Sudah dua minggu berlalu sejak malam itu. Dua minggu tanpa mesej, tanpa panggilan, tanpa wajah Darren yang menghantui aku setiap malam.
Tapi peliknya bayang dia tetap ada. Dalam setiap pantulan cermin. Dalam setiap detik aku duduk sendirian. Dalam setiap lagu yang berbicara tentang cinta dan pengkhianatan.
Aku kembali ke rutin.
Kerja, mesyuarat, makan sendirian.
Tapi semuanya seperti plastik.
Kosong.
Tidak berjiwa.
Ika, satu-satunya manusia yang masih peduli, mula menyedari perubahan aku.
“Alia… kau nampak macam mayat bernyawa,” tegurnya sewaktu makan tengah hari.
Aku senyum nipis.
“Aku hidup. Itu pun dah cukup.”
Dia meletakkan sudu, wajahnya serius.
“Aku tahu kau simpan sesuatu. Aku tak paksa kau cerita. Tapi aku cuma nak kau tahu, luka yang tak dirawat, akan bernanah. Dan bila bernanah, bukan hati kau saja busuk… tapi seluruh hidup kau.”
Kata-katanya tepat dan pedih.
Malam itu, aku duduk di birai katil. Pandang ke luar tingkap. Hujan turun perlahan, seperti mengerti tangisan yang aku tahan selama ini.
Aku bukan menangisi Darren.
Aku menangisi diri aku sendiri yang terlalu cepat percaya, terlalu mudah terpesona.
Aku sangka aku kuat.
Aku sangka aku tahu beza antara simpati dan cinta.
Tapi ternyata, aku juga perempuan biasa. Yang bila disentuh dengan kata manis dan pandangan mendalam, akan runtuh juga benteng yang aku bina bertahun-tahun.
Aku buka laptop.
Aku taip nama Darren Rizal.
Tiada apa.
Tiada profil.
Tiada jejak.
Seolah-olah dia hanya wujud dalam kisah dongeng gelap aku sendiri.
Lalu aku buka satu dokumen baru, dan aku mula menaip.
Tapi bukan kerana dia tampan. Bukan kerana dia pandai berkata-kata. Aku suka dia kerana dia buat aku rasa dilihat, untuk pertama kali dalam hidup aku.
Dan itu, adalah racun paling manis yang pernah aku rasa.
Aku menulis hingga pagi.
Mungkin aku tak mampu lupakan dia. Tapi sekurang-kurangnya, aku mahu faham kenapa aku jatuh untuk seseorang yang tak pernah dijanjikan untuk aku.
Dan ketika azan Subuh berkumandang, aku tahu satu perkara:
Aku mungkin telah kehilangan Darren… tapi aku takkan hilang diri aku sekali.
Aku berdiri di lobi bangunan baru syarikat tempat aku bekerja. Kami baru sahaja diserap masuk ke bawah kumpulan korporat antarabangsa, dan hari ini ialah hari pertama ‘pengurusan pusat’ membuat lawatan dan pembentangan.
Aku sepatutnya fokus. Tapi entah kenapa, ada satu rasa tak sedap sejak aku melangkah keluar rumah tadi.
"Alia, dia orang dari HQ dah sampai," kata pembantu CEO, Nadya, sambil menyemak senarai nama.
"CEO baru pun datang sekali."
Aku angguk.
"Okey. Aku masuk ke dewan sekarang."
Ketika aku duduk di kerusi barisan depan, pintu dewan besar terbuka.
Langkah pertama lelaki itu masuk jantung aku seperti berhenti.
Langkah kedua mataku membulat, tubuhku membeku.
Langkah ketiga dia pandang terus ke arahku, dan masa seperti berhenti berputar.
Darren.
Tapi bukan Darren yang aku kenal.
Dia kini berkot gelap, kemas, rambut disisir rapi. Wajahnya bersih, tenang, matang. Tapi matanya masih sama tajam, dalam, dan mampu menghancurkan segala pertahanan yang aku pernah ada.
"Selamat pagi semua," suaranya tenang, berwibawa. "Saya Darren Rizal, CEO baharu dari Kumpulan Lexicon."
Seketika, aku rasa seperti dunia mempermainkan aku.
CEO?
Aku tak tahu sama ada aku patut marah, kecewa, atau ketawa dalam ironi yang pahit.
Dia berdiri di depan, memberi ucapan ringkas. Dan sepanjang itu, aku hanya mampu duduk diam cuba menafsir apa maksud semua ini.
Selepas sesi, semua orang berkerumun di sekelilingnya. Tapi aku bangun, bersedia untuk pergi aku tak mahu jadi sebahagian daripada permainan ini lagi.
"Alia."
Langkahku terhenti.
Aku tak perlu berpaling. Aku tahu suara itu. Suara yang pernah membuat aku lena, dan juga menangis tanpa henti.
"Please… dengar aku sekejap."
Aku pusing perlahan.
Dia berdiri di belakangku, kali ini tanpa senyuman.
"Apa semua ni, Darren?"
"Nama penuh aku, Darren Rizal Al-Khaired. Aku tak tipu. Tapi aku sembunyikan sesuatu."
Aku ketawa hambar.
“Kau CEO. Tapi kau pilih untuk jadi gigolo?”
Dia angguk perlahan.
“Selepas ibu aku meninggal, aku tinggalkan dunia korporat sekejap. Aku… hilang arah. Aku salahkan dunia, diri sendiri, dan semua orang. Aku buang diri aku ke tempat paling gelap supaya aku tak rasa kehilangan.”
Aku geleng kepala.
Luka lama berdarah semula.
“Kau tahu tak apa kau buat pada aku?”
Dia telan air liur.
“Aku tahu. Dan aku tak harap kau maafkan aku. Tapi aku kembali bukan untuk sambung cerita lama. Aku cuma nak kau tahu… aku tak pernah layan kau sebagai bayaran. Kau satu-satunya yang buat aku rasa malu pada siapa aku ketika itu.”
Aku ingin percaya.
Tapi luka itu terlalu segar.
“Kenapa sekarang?” soalku.
“Kenapa kembali bila semuanya dah musnah?”
Dia senyum pahit.
“Sebab kadang-kadang, kita hanya hargai cahaya bila kita dah terlalu lama hidup dalam gelap.”
Aku tinggalkan dia tanpa kata. Kerana aku tahu… kalau aku terus berdiri di situ, aku akan lemas sekali lagi dalam lautan yang aku sendiri tak mampu berenang.
Mampukah Darren mendapat kemaafan dari Alia semula?
Share this novel