Suasana menjadi bisu, seolah ada seseorang telah mencuri suara mereka. Kebanyakan alven sudah bersurai dari perkarangan dewan, hanya tinggal mereka berempat di atas bumbung. Luz berlagak tenang, sudah menjangkakan reaksi rakan-rakannya terutama Stom. Remaja itu sedang terlopong ke arahnya.
"Awak dah gila? Awak tahukan untuk sampai ke Dinding Larangan kita perlu melalui Hutan Branwenn? Hutan Branwenn, Luz! Di sana ada banyak makhluk kegelapan. Belum jauh kita masuk, entah-entah kita sudah tinggal rangka!" tempelak Stom seraya menggelengkan kepala. Dia tidak percaya Luz boleh mengimpikan sesuatu yang sangat mustahil. Memang dia tahu Luz sentiasa mengidamkan untuk mengembara, tapi tidak sangka pula sampai sejauh itu.
"Saya tahu, Stom," jawab Luz tenang.
"Habis tu? Kenapa awak mahu menyeberangi tempat itu? Itu adalah tempat terakhir Alven Cahaya akan pergi."
Luz melepaskan keluhan. "Saya tahu, tapi kita bukan saja Alven Cahaya."
"Maksud awak?"
"Kita berdarah campuran. Keluarga kita bukan saja dari sini, tapi mungkin juga dari sana," jelas Luz berani. Dia sudah berfikir panjang. Matlamatnya sejak kecil tidak pernah berubah, hanya menunggu masa. Dan sekarang ini baginya adalah saat yang terbaik.
"Jadi awak..." Stom tidak menghabiskan ayatnya kerana tahu apa yang dimaksudkan oleh Luz.
"Ya, Stom. Saya nak cari keluarga kita. Saya nak tahu kenapa kita dibuang selepas dilahirkan. Mana tahu, kita akan jumpa tempat sebenar kita," ujar Luz bersungguh-sungguh. "Awak pasti berfikiran begitu, kan?"
Mereka bertiga mendiamkan diri, berfikir mendalam tentang kata-kata Luz.
"Kita sudah tidak ada tempat di sini. Ini bukan rumah kita. Sampai bila kita harus bersembunyi sedangkan kita ada tempat yang sebenarnya di luar sana? Ini bukan tujuan kita hidup," buat pertama kalinya Luz meluahkan rasa hatinya. Selama 10 tahun dia mendiamkan diri. Luz cuba bersabar menghadapi cercaan dan layanan buruk daripada penduduk Diondell kerana tidak tahu lagi dimana tempat yang harus dituju tapi sampai bila mereka perlu tunduk? Mereka dilahirkan bukan untuk dihina. Luz yakin tujuan hidup mereka ada di luar sana. Di luar Diondell.
"Tapi Trevor...-"
"Betul cakap, Luz." Rho mengangguk setuju, berfikir-fikir. "Kita sudah berada di zon bahaya sekarang. Mungkin askar itu berjanji untuk melepaskan kita sekarang, tapi masa depan kita tidak tahu. Dan Trevor, kita tidak boleh bergantung harap dengan dia lagi. Kita sudah cukup menyusahkan Trevor selama kita hidup di Diondell. Cukuplah apa yang diberi dan diajar oleh Trevor kepada kita. Kita perlu hidup berdikari mulai sekarang," tegas Rho, memandang Stom yang masih tidak yakin dengan keputusan Luz.
"Tapi apa bezanya kalau kita keluar dari Diondell? Bahayanya tetap sama!" bantah Stom masih tisak berpuas hati.
Rho mengangguk-angguk, seolah sedang berfikir sesuatu dan akhirnya mendapat satu rancangan bernas. "Awak tak dengar apa yang alf bersayap itu katakan tadi? Semua alven dialu-alukan untuk menyertai. Tahu kamu apa maksud semua? Maksudnya mereka tiada alasan untuk menolak kita! Sekarang ini memang sangat bahaya untuk kita masuk ke Hutan Branwenn, sebab itu kita perlu belajar di akademi itu. Kita perlu jadi kuat."
