12 || Hari Penilaian

Fantasy Series 2996

Tanpa mereka sedar, dua minggu berlalu begitu saja. Setiap hari mereka berempat belajar perkara baru, tingkatkan skil dan membaiki kelemahan masing-masing. Meskipun tidak mempelajari magi, namun Luz sedar dia sudah semakin kuat dan tenaganya tidak lagi mudah kehabisan. Tujuh hari digunakan oleh Luz dengan sebaiknya untuk melakukan latihan senaman seperti yang diarah oleh Even.

Rutin harian mereka berubah seratus peratus, tidak seperti di kala mereka di Diondell. Setiap pagi pada jam 5, mereka akan dibangunkan oleh suara Edra yang ceria. Selepas menghabiskan latihan, mereka akan dihidangkan dengan makanan tengahari yang melazatkan sebelum berehat. Dan waktu petang adalah waktu kegemaran Luz kerana mereka akan dibawa oleh Edra untuk melawat di setiap kawasan Moonhaven.

"Selamat petang, Dysis," Luz menegur wisp kecil yang sering membawa mereka ke Abilene.

Dysis berdecit. "Nak ke mana kali ini, alf muda?"

"Ke pantai," kata Luz dengan senyuman lebar.

"Awak memang sukakan pantai ya Luz," usik Dysis apabila ia membuka pintu ke tempat yang diinginkan oleh Luz.

"Ia sangat cantik! Airnya jernih dan dingin," kata Luz dengan teruja. "Saya tak sabar nak mandi lagi."

"Sebab itu awak tak bawa rakan-rakan awak sekali?"

Luz ketawa. "Mereka tu mudah takut. Takkanlah saya boleh lemas. Bukannya jauh sangat pun berenang," omel Luz bila teringatkan jeritan Stom apabila dia bergerak ke tempat yang jauh daripada mereka.

"Mereka risaukan awak," kata Dysis dan Luz akuinya dengan anggukan.

"Hati-hati."

"Terima kasih, Dysis. Jumpa lagi selepas ini." Luz melangkah masuk ke dalam portal kecil itu dengan tidak sabar. Apabila kakinya memijak pasir yang lembut dan halus, hatinya rasa tenang dan damai. Dia merenung lama ke arah pantai yang menghijau, berkilau di bawah panahan mentari. Angin yang membuai lembut dirasainya.

"Saya pasti akan rindukan tempat ini," bisiknya dengan nada sedih sebelum berlari ke arah air yang dingin itu. Esok adalah hari penilaian, bermaksud mereka akan berangkat ke Carnia pada hari seterusnya. Selepas iu tidak akan ada lagi suara riang Edra membangunkan mereka, omelan Even dan suara lembut Ratu Pari memberi kata nasihat dan kekuatan. Luz rasa tidak mahu tinggalkan Moonhaven. Walaupun hanya dua minggu mendiami tempat itu, is dirasakan seperti rumahnya. Pun begitu, ia masih tidak sama dengan keluarga sebenarnya.

Luz berharap keluarga yang selalu diimpikannya menjadi kenyataan. Ayah yang baik, ibu yang lemah lembut dan mungkin juga adik-beradik yang sentiasa disisinya di waktu susah dan senang. Seperti rakannya kini.

"Saya akan cari mereka sampai dapat." Luz menanam iltizam. "Dan kami akan hidup bahagia selamanya."

Rakan-rakannya bersetuju dan kerana itu pada hari penilaian, masing-masing sudah tidak sabar untuk menamatkan latihan. Stom bangun dari tidur dengan sendirinya tanpa dikejutkan oleh Rho. Dia sudah membuat latihan memanasksn badan bils Luz bangun.

"Bersemangatnya awak," tegur Luz ceria. Dia mengemas katilnya sebelum melangkah ke almari untuk mengambil tuala.

"Bagaimana agaknya Carnia? Saya tak sabar nak tengok!" Kata Stom penuh semangat. Dia yakin mereka akan berjaya masuk ke akademi itu selepas berhempas pulas berlatih. Stom sudah merasakan dirinya semakin kuat.

"Saya pun. Lepas itu, kita boleh mencari keluarga kita."

