Langit masih gelap dan cahaya bulan samar-samar menerangi bandar Diondell. Suasana senyap sunyi, hanya kedengaran siulan angin yang menderu lembut dan desiran pasir saat Luz, Rho, Ayriex dan Stom berjalan merentasi bangunan usang di kawasan terbiar itu. Mereka berempat mundar-mandir di hadapan pintu selatan, menanti kehadiran Trevor yang berjanji untuk menghantar mereka keluar.
"Lambatnya Trevor. Dia tak ditimpa apa-apa masalah, kan?" tanya Stom resah. Sudah sepuluh minit mereka menunggu namun bayang alven tua itu masih belum kelihatan.
"Sabar," pujuk Rho. "Masih awal lagi. Trevor sudah berjanji akan bertemu dengan kita. Kita cuma perlu percayakan dia."
Mereka tidak berkata apa melainkan duduk bertinggung di suatu sudut bersama dengan beg sandang yang penuh dengan barang dan makanan. Kedinginan malam menyebabkan bulu roma di badan Luz menegak. Tidak tahu sama ada dia berasa cemas meninggalkan bandar Diondell atau kerana mereka terpaksa melalui pintu selatan untuk ke Moonhaven.
"Kita tak ada jalan lain? Awak tahu... saya seprti dapat merasakan ada sesuatu sedang melihat kita," bisik Luz cemas. Dia menghimpit tubuhnya ke badan Ayriex dengan lebih dekat.
"Tak ada jalan lain lagi. Lagipun Subuh adalah waktu yang paling selamat untuk kita bergerak kerana mereka mula berehat slepas berjaga pada waktu malam. Jadi awak tak perlu risau, saya yakin itu cuma mainan perasaan awak saja," kata Rho dengan tenang namun masih ragu-ragu. Apa-apa bunyi yang terhasil sama ada bersin Stom atau dengkuran Ayriex yang sekejap-sekejap tidur di sebelahnya membuatkan tubuhnya tersentak.
"Ah, Trevor dah datang. Hey Ayriex, bangun. Buka mata awak itu."
Terpisat-pisat Ayriex membuka matanya. Begnya jatuh di sisi tapi dia tidak peduli. Mereka semua meluru ke arah Trevor yang datang membawa sesuatu di tangannya.
"Trevor, awak lambat! Kami ingatkan awak tak datang," adu Stom dengan wajah masam. Lelaki tua itu cuma ketawa sambil menepuk belakang Stom yang lebih tinggi darinya.
"Mana mungkin saya tak datang. Saya sudah berjanji. Ada masalah sedikit tadi, askar-askar itu sedang mengawal di pintu utara. Saya terpaksa tunggu mereka berlalu, baru dapat keluar dari rumah. Mari, saya belikan kamu semua jubah baru." Trevor memakaikan jubah berwarna biru gelap di tubuh mereka berempat lantas tersenyum senget.
"Tak mahal ke jubah ni, Trevor?" Luz menyentuh kain jubah dan menghidu baunya. Jelas ia diperbuat dari kain yang mahal kerana lebih tebal dan lembut. "Awak tak perlu membazir duit awak, Trevor! Baju lama yang awak berikan dulu masih bagus."
"Yalah, Trevor," sokong Rho. "Kami tak nak menyusahkan awak."
"Kamu tidak susahkan sayalah, anak-anak. Berapa lama sudah kamu semua pakai jubah itu? Tengok! Ada koyak di jubah Ayriex," katanya sambil membuka lebar jubah remaja berambut hitam itu untuk melihat kesan lubang di tengah-tengahnya akibat dimakan tikus, namun Ayriex pantas menariknya semula dengan muka merah padam. "Jubah ini tidak mahal. Jangan risaukan saya, sebaiknya kamu perlu berpakaian kemas semasa mendaftar nanti. Saya mahu kamu kelihatan segak bila berada di Carnia."
Mereka tidak dapat membantah apabila Trevor sudah kedengaran bersemangat. Masing-masing memeluk jubah yang sudah dipakai dibadan, gembira sebenarnya memiliki barang baru.
"Baiklah, kamu semua ingat pesanan saya? Rho, awak sudah belajar selok-belok jalan hendak ke Moonhaven?" Rho mengangguk laju. Tangannya menyeluk poket seluar untuk mengeluarkan peta yang tersimpan rapi. "Bagus, bagus. Kamu tak perlu risaukan makhluk kegelapan masa ini sebab mereka sudah tidur, tapi yang jadi permasalahannya sekarang adalah Padang Anvindr. Memang jarang alven melalui jalan itu kerana ada sebabnya tapi untuk menggunakan pintu utara adalah mustahil bagi kamu. Kamu tahukan sebabnya?"
Mereka berempat mengangguk lemah.
"Kamu sekarang masih lemah. Lebih baik jangan menarik perhatian dulu tapi tunggu diterima masuk ke akademi, barulah umumkan kewujudan kamu berempat. Terpaksa melalui jalan yang berbahaya demi keselamatan kamu sekarang," ucap Trevor lagi.
"Kami faham."
"Baiklah, matahari sudah hampir terbit. Cepat bergerak, takut dinampak oleh askar payah pulak nanti!"
Mereka menggalas beg masing-masing, paling besar dan berat milik Stom yang mengandungi makanan. Ayriex pula membawa beberapa helai pakaian dan senjata manakala Rho cuma membawa buku dan peta. Luz diberi tugas membawa air minuman.
"Simpan baik-baik loket ini. Masanya akan tiba nanti bila kamu dapat membukanya," kata Trevor lalu mengucup dahi Luz. "Perjalanan ke Moonhaven memakan masa empat hari, pandai-pandai jimat air dan makanan."
"Baik, Trevor."
"Dah, cepat-cepat!"
Mereka berempat menarik hud dan bergerak ke pintu selatan. Penuh hati-hati, Stom membuka daun pintu muat-muat untuk tubuhnya melaluinya.
"Hati-hati!" Suara Trevor kedengaran jauh padahal mereka cuma dipisahkan oleh pintu dinding yang setinggi dua meter. Luz mengintai dari celahan, berdiri lama seolah berharap Trevor akan mengikut mereka.
"Jangan toleh ke belakang lagi" kata Trevor lagi, memaksa Stom untuk menutup semula pintu itu. Air mata mengaburi pandangan mereka berempat saat bayang Trevor semakin hilang dan dengan bunyi dentuman 'Bum!', mereka kini benar-benar sudah terpisah dari Trevor dan Diondell.
"Kami sayangkan awak! Tunggu kami!" Pekik Luz dengan juraian air mata. Dia tidak tahu sama ada Trevor ada mendengarnya atau tidak tapi dia tetap mahu ucapkannya.
"Baiklah, jom kita gerak," ajak Rho, mengelap pipinya yang basah. "Mari buatkan Trevor bangga."
Seperti yang diberitahu Trevor, tiada satu pun makhluk kegelapan yang muncul dalam sepanjang perjalanan mereka. Namun dari jauh, bayang Hutan Branwenn dapat dilihat dan ditambah dengan hari yang masih gelap, ia seolah kelihatan seperti sebuah gua dengan mulut yang ternganga, menanti mangsa untuk masuk lalu menelannya hidup-hidup.
Luz tidak berani memandang, hanya fokus pada tubuh Rho yang berjalan di depan sekali. Suasana sunyi tanpa seorang pun ada mood untuk bercakap. Sehingga waktu pagi tiba, barulah Rho memecah keheningan.
"Kita dah nak sampai di Padang Anvindr. Bersedia dengan senjata kamu semua," arah Rho. Ayriex mengeluarkan pisau yang sudah diasahnya pada hari sebelumnya, menyerah setiap satu kepada Rho dan Stom. Luz sudah menyiapkan lastiknya di dalam poket seluar beserta beberapa biji batu.
"Kuat ke makhluk itu, Rho?" Tanya Stom dengan nada resah.
"Saya harap kita tidak menemui ia sebelum tiba di pondok pertama tapi waktu petang nanti adalah waktu memburunya jadi kita terpaksa berjaga-jaga."
"Ah, saya rasa nak terkencing." Tubuh Stom sudah menggeletar. Dia berharap mereka cepat-cepat tiba di pondok rehat. Perasaannya sejak keluar dari pintu selatan Diondell tadi tidak tenteram dan sentiasa dihantui ketakutan. Kalau tidak kerana Luz dan Rho yang beriya-iya mahu mengembara, dia tidak akan sesekali melangkah keluar dari Diondell.
Selepas tiga jam berjalan, sinaran matahari mula membahang di atas kepala. Suasana tadi yang dingin dan teduh perlahan-lahan bertukar kepada panas terik. Pohon-pohon yang berdiri teguh di sepanjang jalan kini semakin jarang kelihatan. Tiada lagi rimbunan hijau, hanya tinggal pokok-pokok tua yang sudah botak, menanti untuk rebah.
Luz sedar, desiran angin sudah berubah rentak, semakin laju dan kencang, membawa sekali pasir-pasir hingga ada yang mencucuk matanya. Jubah mereka berterbangan dengan dahsyat, seolah ingin memukul tubuh yang kurus meliding itu agar jatuh menyembah bumi. Namun mereka berjaya menstabilkan diri seperti yang diajar oleh Trevor.
"Hati-hati!" jerit Rho tiba-tiba. Luz yang hanya memandang tanah mengangkat kepalanya dan serentak, angin taufan memukul tubuhnya hingga dia terpelanting. Dia sangat pasti tubuhnya akan mengenai tanah yang keras tapi apabila membuka mata, dia rupanya sedang bersandar di atas badan seseorang.
"Ayriex!" Luz menjerit cemas. Dia tergesa-gesa bangun lantas membantu remaja itu untuk duduk.
"Maaf, saya tak sangka awak ada di belakang saya," keluh Luz dengan rasa bersalah. "Badan awak sakit ke?"