Stom menguis dagunya manakala Ayriex pegun seperti batu. Luz cuba menyembunyikan senyuman keriangannya kerana berjaya meyakinkan Rho dengan rancangannya. Bukan sesuatu yang mudah sebenarnya tapi dia berjaya.
"Kita patut cuba, Stom. Awak pasti mahu tahu siapa ahli keluarga awak, kan?" Luz memancing Stom. Stom memang sentiasa kalah bila melibatkan keluarga.
"Er...saya nak tahu..." bisiknya perlahan.
"Apa yang awak tunggu lagi? Kita takkan dapat apa-apa dengan tinggal di sini. Sudah cukup 10 tahun kita dianiaya dan dilayan seperti sampah. Kita ada harga diri," balas Luz penuh semangat. "Sekarang inilah masa yang sesuai."
"Ya...ya...walaupun saya tidak sukakan idea itu, tapi saya faham apa yang awak maksudkan," Akhirnya Stom bersuara mengalah. Apabila Rho sudah menyokong yang seorang, maka kalahlah perdebatan itu.
"Awak bagaimana, Ayriex?" Mereka bertiga memandang remaja itu yang sejak tadi langsung tidak bersuara. Apa yang bermain di fikirannya pun mereka tidak tahu. Susah benar mahu mendengar suaranya melainkan ditanya. Itu pun sepatah saja jawapannya.
Ayriex mengerdipkan matanya sekali. "Apa yang kamu putuskan, itulah yang terbaik."
Luz bersorak gembira. "Jadi apa rancangan kita seterusnya?"
Rho memaling wajahnya ke kanan, melihat jauh bangunan yang terletak di penjuru bandar.
"Kita berjumpa dengan Trevor."
****
Kali pertama dia terjumpa Trevor, dia adalah seorang lelaki alf yang gemar menyendiri. Rumahnya yang kelihatan seperti pondok dan sudah usang terletak di penjuru bandar Diondell, sangat terasing dari penduduk yang lain. Setiap pagi lelaki yang berusia 48 tahun itu akan keluar untuk memburu dan pulangnya pada waktu senja sebelum matahari terbenam. Kadang-kala bila dia tidak keluar, dia akan duduk di kerusi goyang di depan rumahnya dan tidur. Kadang-kala dia akan menghisap paip atau membaca buku.
Selepas mempelajari habit dan jadual waktunya, Rho melancarkan rancangannya. Mereka sudah tahu dimana barangan dan makanan akan disimpan selepas Trevor pulang pada waktu tengah hari. Pada jam 2, dia akan keluar semula dari bandar dan pulang selepas tiga jam. Dalam tempoh itu, Luz dan Ayriex telah curi-curi masuk selepas menerima signal dari Rhodan Stom.
Mujur pintunya tidak berkunci pada waktu itu, maka mudahlah untuk mereka melakukan operasi. Tanpa rasa sangsi, mereka berdua menggeledah almari yang menjadi tempat penyimpanan Trevor. Namun alangkah terkejutnya apabila mendapati hanya tinggal tin kosong di dalam almari itu. Luz masih teringat tangisan Stom yang sangat kecewa bila dia berlari mendapatkan mereka. Dan apa yang lebih mengejutkan adalah kehadiran Trevor di pintu, memandang mereka tanpa sedikit marahpun.
Trevor tidak berkata apa, malah memberikan sedikit roti dan buah kepada mereka. Tangan Trevor yang besar tapi hangat itu masih segar diingatan Luz saat dia mengusap lembut rambut mereka tanpa rasa takut dan jijik. Sebelum itu, Trevor sempat menjemput mereka untuk makan malam sebelum menyuruh mereka pulang ke rumah.
Sejak itu, mereka akan singgah di rumah Trevor untuk makan dan lelaki alf itu akan memberi tanpa banyak soal. Adakalanya dia akan mengajar mereka huruf dan nombor dan membacakan buku cerita pada waktu petang. Bila Luz menjangkau usia lapan tahun, Trevor mengajar mereka kemahiran untuk hidup seperti ilmu mempertahankan diri dan berburu.
Semakin mereka menginjak dewasa, Luz menjadi malu untuk bergantung harap dengan Trevor sepenuhnya seolah mereka menyusahkan lelaki tua itu. Sudahlah dia miskin, dia terpaksa pula menyediakan makanan untuk mereka. Sebab itu mereka adakalanya mencuri demi tidak mahu menyusahkan Trevor.
Mereka tiba di pondok Trevor, kelihatan semakin usang dari sebelumnya. Tanaman yang ditanamnya di halaman rumah semakin layu kerana tidak disiram dan dibaja. Sudah tiga minggu Trevor keluar dari Diondell atas alasan kerja dan baru semalam dia pulang. Walaupun Rho ada menyiramnya, tapi dia tidak punya wang untuk membeli baja.
"Trevor patut periksa atapnya. Semakin banyak lubang saya tengok. Berapa kali sudah saya berpesan pada orang tua itu?" bebel Stom bercekak pinggang.
"Itu maksudnya dia mahu awak membaiki untuk dia. Apa guna tubuh awak yang besar dan gagah? Awak boleh angkut kayu dan batu dengan mudah. Membaiki atap pasti kerja senang untuk awak," Rho mengusik, gembira melihat wajah cemberut Stom.
"Kenapa saya saja? Ayriex pun kuat juga," balasnya, menyebabkan remaja berambut hitam itu memberikan pandangan tajam.
Luz cuma ketawa. Berada di rumah Trevor menggamit semula memori zaman kanak-kanaknya, mengingatkan dia betapa mereka percaya dan sayangkan Trevor. Trevorlah satu-satunya alf yang melayan mereka baik dan sanggup dipulaukan kerana melindungi mereka berempat. Mereka pernah bertanya sebab kenapa Trevor melakukannya tapi orang tua itu cuma tersenyum. Katanya, dia menganggap mereka berempat sebagai anak-anaknya. Itu adalh tugasnya sebagai seorang bapa.
Luz menangis. Begitu juga yang lain. Sesungguhnya mereka rasa disayangi dengan kehadiran Trevor. Dia pasti akan rindukan Trevor selepas keluar dari Diondell nanti.
Pintu kayu di pondok itu tiba-tiba terbuka, menghasilkan bunyi mengeriut. Mereka menoleh, melihat Trevor keluar dengan pakaian biasanya, baju biru laut yang sudah pudar warnanya dan seluar coklat tua. Rambutnya semakin panjang mencecah bahu, di hujungnya sudah mula memutih menunjukkan usianya yang semakin meningkat. Dia kelihatan penat tapi senyumannya masih sama seperti saat mereka bertemu padanya dahulu. Mata coklatnya bersinar apabila terpadang mereka berempat.
"Oh, kamu dah datang! Masuk, masuk... rasa seperti dua bulan penuh saya tidak nampak kamu semua." Trevor menarik Stom dalam pelukannya, menepuk balakang remaja itu dengan kuat hingga Stom mengaduh kesihatan. "Mari sini, Rho!" panggilnya, melepaskan Stom lalu menarik Rho pula.
"Aduh!" adu Rho tapi dia tersenyum senang. Pelukan Trevorlah yang paling disukainya.
"Kamu patut tersenyum lebih lagi, barulah ada perempuan yang mahukan kamu," bebelnya pada Ayriex yang tidak memberikan reaksi apa-apa sebaik saja dipeluk.
Bila giliran Luz, Trevor memegang wajahnya, mengusap lembut pipi yang comot itu. "Awak makin cantik," pujinya dengan senyuman lebar.
