Sudah lima hari sejak Darren muncul kembali dalam hidup aku dan sejak itu, hidup aku kembali kacau.
Dia tak mengganggu secara terus. Tapi dia ada. Dalam bilik mesyuarat. Dalam lif. Dalam email yang ditandatangani ‘Darren R.A.K.’
Dan semalam dia menghantar bunga.
Putih. Satu jambangan lili Casablanca dengan kad kecil:
Untuk hati yang pernah aku sakiti. Maaf itu belum cukup, tapi biarlah aku buktikan dengan masa. Darren.
Aku koyakkan kad itu tanpa baca kali kedua. Tapi bunga itu aku letak di atas meja kerja.
Kenapa aku tak buang?
Sebab aku masih manusia.
Sebab aku masih… perempuan.
Dan lebih daripada itu aku masih Alia. Yang hatinya pernah goyah pada seorang lelaki yang tak sepatutnya dicintai.
Malam Jumaat itu, Ika seret aku keluar makan malam.
"Alia, kau tak boleh terus hidup macam ni. Kalau kau tak nak dia, lupakan. Kalau kau masih nak, jangan seksa diri."
Aku geleng kepala.
"Aku tak tahu, Ika. Aku… tak tahu."
Kami sedang menunggu makanan bila seseorang datang ke meja kami.
Aku angkat muka dan mata aku membulat.
Darren.
Berbaju hitam kemas. Rambut sedikit kusut, wajah seperti belum cukup tidur. Tapi matanya hanya tertumpu padaku.
“Maaf ganggu. Aku cuma nak cakap satu perkara,” katanya perlahan.
Aku bangun.
“Di sini? Hadapan orang?”
Dia angguk.
“Di mana-mana pun, aku akan tetap kejar kau.”
Semua mata mula memandang. Tapi Darren tidak berganjak.
“Aku bukan lagi lelaki yang sama. Tapi aku juga tak minta kau terima aku sekarang. Aku cuma nak kau tahu… aku akan tunggu. Satu hari, satu minggu, satu tahun aku tetap tunggu.”
Suasana menjadi hening. Ika pun sudah terkaku, tidak sangka lelaki itu akan seberani ini.
Aku renung wajahnya.
“Dan kalau aku tak pernah buka pintu hati semula?”
Dia senyum perlahan.
“Aku akan tunggu di luar. Sampai hati kau lembut. Atau sampai aku mati kesejukan.”
Aku tak tahu sama ada aku nak tampar dia atau peluk dia.
Tapi malam itu, buat pertama kali sejak luka itu berlaku, aku tidur… dan tersenyum.
Hari-hari berikutnya berlalu dengan pelik.
Darren tidak lagi muncul tiba-tiba. Tiada pesanan. Tiada bunga. Tiada tekanan.
Dan itulah yang paling menyesakkan diamnya lebih menyakitkan daripada kehadirannya.
Aku mula tertanya sendiri: adakah dia benar-benar ikhlas menunggu, atau semua kata-kata itu hanya helah lelaki yang pandai bermain emosi?
Tapi hidup mesti diteruskan.
Dan di saat hati masih keliru, hadir seseorang yang lain Azim.
Seorang pengurus teknologi baru, dihantar dari syarikat rakan kongsi. Seorang lelaki yang tenang, sopan, dan hadir tanpa janji manis. Tapi setiap kata-katanya tulus. Setiap pandangannya bersih.
Perkenalan kami biasa, tapi perlahan-lahan, dia mula mendekat. Bukan dengan paksaan tapi dengan kehadiran yang selesa.
“Alia,” katanya sewaktu kami makan tengah hari bersama.
“Kalau aku cakap aku minat kau, kau akan lari?”
Aku senyum.
“Mungkin. Tapi bergantung kepada sejauh mana kau berani kejar.”
Dia ketawa kecil.
“Kalau aku kejar, aku takkan kejar bayang-bayang. Aku kejar orangnya.”
Aku terdiam. Hati aku bergetar tapi bukan kerana cinta. Kerana dilema.
Malam itu, aku termenung di balkoni rumah.
Darren pernah jadi luka aku. Tapi Azim belum jadi apa-apa. Dia pilihan baru. Mungkin lebih stabil. Mungkin lebih waras.
Tapi… kenapa bila aku bayangkan masa depan, wajah Darren yang muncul dulu?
Dan seolah-olah takdir tahu aku sedang goyah, telefonku berbunyi.
Satu pesanan ringkas.
“Aku tak janji jadi lelaki sempurna, tapi aku janji takkan ulang kesilapan yang sama.” D
Aku balas, akhirnya.
“Aku belum pasti apa aku rasa. Tapi aku masih di sini.”
Jawapannya datang tidak sampai satu minit.
“Itu dah cukup buat aku terus hidup.”
Keesokan harinya, aku terpaksa memilih.
Azim mengajak aku keluar makan malam makan malam pertama yang ‘bertujuan’.
Tapi Darren juga muncul di pejabat, memaklumkan secara terbuka bahawa dia akan ke luar negara selama dua bulan atas urusan pelaburan dan ingin berbual sekejap sebelum berangkat.
Dua lelaki. Dua arah. Dan satu hati yang belum sembuh.
Dan pada malam itu… aku memilih untuk tidak memilih.
Kerana kadang-kadang, bila hati masih penuh luka, memilih salah satu bukanlah kekuatan tapi bentuk baru kelemahan.
Share this novel