Stom tersenyum lebar. "Keluarga kita sendiri," bisiknya. "Ah, saya harap saya tak buat silap hari ni."

Walaupun ghairah, terselit rasa risau sekiranya mereka tidak melakukan yang terbaik sekaligus menghampakan Ratu Pari dan jurulatih mereka. Stom tidak sanggup melihat wajah kecewa Ratu Pari sekiranya dia gagal pada ujian penilaian itu.

"Jangan risaulah, Stom," sampuk Rho yang baru keluar dari bilik air. Air menitis jatuh ke bahunya yang lebar namun dibiarkannya saja.

"Rho, lap rambut awak kering-kering!" Luz mengomel, menggelengkan kepala melihat tabiat rakannya yang satu itu yang gemar membiarkan rambutnya basah. Matanya mencari Ayriex dan nampak remaja itu sedang merenung ke luar jendela yang terbuka. Hari yang gelap sudah beransur terang, menampakkan sinar matahari yang menerobos dari celah-celah pokok yang tebal.

"Setengah jam lagi." Luz mendengar bisikan Ayriex, tiba-tiba merasakan jantungnya berdegup lebih laju dari sebelumnya.

"Saya dah mula cemas!" Luz menarik nafas dan melepaskannya. Jemarinya yang berpeluh dilap kasar.

"Tenang, Luz. Awak boleh buat," ucap Rho dengan senyuman tenangnya. "Kita boleh buat."

Luz mengangguk penuh semangat. "Jom."

Edra membawa mereka dalam suasana yang sunyi sepi. Tidak seperti selalu riuh dengan celoteh dan ketawanya. Apabila mereka sudah sampai di Abilene, Edra merenung sayu dengan matanya yang besar dan sedih.

"Semoga berjaya," ucapnya dengan nada tertahan-tahan. Tubir matanya sudah bertakung dengan air mata.

"Terima kasih untuk segalanya, Edra." Luz pantas memeluk tubuh kerdil itu, merasai permukaan sayap yang nipis tetapi lembut.

"Saya akan rindukan kamu semua," katanya.

"Kami pun sama. Nanti kami pasti akan kembali ke sini lagi." Rho memberi janji yang membuatkan senyuman pari-pari itu melebar.

"Janji?"

Luz mengusap rambut perang kehijauan itu. "Kami janji."

"Baiklah," katanya sambil mengelap air mata yang gugur. "Kamu berempat sudah bersedia?"

Mereka mengangguk, menahan nafas apabila sorakan mula kedengaran di sebalik dedaun pohon yang merimbun, seperti menutupi sesuatu. Edra membuka helaian daun seperti tirai itu, menjemput mereka berempat masuk di sebuah tempat lapang yang kosong seperti arena. Di sekeliling tapak bulatan itu dibanjiri pari-pari dan makhluk mistik pelbagai jenis. Luz mencari Ratu Pari dan menemui pemerintah itu di kerusi takhtanya di kepala bulatan.

"Hadirin sekalian!" Kata satu suara yang ceria dan nyaring. Itu adalah Brien, pari-pari askar yang pernah berlawan dengan Rho dan mengalahkan remaja itu. "Hari ini kita akan menyaksikan perlawanan di antara alven muda dengan askar terpilih kita. Sekiranya mereka berjaya mengalahkan pahlawan kita, mereka akan lulus Hari Penilaian namun jika gagal, kita akan serahkan keputusan itu kepada Ratu Pari."

Brien yang berdiri di tengah bulatan mendepakan tangannya dan bunyi tepukan dan jeritan sekali lagi bergema."Dari Moonhaven, dipersilakan Taurus, askar pari Rank ketiga dari Unit Sayap Kiri!"

Luz membuat muka bila sorakan dari pari-pari perempuan lebih kuat apabila pari-pari yang gagah dan kacak itu muncul. "Lawannya adalah Stom Rusell, anak murid kepada Hayden!"

Stom menarik nafasnya apabila namanya disebut dahulu. Mereka bertiga masing-masing memberi kata semangat supaya rasa gemuruh Stom hilang.

