berterusan' bisik hati Syafiqah.
Saiful mengambil beg pakaian Faizatul yang berada di atas katil, manakala Syafiqah pula berjalan ke arah bucu katil lalu membuka kerusi roda yang sedikit terlipat . Kemudian dia menolak kerusi roda ke arah ibunya. Selepas itu, Faizatul melabuhkan duduk di situ. Perkara ini untuk memudahkan ibu Syafiqah akan kudrat tenaga untuk berjalan terbatas.
Sesudah itu mereka bertiga pergi meninggalkan bilik wad itu. Tetapi sebelum itu, tanpa mereka sedari ada sesuatu memerhatikan mereka di sebalik penjuru bilik wad tersebut.
Sorry kepada awak semua kepada yang tertunggu tunggu update novel ni. Lately ni saya buzy sikit. But selepas ni saya akan cuba untuk update novel ni secara kerap, bukan setiap hari yer :). Terima kasih atas sokongan dan dorongan awak semua selama ini. Akhir kata dari saya selamat hari raya Aidilfitri maaf zahir dan batin. Stay home, stay safe and love you all
Share this novel