Selepas solat Isyak malam itu, Syarhan melakukan panggilan video bersama keluarganya di Malaysia.
Wajah mak, ayah dan adiknya Syahirah muncul di skrin. Ada rindu yang membuak di dada Syarhan.
Dengan wajah sayu, dia berkongsi kebimbangan hatinya.
"Mak... Ayah... Syarhan rasa solat Syarhan tak sempurna.
Asyik lupa rakaat, kadang-kadang rasa was-was... Suasana kat sini bising, mak. Sukar nak khusyuk."
Mak tersenyum lembut, penuh tenang.
"Tak apa, Syarhan. Kalau lupa, sujud sahwi.
Itu tanda awak sedar kesilapan. Allah tahu...
Allah faham isi hati hamba yang terganggu.
Yang penting, jangan tinggal solat, nak. Teruskan je."
Ayah pula menambah:
"Kalau was-was, pegang pada yakin. Awak dah buat yang terbaik, selebihnya serahkan pada Allah."
Syarhan mengangguk perlahan. Hatinya terasa disentuh.
Mak sempat mengajar:
"Lepas solat, amalkan baca doa:
Laa ilaaha illa anta, subhaanaka inni kuntu minaz zhaalimiin.
Doa Nabi Yunus... supaya Allah lapangkan dada dan permudahkan urusan awak."
Syarhan mencatat di minda pesanan itu.
Dia sedar, walau sejauh mana dia pergi, keluarganya tetap menjadi tempat dia berpaut —
seperti akar pada pohon, kuat memegang walau ribut melanda.
Malam itu, Syarhan bersujud lebih lama dari biasa.
Dalam diam, dia menangis... mengadu pada Allah yang Maha Mengerti.
Beberapa hari selepas panggilan video itu, Syarhan mula tekun mengamalkan apa yang diajarkan maknya.
Setiap kali selepas solat, dia akan menunduk lebih lama, menekur hati yang masih bergelora dengan gangguan dunia.
Di saat dia terlupa rakaat, dia segera melakukan sujud sahwi — dua kali sujud tambahan sebelum salam.
Walaupun hatinya masih tidak setenang dahulu, sedikit demi sedikit ada ruang lega yang membuka dalam dadanya.
Dalam perjalanan ke tempat kerja dengan LRT yang sesak, Syarhan memegang tasbih kecil dalam poket.
Setiap butir yang digerakkan bibirnya mengulangi doa:
"Laa ilaaha illa anta, subhaanaka inni kuntu minaz zhaalimiin..."
Suatu pagi, dalam kesesakan manusia berpusu-pusu, dia termenung.
Bukan lagi kepada wajah dunia, tapi ke dalam dirinya sendiri.
Dia mula belajar untuk berdamai dengan suasana — bukan lagi melawan, tetapi mengisi hati dengan zikrullah.
"Sabar, Syarh... Allah sedang ajar kau sesuatu," getus hatinya.
Sampai di tempat kerja, Syarhan lebih bersedia menahan segala sindiran Torque dan rakan sekerja yang lain.
Dia memilih diam. Tidak lagi membalas. Tidak lagi terbawa dengan emosi.
Dalam diam, dia tahu...
Allah sedang memproses hatinya.
Share this novel