"Buat macam biasa. Walaupun awak tak pernah kalahkan Hayden, tapi awak sudah berlawan dengan dia puluhan kali. Hayden lebih kuat daripada askar itu" kata Rho disambut anggukan daripada yang lain.

"Baiklah, saya gerak dahulu."

Dari jauh, Luz nampak Stom menyambut salam pari-pari muda itu dan melemparkan senyuman entah ikhlas atau tidak. Mereka kemudiannya mengambil tempat masing-masing di hujung bulatan.

"Syaratnya mudah saja. Kemenangan akan ditentukan bila peserta itu terkeluar daripada garis bulatan ini atau menyerah kalah. Ingat, ini cuma perlawanan latihan.Kematian adalah dilarang sama sekali. Baiklah, kamu berdua sudah bersedia?"

Stom mengangguk cemas, matanya tidak henti memerhati tindak-tanduk lawannya. Itu yang diajar oleh Hayden kepadanya. Mengingatkan pari-pari itu, Stom sempat menjeling pentas utama dan ternampak kelibatnya di sisi Ratu Pari. Wajahnya seperti biasa serius namun bila mata merekaberlaga, Stom seperti ternampak keyakinan di mata hijau itu.

"Mula!" Sebaik saja jeritan itu meresap ke telinganya, Stom memfokuskan pandangannya ke arah Taurus. Belum sempat dia berbuat apa-apa, pari-pari itu sudah menyerang tanpa memberikan masa untuknya melancarkan serangan.

"Dia tidak mahu Stom berfikir," ujar Rho, sedikit kurang senang dengan tindakan askar itu.

"Sangat licik," bisik Luz dengan hati yang sebal.

Walaupun mereka geram dan marah, aksi Taurus mendapat sokongan daripada makhluk mistik yang lain hingga dapat dilihat dari riak wajah Stom yang jelas pasrah. Tidak mampu menyerang, Stom hanya menahan serangan bertubi-tubi dari Taurus.

"Apa yang Stom buat?" Rho menderam, mulai risau sekiranya rakan mereka itu menyerah kalah tanpa berlawan.

"Stom, serang! Jangan bertahan saja!" Luz menjerit kuat sambil membuat aksi menumbuk. "Macam yang awak selalu buat. Macam ni!"

Stom yang mendengar jeritan Luz mendengus kuat. Tangannya sudah sakit menahan serangan ganas Taurus. "Awak ingat senang? Dia sangat pantas!"

"Apa kelebihan awak, Stom?" Tanya Rho dengan suara kuatnya. "Awak tidak pantas, tidak bijak tapi awak ada sesuatu yang kami tidak ada!"

Otak Stom cuba memproses kata-kata Rho namun ia menjadi sukar bila lawannya memberi serangan bertubi-tubi. Tangannya sudah bengkak menahan serangan Taurus. Dia mahu melawan tapi tidak tahu bagaimana. Pun begitu, ayat terakhir Rho bermain di fikirannya.

'Awak ada sesuatu yang kami tidak ada.'

Apa yang dia ada?

Kalau Rho mempunyai otak yang geliga, Ayriex pula pantas dan tangkas dan Luz mahir dalam memanah, dia pula?

Lambat-lambat, Stom berjaya menangkap maksud Rho. Tidak semena-mena dia memfokuskan tenaganya di kaki, menghentikan langkah sekaligus menyebabkan tubuh kecil Taurus terdorong ke belakang.

Ya. Dia tidak bijak, tidak pantas tapi dia ada kekuatan.

Segala tunjuk ajar yang diberi oleh Hayden masuk kembali ke otaknya. Selepas puas dibuli, Stom akhirnya melakukan serangan balas yang menyebabkan lawannya terkejut. Setengah jam bertarung, Stom berjaya menewaskan Taurus dengan melontar pari-pari itu ke luar bulatan.

Jeritan dan sorakan Edra berkumandang disebalik rasa terkejut penonton yang masih tidak mampu mempercayai bagaimana askar sehebat Taurus boleh kalah di tangan alf muda seperti Stom. Dan perlawanan seterusnya juga berakhir dengan kemenangan terutamanya Ayriex yang menewaskan askar Rank 1 dalam masa lima minit saja.

Air mata Luz mengalir. Mereka benar-benar sudah menjadi kuat. Satu mimpi yang tidak pernah disangkanya akan menjadi realiti.

"Perlawanan yang cukup menarik dan sesungguhnya keputusan yang langsung tidak dijangka," kata Brien. "Baiklah, mari kita mempersilakan ratu kesayangan kita untuk memberi ucapan penutup."

Ratu Pari kelihatan sangat anggun dan cantik dalam persalinan gaun bewarna biru laut. Kalung mutiara yang tergantung di leher jinjangnya berkilau, sama seperti sayapnya yang memang tidak pernah mengecewakan.

"Berakhirnya Hari Penilaian bermaksud tamatlah latihan kamu berempat," kata Ratu Pari tenang. Luz dan Stom sudah menahan rasa sebak. Mereka berempat berdiri di tengah bulatan tadi sambil diperhatikan oleh ratusan makhluk mistik. Pipi Luz terasa membahang kerana malu.

"Beta berharap kamu semua dapat apa yang kamu hajati."

"Terima kasih, tuanku!" Ucap mereka serentak. "Terima kasih semua!"

Mereka berempat menundukkan kepala, memberi hormat terakhir kepada jurulatih Ratu Pari dan jurulatih yang tanpa penat memberi tunjuk ajar.

"Baiklah, sebagai simbol tamatnya latihan dan juga bukti kamu pernah menjadi sebahagian daripada keluarga Moonhaven, beta hadiahkan insignia ini," kata Ratu Pari, mengepakkan sayapnya lalu terbang ke arah mereka berempat.

Mata Luz terbuka dengan rasa kagum. Itu adalah kali pertama Ratu Pari terbang di hadapan mereka. Semua yang berada di situ menarik nafas, terpukau dan terpegun. Bisikan mula kedengaran, mempersoalkan sebab Ratu Pari sudi memecah duli turun sendiri ke padang, bukannya mereka naik ke pentas.

"Tuanku tak perlu-" Ayat Luz tergantung bila pari-pari jelita itu sudah turun di hadapan mereka. Sayapnya yang dikepak dibiarkan terbuka.

Ratu Pari tersenyum seraya menggelengkan kepala. "Ini perkara kecil. Ia tidak dapat dibandingkan dengan takdir yang menunggu kamu berempat nanti."

Luz termangu. Sekali lagi dengan takdir mereka. Ratu Pari seolah mahu mengingatkan mereka tentang tujuan mereka dilahirkan dan sebab mereka dilahirkan berbeza. Penting sangatkah takdir itu untuk mereka?

Ratu Pari membuka telapak tangannya, serta merta menghasilkan empat insignia perak berbentuk bulan sabit. Dia mengambil satu lalu melekatnya di dada kiri baju Luz. "Ini adalah simbol Moonhaven. Beta anugerahkan insignia ini bermaksud kamu sudah menjadi sebahagian daripada kami," ucap Ratu Pari lembut. "Dengan insignia ini, kamu berempat boleh masuk ke istana ini sesuka hati, boleh memanggil wisp dan mengguna khidmat mereka sekiranya perlu."

Mereka berempat terpaku seketika, tidak tahu hendak berkata apa. Apa yang Ratu Pari itu hadiahkan lebih dari apa yang mereka jangka. Luz merenung insignia perak yang berkilau, menyentuh objek perak itu dengan perasaan berbaur-baur. Sesungguh dia rasa terharu. Ini membuatkan rasa bersalahnya semakin menghimpit dada sekiranya mereka tidak menunaikan takdir yang dimaksudkan pemerintah Moonhaven itu.

"Ini adalah rumah kamu."

Ayat itu menghentam jiwa mereka.

"Terima kasih tuanku kerana sudi menerima kami," kata Rho, mata hitamnya berkaca. Stom sudah terhenjut-henjut menahan tangis dan Ayriex memalingkan wajahnya ke sisi.

Mereka akhirnya menemui tempat yang boleh dipanggil rumah.

Esok, mereka akan meninggalkan rumah sementara itu. Dalam diam, Luz berazam untuk merealisasikan takdir yang dimaksudkan oleh Ratu Pari. Demi membalas jasa makhluk Moonhaven.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience