Bab 15: Tersentuh di Tepi Mihrab

Action Series 115

Langkah Syarhan sedikit berat saat dia menapak ke Masjid Al-Faizin petang itu.
Sejak kebelakangan ini, hatinya mula terasa kosong semula — dan dia tahu,
tempat terbaik untuk mencari ketenangan adalah di rumah Allah.

Usai solat Maghrib, seorang wanita berhijab labuh menegurnya dari sisi ruang luar masjid.
Loghatnya pekat dengan bunyi asing, namun wajahnya ramah dan tenang.

"Are you Syarhan? I always hear your name from the ustaz here," katanya lembut.

Syarhan sedikit terpinga.

"Yes, I am," jawabnya perlahan, agak kekok.

Wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Alyssa, mualaf dari latar belakang Kristian yang baru sahaja memeluk Islam tiga bulan lalu. Dia selalu menghadiri kuliah di masjid itu dan terbiasa mendengar nama Syarhan disebut ustaz sebagai pemuda yang konsisten hadir, walaupun sering disakiti.

"Don't give up, brother," sambungnya dalam nada yang menyentuh. "Allah sees your struggle."

Syarhan terpaku. Satu rasa asing meresap ke jiwanya — mungkin kerana kata-kata itu datang dari seseorang yang baru mengenal Islam, namun punya kekuatan luar biasa dalam menyebar harapan.

Malam itu, Syarhan pulang dengan hati yang lebih lapang.
Kadangkala Allah hadirkan cahaya bukan dari arah yang kita duga.

Beberapa kali Syarhan menjejakkan kaki ke Masjid Al-Faizin, dia mula perasan sepasang mata yang sering memerhatikannya dari sebalik tirai ruang wanita. Seorang perempuan muda, bertudung litup dan berwajah lembut, kerap datang awal ke masjid dan duduk diam di saf hujung, namun pandangannya seperti ingin menyampaikan sesuatu.

Syarhan tidak pernah menoleh secara langsung, tapi bayangan wajah perempuan itu terlintas di ruang fikirannya setiap kali dia melangkah keluar dari masjid. Sesekali mereka berselisih pandang dari jauh, perempuan itu sekadar tunduk malu. Dia kelihatan seperti berasal dari Indonesia, berdasarkan cara pakaiannya dan perbualannya sesama jemaah wanita.

Petang itu, selepas solat Isyak, ketika Syarhan hendak menyarung kasut, seorang budak lelaki kecil yang berlari-lari di halaman masjid menghampirinya dengan sebuah kertas kecil yang dilipat.

"Ni kakak suruh bagi," katanya sambil tersenyum malu.

Syarhan menyambut kertas itu perlahan. Di atasnya tertulis satu nota ringkas:

"Saya tak tahu kenapa hati ini rasa tenang tiap kali nampak abang. Jika ini ujian perasaan, semoga Allah jaga kita. Saya doakan abang kuat selalu."

Syarhan terdiam. Langit malam kelihatan bertabur bintang. Dalam benaknya, nama Insyirah tiba-tiba berputar kembali... dan dia tahu, ujian hati kali ini memerlukan keteguhan lebih daripada sekadar simpati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience