Langit malam itu terlalu gelap, seolah-olah Tuhan sendiri sedang menyimpan rahsia yang aku belum bersedia untuk tahu. Seperti hatiku yang penuh dengan tanda soal, malam ini terlalu sunyi sunyi yang mencengkam dari dalam.
Aku duduk di sudut paling hujung lounge mewah itu. Tempat yang biasanya hanya dikunjungi golongan atasan, atau mereka yang menyimpan kehancuran hidup di dalam jam tangan mahal dan senyuman palsu.
“Alia, kau okey?” suara Serena membelah lamunanku. Dia sudah meneguk separuh minuman dalam gelas tingginya, pipinya sedikit kemerahan.
“Dari tadi termenung je. Ingatkan kau yang ajak aku ke sini.”
Aku lemparkan senyuman nipis.
“Aku pun tak tahu kenapa aku ke sini malam ni. Mungkin sebab bosan. Mungkin sebab sunyi. Atau mungkin… aku cuma nak rasa sesuatu yang berbeza.”
Serena memerhati aku sejenak, sebelum matanya melilau ke sekeliling lounge.
“Tempat ni pelik sikit malam ni. Rasa macam... ada angin tak nampak tengah berbisik,” katanya, kemudian ketawa sendiri.
Aku tidak ketawa.
Aku hanya memandang ke arah pentas kecil, di mana seorang penyanyi wanita bersuara sengau menyanyikan lagu lama tentang hati yang dikhianati. Lampu malap, bau cerut dan minuman mahal memenuhi ruang.
Ironi, bukan? Lagu tentang kehilangan, dipersembahkan di tempat yang penuh dengan senyuman palsu dan pertemuan sementara.
Dan di saat itulah... aku melihatnya.
Lelaki itu.
Berdiri di bar, tubuhnya disandarkan malas, satu tangan menggenggam gelas kristal, satu lagi menyeluk poket seluar. Rambutnya disikat rapi, tapi ada kusut yang disengajakan.
Pandangan matanya tidak liar, tidak juga liar jinak. Dia tidak seperti lelaki-lelaki lain yang mencuri pandang wanita sambil menjilat bibir. Dia hanya... wujud. Tapi cukup kuat untuk buat aku lupa lagu yang sedang dimainkan.
Dia menoleh.
Dan pandangan kami bertembung.
Aku berpaling sepantas mungkin, jantung seperti mahu tercabut.
“Alia, bodohnya kau ni…” aku gumam perlahan.
“Siapa tu?” Serena sempat bertanya, mengerling ke arah bar. Tapi aku cuma geleng. Malu untuk mengaku jantung aku sedang berperang dengan logik.
Tapi semuanya sudah terlambat. Kerana ketika aku mengangkat kepala semula, dia sudah berjalan ke arah aku.
Langkahnya tenang. Gaya tubuhnya tidak dibuat-buat. Dia berdiri di hadapanku seperti seseorang yang tidak pernah ragu.
“Tempat ni terlalu sunyi untuk perempuan sepi,” katanya. Suaranya berat, rendah, tapi mendalam.
Macam suara radio waktu tengah malam yang buat kau rasa seperti satu-satunya orang yang wujud dalam dunia.
Serena mengangkat kening, sedikit tidak selesa. Tapi dia diam, memerhati reaksi aku.
“Aku Darren,” katanya. Hulur tangan dengan sopan. Jari-jarinya panjang, bersih.
“Aku Alia,” balasku. Aku genggam tangannya. Sekadar formaliti. Tapi tubuhku terasa bergegar kecil. Entah kenapa.
Serena akhirnya bangun.
“Aku ke tandas kejap, Kau dua berbual je lah dulu.” Katanya sambil tersenyum sinis
Dan kami hanya tinggal berdua.
“Jadi, Darren... kau nak apa?”
Dia renung aku, seolah-olah melihat lebih dari sekadar wajah dan gincu yang aku pakai malam itu.
“Aku cuma nak duduk di sebelah seseorang yang buat aku lupa dunia luar,” katanya.
Kata-kata itu terlalu manis. Tapi tidak seperti lelaki lain, dia tidak cuba menyentuh, tidak juga menjual harapan. Dia cuma... ada.
Tiba-tiba, seorang lelaki lain muncul dari sisi, berdiri dengan gaya yang sangat berbeza. Rambutnya disisir kemas, mengenakan sut kelabu lembut, dan matanya tajam seperti sedang menilai sesuatu.
“Darren?” suara lelaki itu penuh kejutan. “Lama aku tak nampak kau dekat tempat macam ni.”
Darren hanya memandangnya sekilas.
“Daim.”
“Masih main dengan masa lalu?” sindir Daim, sambil menjeling ke arahku.
Aku rasa sedikit tidak selesa.
Darren senyum nipis.
“Kau pun masih sibuk menilai orang dari jauh.”
Daim ketawa kecil, kemudian memandang aku.
“Jaga-jaga, Alia. Lelaki ni... dia simpan terlalu banyak rahsia. Kadang, yang nampak tenang tu sebenarnya paling bahaya.”
Aku tak tahu nak jawab apa. Aku pandang Darren. Dia tidak balas dengan marah, hanya pandang kosong ke arah Daim.
“Jalan kau tak sama dengan aku, Kau pergi jalan kau. Malam ni bukan tentang masa silam.”
Daim geleng, tersenyum sinis.
“Macam biasa, kau pandai sembunyikan segalanya dalam satu senyuman.” Dia kemudian beredar.
Aku menoleh semula ke arah Darren, sedikit terganggu.
Dia hanya senyum.
“Maaf tentang tu. Dia cuma… bayang masa silam aku yang tak tahu bila nak mati.”
Aku diam lama. Nafas aku pendek. Tapi entah kenapa, aku masih mahu dia di sini.
Kerana walaupun aku tak tahu siapa dia sebenarnya, dari cara dia bercakap, dari gerak tubuhnya, dari pandangan mata yang seperti menyimpan terlalu banyak luka...
Aku tahu. Dia bukan lelaki biasa.
Dan mungkin, itulah sebabnya aku tak mampu alihkan pandangan daripadanya.
Masih versi asal tetapi di ubah sedikit menjadikan ia sebuah cerita ber-episod..
Share this novel