Sudah tiga malam aku ke lounge yang sama.
Dan setiap malam, aku duduk di tempat yang sama sudut kanan bar yang sedikit tersorok, di mana cahaya malap menyembunyikan keresahan di wajah aku.
Setiap kali aku meneguk minuman perlahan-lahan, pandangan aku akan meliar, mencari satu wajah yang aku sendiri tidak pasti kenapa begitu penting untuk aku temui semula.
Darren.
Lelaki itu muncul dalam hidup aku seperti mimpi tiba-tiba, mempesona, dan sebelum aku sempat kenal siapa dia, dia hilang tanpa jejak.
Bukan satu perkenalan yang panjang pun. Hanya satu malam. Satu perbualan ringkas yang tak sampai lima belas minit. Tapi entah kenapa, sejak itu, bayangan dia melekat dalam fikiran aku.
Kenapa aku cari dia?
Aku sendiri tak ada jawapan yang meyakinkan. Yang aku tahu, aku tidak mampu melupakan cara dia memandang aku. Bukan seperti lelaki lain yang melihat wanita dengan mata bernafsu.
Darren melihat aku seolah-olah aku ini sesuatu… yang pernah dia hilang. Ada kesedihan dalam pandangan dia. Ada cerita yang dia sembunyikan.
“Aku tak gila, kan?” aku tanya Ika, rakan sekerja aku, ketika makan tengah hari di sebuah kafe yang sering kami kunjungi.
Ika mengangkat kening, memandang aku dari atas ke bawah dengan wajah tak percaya.
“Kalau kau dah pergi tempat tu tiga malam berturut-turut semata-mata nak cari seorang lelaki yang kau tak tahu nama penuh pun… aku rasa kau memang hampir ke arah itu.”
Aku ketawa kecil. Tapi dalam hati, aku tidak setenang itu. Resah itu semakin menebal. Aku sendiri tak faham kenapa aku jadi begini.
Malam keempat, aku nekad.
Aku sampai lebih awal daripada biasa. Aku duduk, memesan minuman yang sama seperti malam-malam sebelumnya.
Hati aku berdebar, dan entah dari mana datangnya keberanian, aku panggil bartender yang sering aku lihat di situ. Wanita muda berambut merah terang, bergaya eksotik.
Namanya Maya, kalau tak silap aku terdengar orang panggil begitu sebelum ini.
“Maaf… saya nak tanya sesuatu,” suara aku agak perlahan, takut kalau terlalu jelas akan mendedahkan kerisauan yang aku simpan.
Maya senyum sedikit.
“Tanya je, sis. Kalau saya tahu, saya jawab.”
“Lelaki tinggi, kulit sawo matang… mata dalam. Selalu duduk kat bar, tenang. Nama dia Darren… awak kenal dia?”
Maya tiba-tiba terdiam. Pandangan dia berubah. Dia renung aku agak lama sebelum geleng perlahan.
“Sis… you pasti ke nak tahu pasal dia?”
Aku angguk.
Tapi jujurnya, aku sendiri tak pasti kenapa aku begitu yakin. Dalam hati, ada sesuatu yang terasa berat, seperti ada sesuatu yang bakal mengubah semuanya.
Maya mengeluh kecil.
“Nama dia memang Darren. Tapi dia bukan pelanggan.”
Aku berkerut dahi.
“Maksud awak?”
“Dia pekerja. Tapi bukan macam pekerja biasa. Dia lelaki simpanan. Gigolo. Pilihan wanita-wanita kaya yang kesunyian. Dia tak layan sesiapa… kecuali yang bayar.”
Dunia aku tiba-tiba jadi senyap.
Segala bunyi muzik lounge yang sebelum ini bergema dalam ruang tamu eksklusif itu hilang begitu sahaja. Apa yang tinggal hanyalah gema suara Maya dan dentuman degup jantung aku yang semakin laju.
Gambar-gambar dalam kepala aku mula meledak senyuman Darren, lirikan matanya, ketenangan dia, cara dia sentuh gelas kristal malam itu, cara dia bercakap seperti seorang yang hidup dalam dunia yang bukan miliknya.
Semuanya tiba-tiba masuk akal. Dan pada masa yang sama, semuanya terasa sangat tidak masuk akal.
Maya perasan perubahan riak wajah aku. Dia bersuara perlahan, seperti cuba menjelaskan sesuatu.
“Tapi… dia tak sama macam yang lain. Darren… dia ada cara sendiri. Dia pilih siapa yang dia nak layan. Ada wanita yang tunggu berbulan-bulan, tapi dia langsung tak sentuh. Tak pandang pun.”
Aku diam.
Tak tahu nak balas apa.
Kepala aku berselirat. Separuh daripada aku mahu menafikan semuanya. Separuh lagi mahu tahu lebih banyak.
“Apa dia buat kat sini malam tu?”
Maya angkat bahu.
“Kadang-kadang dia datang je. Duduk. Tengok dunia. Macam orang yang sedang tunggu sesuatu… atau seseorang.”
Aku pulang malam itu dengan langkah yang lebih perlahan daripada biasa. Jalan-jalan yang aku lalui terasa lebih gelap, lebih sunyi, walaupun lampu jalan masih menyala seperti selalu.
Di dalam kereta, aku hanya pandang ke depan. Tak ada radio, tak ada muzik. Hanya aku dan kekosongan yang semakin membesar dalam dada aku.
Darren.
Lelaki pertama yang buat aku rasa hidup semula… rupa-rupanya bukan siapa yang aku sangka.
Dia gigolo. Lelaki yang dibayar untuk mencintai. Lelaki yang menjual kesunyian untuk dibeli sesiapa saja yang mampu.
Kenapa aku rasa sakit?
Aku bukannya sesiapa dalam hidup dia. Tapi kenapa luka ini terasa terlalu dalam?
Kenapa rasa dikhianati ini hadir sedangkan dia tak pernah berjanji apa-apa pun?
Dan yang paling menakutkan…
Kenapa, walau setelah semuanya aku tahu, aku masih mahu jumpa dia semula?
Share this novel