"Taklah," balas Luz malu-malu.
Trevor merenung wajah Luz lama tanpa berkata apa-apa. "Trevor?" panggil Luz hairan.
Tiba-tiba lelaki tua itu mengucup dahinya lembut dan memeluk Luz erat. "Selamat ulang tahun, anakku," ucapnya perlahan.
Luz terlongo. "Apa yang awak cakap ni? Hari jadi saya dah lepaslah! Bukankah kita menyambutnya tiga bulan lepas? Awak dah lupa?"
Trevor hanya menggeleng kepalanya. Dia melepaskan pelukan, mengajak mereka berempat masuk ke pondoknya. Bau enak menusuk hidung dan Luz pantas dapat meneka masakan yang dimasak oleh Trevor. Sup rusa kegemarannya.
"Saya masakkan makanan kegemaran awak," katanya lalu berlalu ke dapur. Mereka mengambil tempat duduk di meja kayu yang bulat, cukup-cukup untuk tubuh mereka berempat saja. Luz memerhati rumah Trevor yang sama seperti bumbungnya - semakin usang dan tidak dijaga rapi. Rumah itu cuma ada dua buah bilik - satu bilik tidur dan satu lagi bilik bacaan yang mengandungi puluhan buku pelbagai genre. Bilik itu kecil tapi memuatkan tubuh mereka berempat. Bila mereka datang saja, pasti akan menuju ke bilik itu untuk berehat sambil mendengar Rho membaca buku kegemarannya, 'Sejarah Alveria' atau 'Carnia: Lagenda Raja Tertinggi Terulung.'
Bunyi senduk berdentang-denting menarik perhatian Luz. Dis melihat Trevor sedang membuka penutup periuk untuk pastikan supnya sudah masak. Tanpa perlu diarah, Luz mengambil lima mangkuk kecil dari dalam kabinet yang sudah berhabuk permukaannya lalu menyusun di atas meja makan. "Oh, saya tak perlu, Luz. Saya sudah makan tadi." Luz mengambil semula sebiji mangkuk itu dan menyimpannya ke dalam kabinet.
"Trevor, kami..."
Trevor melambai tangannya, tersengih-sengih ketika menuang sup ke dalam mangkuk yang diperbuat daripada tanah liat. "Sabar, sabar... saya tahu kamu semua kelaparan? Atau kamu sudah kenyang selepas makan roti Dunsten?"
"Er..." Rho tersedak seperti tertelan tulang ikan. Bagaimana Trevor tahu sedangkan dia baru saja pulang kelmarin? Secepat itu berita pasal mereka tersebar?
"Bagus idea kamu, Rho. Saya bangga dengan kamu," ucapnya dengan ketawa terbahak-bahak. Mereka berempat tidak tahu bereaksi bagaimana dan hanya tersenyum malu.
"Cepat pula berita pasal kami tersebar," gumam Stom sambil menghirup sup yang panas.
"Saya dengar dari pengembara yang baru pualang dari Diondell, pemilik bakeri di Diondell ditangkap atas tuduhan melanggar undang-undang baru itu. Saya agak pasti kamu yang lakukannya. Pasti kamu mengumpan dia untuk melakukan magi supaya dia ditangkap askar itu," teka Trevor dengan tenang.
Rho membeliakkan matanya. "Bagaimana awak tahu?"
"Kamu seorang saja yang dapat memikirkan rancangan itu, Rho," kata Trevor.
"Jadi, sebelum itu..." Trevor berjalan ke biliknya. Tidak lama kemudian, dia keluar membawa sebuah kotak besi yang masih elok rupanya. Ia berwarna hitam, permukaanya berukiran daun yang menjalar. Trevor membuka kotak itu dan mengeluarkan isinya. Seutas rantai yang berloket.
"Untuk kamu, Luz. Selamat Hari Jadi."
Mata hitam Luz terkebil-kebil memandang Trevor. Teragak-agak, Luz menyambut rantai yang diperbuat dari emas itu dengan perasaan hairan dan ragu-ragu. Dia menilik loket yang bertutup itu dan bila mahu membukanya, dia tidak dapat.
"Masanya belum tiba untuk kamu membukanya," kata Trevor. Dia mengambil satu lagi kerusi dari biliknya lantas duduk dibelakang Luz. Rantai diambil semula lalu dia menyarungnya di leher Luz dengan penuh hati-hati.
"Apa maksud kamu, Trevor? Awak tahu hari jadi saya yang sebenar?" tanya Luz, melihat dengan teruja loket sebesar duit syiling itu.
"Kalau begitu awak tahulah siapa keluarga saya yang sebenarnya!" tanya Luz tidak sabar. "Siapa mereka? Dimana mereka sekarang?"
"Bagaimana pula dengan kami?" Stom mencelah. "Awak tahu keluarga kami?"
"Sabar, anak-anak... satu-persatu..." Trevor mengangkat tangannya, mahu mereka bersabar.
"Kenapa baru sekarang awak beritahu saya?" tanya Luz seolah berkecil hati dengan Trevor.
"Sebab masanya belum tiba," balas Trevor ringkas.
"Jadi sekaranglah masanya?" tanya Rho dengan serius. Sup tidak lagi dimakannya.
Trevor mengangguk. "Ya, sekaranglah masanya. Sebelum itu saya nak kamu tahu saya cuma tahu perihal Luz. Maafkan saya," ucap Trevor cepat-cepat bila wajah tiga remaja lelaki itu berubah keruh. "Begini, saya bukan penduduk dari sini. Pada asalnya, saya seorang askar dari Carnia. Semasa peperangan berlaku dahulu, saya turut serta dengan melawan Alven Kegelapan berdekatan dengan Hutan Branwenn. Pada hari terakhir, cuma saya saja yang hidup manakala rakan yang lain sudah terkorban," mata Trevor sedikit bergenang bila dia menceritakan semula detik sedih itu.
Selepas menarik nafas, Trevor menyambung ceritanya. " Saya berjalan, mundar-mandir tanpa arah tuju... tidak tahu arah ke mana saya patut pergi hinggalah terdengar tangisan bayi. Saya cari dan cari, akhirnya terjumpa seorang bayi perempuan yang comel di tepi sungai. Nasibnya baik kerana tidak dihanyutkan oleh arus deras. Tapi yang mengejutkan, rambutnya hitam umpama langit malam walaupun kulitnya seperti pasir di Anvindr. Ya, itulah kamu, Luz. Kamu lahir pada hari ketujuh peperangan tamat."
Mata Luz bergenang. Akhirnya dia punya tarikh hari jadi yang sebenarnya. Dia sudah tahu dimana dia dilahirkan. Dia adalah rakyat Alveria.
"Makan sup kamu... habiskan... Baiklah, seperti yang kamu tahu, belum pernah lagi berlaku perkara seperti ini di Alveria. Sekiranya kamu dijumpai, pasti kamu akan dibunuh kerana menyangka kamu adalah kelahiran dari Alven Kegelapan. Jadi tanpa membuang masa, saya serahkan kamu kepada rakan saya yang tanpa saya sangka, turut menjaga tiga orang kanak-kanak alven seperti kamu."
"Jadi awak tidak kenal siapa ibu bapa kami," bisik Luz lemah. Baru saja hatinya kembang, sekarang ini kuncup pula dengan rasa kecewa. Dia ingin sangat tahu siapa ibu bapanya yang sebenar. Melihat anak-anak alven yang sebaya dengan mereka mempunyai sebuah keluarga yang bahagia dan sempurna menyebabkan Luz rasa terkilan dan sedih. Impiannya cuma satu iaitu dapat bertemu semula dengan keluarga sebenarnya.
"Maafkan saya, Luz. Saya tahu ini bukan berita yang kamu harapkan tapi..." Trevor mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Sekeping kertas berwarna kuning pudar yang terlipat kemas dibuka Trevor dengan penuh hati-hati. "Alihkan mangkuk kamu." Stom dan Ayriex mengumpul mangkuk yang sudah kosong isinya lalu diletak ke sinki. Mereka tergesa-gesa kembali semula ke kerusi untuk melihat apa yang mahu ditunjukkan oleh Trevor.
"Apa ini, Trevor?" tanya Rho penuh minat.
Trevor tersenyum penuh bangga. "Ini adalah peta, anak-anakku. Peta Alveria."
"Peta Alveria?" pekik Rho dengan tidak percaya.
Rho dapat mengagak usia peta itu yang mungkin lebih tua dari Trevor berdasarkan warna, bau dan keadaannya yang lusuh dan tua. Bau seperti vanila bercampur dengan kayu dan habuk menusuk hidung, menyebabkan Luz hampir terbersin. Perkataan yang tertulis menggunakan dakwat hitam hampir hilang warnanya tapi masih boleh ditangkap tulisannya. Rho menyentuh kertas sebesar meja bulat Trevor itu, merasai permukaannya yang lembap tetapi lembut.
"Jangan risau, ia diperbuat daripada pohon Alvar."
Rho hanya mendiamkan diri. Dihasilkan dari pokok Alvar maksudnya nilai peta itu lebih tinggi daripada sebuah rumah di Diondell. Sama seperti pintu Encik Dorsen, ia hanya boleh dihasilkan di Carnia meskipun kayunya datang dari Hutan Branwenn. Bagaimana Trevor boleh memiliki barang berharga seperti ini, Rho berasa sangat musykil. Di Alveria, belum pernah lagi peta lengkap dihasilkan. Dan melihatkan kepada peta itu, Rho tahu ia dicipta oleh seseorang yang berkedudukan tinggi atau lebih tepat lagi, milik keluarga diraja Carnia. Peta ini adalah artifak Alven Cahaya.
"Mana awak dapat peta ini?" tanya Rho penuh waspada. Rho tidak mahu menuduh Trevor yang bukan-bukan tapi dia perlu tahu bagaimana benda berharga seperti itu boleh berada di tangan alf biasa seperti Trevor.
"Kawan saya berikan dulu," jawabnya tenang. Rho mengecilkan mata tidak percaya.
"Untuk apa peta ini, Trevor?" celah Stom sambil menilik simbol, lukisan dan tulisan yang tertera di atas kertas kuning itu.
"Ini anak-anak... hadiah untuk kamu sempena pengembaraan kamu yang pertama."
Mereka berempat memandang Trevor dengan rasa aneh bercampur cemas. Trevor seperti mengetahui rancangan mereka untuk keluar dari bandar Diondell dan mengembara ke Carnia. Mereka saling merenung, tidak berani bersuara. Akhirnya Rho terpaksa mengalah kerana dia yang paling tua.
"Awak dah tahu, Trevor? Maafkan kami, kami baru saja nak berbincang dengan awak tentang hal ini," kata Rho perlahan bernada kekesalan. Yang lain mengangguk setuju, menunduk kepala ke lantai. "Kami baru saja bincangkan hal ini tadi, tidak sangka pula awak lebih cepat tahu. Macam awak ada kuasa meramal pula," tambah Rho lagi, cuba untuk bergurau.
Trevor ketawa berdekah. "Saya pernah kata, kan? Masanya akan tiba bila awak semua akan keluar dari sini untuk menyempurnakan destinasi yang telah ditetapkan."
Rho masih ingat, Trevor berkata begitu semasa mereka ingin membalas dendam setelah dihina oleh Wyatt pada majlis hari jadinya. "Awak tahu pasal pendaftaran ke akademi itu?"
"Sekarang kecoh di semua tempat tentang hal itu. Mereka akan ke Kerajaan Air selepas ini, kemudian kembali ke Carnia semula. Kamu ada tempoh sebulan untuk meningkatkan skil kalau mahu lulus ujian kemasukan," terang Trevor serius. Jari kurusnya mengetuk peta itu, menunjuk simbol segitiga di kawasan yang tertulis Kerajaan Air.
"Saya mahu kamu ke sini. Moonhaven."
"Moon...haven?" Baca Luz satu-satu. Tulisan yang kabur menyukarkannya untuk membaca.
"Bukankah itu kediaman makhluk mistik?" Tanya Rho. Dia ada membaca buku Trevor 'Makhluk Mistik di Alveria' tiga tahun lalu. Moonhaven diterang banyak kali dalam setiap bab sebagai rumah kepada makhluk mistik seperti pari-pari, gnome, wisp, dan banyak lagi.
"Ya. Disana adalah tempat yang paling sesuai untuk kamu berlatih dan..." Trevor memandang mereka penuh makna. "Ada sesuatu yang boleh membantu kamu menyelesaikan misteri pasal keluarga kamu."
"Siapa?" tanya mereka berempat serentak. Semangat mula berkobar-kobar.
Tapi Trevor cuma senyum. "Kamu akan tahu nanti. Kamu cuma perlu ingat, ibu bapa kamu tidak membuang kamu seperti yang kamu sangkakan. Tiada keluarga yang sanggup membuang darah dagingnya sendiri. Mereka pasti punya alasan tersendiri."
"Walaupun kami tidak seperti yang mereka harapkan?" Tanya Luz sedih. Trevor cuma mengusap lembut rambutnya, tidak menjawab apa-apa.
"Bila kita nak bergerak?" Tanya Stom lantas melompat dari kerusinya. Remaja itu kelihatan bersemangat walaupun pada mulanya dialah yang paling menentang.
Rho memandanh peta itu lama, seolah cuba menghafal setiap nama, simbol dan lokasi. "Lusa," ucapnya, mengambil peta itu lalu melipatnya. "Betul kami boleh ambil peta ni?"
"Ia milik kamu."
"Terima kasih, Trevor. Baiklah, kita akan berangkat dalam dua hari lagi. Kamu bertiga siapkan barang untuk dibawa manakala saya akan mengkaji peta ini dengan teliti," arah Rho, dan yang lain hanya mengangguk.
"Jadi kita benar-benar akan tinggalkan Diondell?" Soal Ayriex dengan rasa tidak percaya bercampur lega.
"Hidup ini perlu ada cabaran. Kita tidak akan perolehi apa-apa dengan duduk di satu tempat saja kerana takutkan kemungkinan. Bila kamu diluar sana, baru kamu sedar yang dunia ini luas. Alveria bukan satu-satunya negara yang wujud di dunia ini. Kamu harus terokainya supaya hidup ini lebih berbaloi. Ingat pesan saya," kata Trevor dengan suara yang tenggelam timbul. Mereka berempat pantas memeluk alven tua itu, rasa berat hati untuk meninggalkannya namun apakan daya, takdir mereka menunggu di luar sana. Ada perkara yang lebih penting harus mereka selesaikan sebelum dapat pulang semula ke sisi Trevor.
"Kami akan cari awak semula... Kami janji," Luz mengesat air matanya yang seakan empangan pecah, sejak tadi tidak dapat berhenti. Trevor mengangguk tanpa suara, tangannya masih melingkari badan empat remaja itu.
"Sentiasa bersama, jangan berpisah," pesan Trevor.
"Kami bersumpah, sampai ke mati pun kami takkan terpisah." Mereka menggenggam tangan masing-masing, mengikrarkan janji di dalam hati. Ayat Rho mempunyai maksud yang mendalam dan mereka faham akan hal itu.
Tidak boleh berpisah. Tidak boleh mengkhianati.
Share this novel