Sudah tiga malam aku ke lounge yang sama.
Dan setiap kali, aku berharap untuk bertemu lelaki itu semula Darren. Lelaki yang muncul seperti mimpi, dan hilang tanpa pesan.
Kenapa aku cari dia?
Aku sendiri tak ada jawapan yang memuaskan.
Yang aku tahu, sejak pertemuan itu, aku tidak mampu berhenti memikirkan matanya. Cara dia melihat aku bukan dengan nafsu, tapi seolah-olah aku ini sesuatu yang dia pernah hilang.
“Aku tak gila, kan?” aku tanya Ika, rakan sekerjaku, ketika makan tengah hari.
Ika pandang aku atas bawah.
“Kalau kau dah pergi tempat tu tiga malam berturut-turut semata-mata nak jumpa seorang lelaki yang kau tak kenal… aku rasa kau memang hampir ke arah itu.”
Aku ketawa kecil, tapi hati aku resah.
Malam keempat, aku nekad. Aku minta bartender di lounge itu seorang wanita berambut merah bernama Maya tentang Darren.
“Lelaki tinggi, kulit sawo matang, mata dalam… selalu duduk di bar.”
Maya pandang aku lama. Lalu dia geleng.
“Sis… you pasti ke nak tahu pasal dia?”
Aku angguk, walaupun hati aku tiba-tiba jadi berat.
“Nama dia memang Darren. Tapi dia bukan pelanggan. Dia… pekerja.”
“Pekerja?” dahi aku berkerut.
“Kerja apa?”
Maya tarik nafas.
“Dia lelaki simpanan. Gigolo. Pilihan wanita kaya yang sunyi. Dia tak layan sesiapa… kecuali yang bayar.”
Seketika, dunia aku jadi senyap.
Gambar-gambar dalam kepala aku meledak — senyuman misteri Darren, cara dia tenang, cara dia sentuh gelas kristal itu…
Semua jadi masuk akal. Dan semua juga, tiba-tiba terasa sangat tidak masuk akal.
Maya sambung perlahan.
“Tapi… dia tak sama macam yang lain. Dia pilih klien dia. Ada yang pernah tunggu berbulan-bulan, tapi Darren tak pernah sentuh.”
Aku diam.
Kepala aku berselirat. Antara mahu menafikan dan mahu tahu lebih banyak.
“Apa dia buat kat sini malam tu?”
“Kadang-kadang dia muncul saja. Tengok dunia. Duduk diam. Tak ada agenda. Macam dia tunggu sesuatu… atau seseorang.”
Aku pulang malam itu dengan hati penuh keliru.
Darren, lelaki pertama yang berjaya buat aku rasa hidup semula… rupa-rupanya gigolo?
Kenapa aku rasa lebih sakit dari sepatutnya?
Aku bukannya siapa-siapa. Tapi kenapa luka ini terasa terlalu dalam?
Dan yang paling aku takuti…
Kenapa aku masih nak jumpa dia semula?
Share this novel