Malam itu, selepas membersihkan diri dan menenangkan hatinya yang berkecamuk, Syarhan mengambil telefon dan membuat panggilan video kepada keluarganya di Malaysia.
Wajah mak, ayah, dan adiknya Syahirah muncul di skrin, masing-masing tersenyum sebaik melihat Syarhan.
"Mak tahu anak mak kuat," kata mak dengan nada lembut, matanya berkaca.
"Allah uji sebab Dia sayang. Kalau rasa terlupa dalam solat, jangan sedih sangat. Itu tandanya Allah nak kau lebih bersungguh mendekat."
Ayah pula menambah, "Selepas solat, jangan lupa baca doa Nabi Yunus. Bacalah, Lailaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzalimin.
Doa orang yang diuji, yang menyerah bulat-bulat kepada Allah."
Syarhan tunduk, terasa sebak.
Syahirah pula, dengan suaranya yang riang, berseloroh, "Abang Syarh kuat macam Ironman kan? Tapi Ironman pun ada lemah dia!"
Mereka ketawa kecil bersama.
Biarpun ribuan kilometer memisahkan, hangatnya kasih keluarga itu seperti menjahit kembali koyak di hati Syarhan.
Dalam hati, Syarhan berazam — walau sesukar mana jalannya, dia akan bangkit, perlahan-lahan... dengan kekuatan doa dan cinta dari mereka yang percaya padanya.
Sejak malam itu, selepas setiap solat, Syarhan mula membiasakan lidahnya dengan lafaz:
"Lailaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin..."
Ayat itu mengalir perlahan, penuh penghayatan.
Pada mulanya, dia masih berasa kosong. Tapi lama-kelamaan, lafaz itu terasa seperti pelukan yang membalut luka jiwanya.
Hari-hari mendatang tetap berat.
Di tempat kerja, fitnah dan sindiran Torque masih berterusan. Di bas, pandangan sinis masih memburu. Di sekeliling, manusia tetap kejam dengan kata-kata.
Namun, dalam hatinya kini wujud ruang kecil yang mula dipenuhi dengan sabar, reda, dan keyakinan bahawa Allah melihat semua itu.
Pada suatu petang selepas solat Asar di surau kecil itu, Syarhan duduk bersandar pada dinding surau.
Dia memandang ke luar jendela, melihat langit kelabu yang mula beransur jingga.
"Ya Allah... kalau inilah jalan untuk Kau bimbing aku pulang kepada-Mu, aku reda... Aku tetap ingin bahagia, Ya Allah... Bahagia yang sebenar di sisi-Mu."
Untuk pertama kalinya selepas sekian lama, Syarhan merasa setitik kecil rasa tenang menitis ke dalam hatinya.
Share this novel