Ayriex hanya menepuk pasir di bajunya kemudian bangkit. Beg dibelakang di atur di bahu. Kemudian, Ayriex menghulur tangannya pada Luz yang memandangnya dengan sedih.
"Saya tak apa-apa, jangan risau," katanya tenang, memaksa Luz untuk menyambut huluran tangannya lalu berdiri.
"Kita patut berehat sekejap," cadang Ayriex buat pertama kalinya.
"Yalah, saya rasa beg saya terkoyak," kata Stom cemas. Dia perasan beberapa biji buah epal telah terkeluar dari bawah begnya.
"Baiklah, kita berehat di bawah pokok sana walaupun ia botak."
Cuma ada beberapa pokok saja yang tinggal, selebihnya adalah batu dan tumbuhan yang tidak pernah dilihat oleh Luz. Dia berlari anak ke arah pokok itu lalu segera menurunkan jubahnya. Nafas kelegaan akhirnya terlepas dari bibir saat beg sandang diturunkan ke tanah. Terasa ringan bahunya yang sudah lenguh akibat menggalas beg itu. Dia duduk di sebelah Stom, mengipas wajahnya yang dibasahi peluh. Rambut panjangnya ditarik ke belakang, dipintal menjadi bentuk bun.
"Lama lagi ke kita nak sampai ke pondok itu, Rho?"Luz bertanya sambil mendongak memerhati langit yang tidak berawan. Kehangatan cuaca yang luar biasa itu semakin terasa mencucuk kulitnya, seperti dipanggang. Kalau tidak kerana jubah yang diberi Trevor, mereka memang sudah terdampar keletihan.
"Nah, air," Luz menyambur buluh yang dihulur Stom lantas meneguknya.
"Tak lama lagi. Mungkin kita akan sampai sebelum senja," beritahu Rho. Dia mengeluarkan peta dari poketnya dan meneliti dengan tekun setiap laluan di Alveria.
"Kita akan lalui Padang Andvinr selepas ini. Keadaannya akan lebih teruk dari ini," tambah Rho dengan keluhan. Dia gusar dengan keadaan yang bakal menimpa mereka. Amaran Trevor tentang mahkul bernama Lagarius itu berlegar-legar di mindanya. Adakah mereka mampu menyeberangi padang tanpa bertemu dengan makhluk itu? Rho tidak yakin.
"Selepas itu?" tanya Luz lagi.
"Selepas itu kita akan berehat sehari di bandar Kendall. kata Trevor, untuk ke Eathelin ada tiga jalan." Rho mengeluarkan peta yang diberi oleh Trevor, membentangkannya di lantai tanah. Mereka bertiga mengerumuni remaja itu, mahu melihat jalan yang akan mereka lalui selepas ini.
"Pertama, kita boleh melalui Creswell, tapi itu bermakna kita perlu melalui Padang Anvindr lagi. Itu bukan idea yang bagus. Jadi laluan singkat adalah memasuki bandar Kendall. Bandar itu lebih kecil dan lebih selamat," terang Rho.
Mereka mengangguk faham. "Bagaimana pula dengan jalan ketiga?" soal Stom.
Rho memandang mereka berempat dengan wajah tegang. "Melalui Wyndham."
"Oh, saya faham. Sebab itu Trevor mahu kita guna jalan selatan," gumam Stom sedikit sedih.
Wyndham terletak dalam jajahan Kerajaan Angin dan merupakan kota yang sangat tegas dan ketat kawalannya. Dengar khabar, hampir separuh daripada penduduk di situ merupakan askar elit, bermaksud mereka sangat mahir dalam penggunaan magi. Sebab itu Trevor melarang keras mereka berempat menggunakan jalan itu walaupun singkat. Katanya, lebih baik berhadapan dengan Lugarius daripada alven.
"Tapi Rho, bukankah Eathelin ibu kota Kerajaan Air? Tidakkah kawalannya lebih ketat?" Tanya Luz bingung.
"Oh, ada bezanya. Kerajaan Air tidak seperti kerajaan yang lain. Mereka tidak terlalu ketat dan agak bebas. Banyak pedagang lebih suka berniaga di Kerajaan Air kerana rajanya tidak banyak songeh. Lagipun Moonhaven terletak dalam kawasan jajahan air, jadi mahu tidak mahu, kita terpaksa melaluinya."
Luz mengigit bibirnya. "Saya harap ia berjalan dengan sempurna."
"Jangan risau. Sekarang ini kita hanya perlu fokuskan pada perjalanan kali ini. Harap kita tidak bertembuny dengan makhluk itu," ujar Rho.
Mereka bertiga mengangguk. Selepas sepuluh minit berehat, mereka mengemas beg untuk memulakan perjalanan. Keadaan menjadi semakin sukar apabila taufan dan angin kuat kerap melanda hinggakan beberapa kali tubuh mereka rebah. Namun mereka tetap bangkit dan tiada seorang pun yang mengalah.
Sehingga mereka tiba di pertengahan Padang Anvindr, suasana tidak lagi berangin tetapi kehangatan matahari terasa membakar kulit. Peluh sudah membasahi baju, menyebabkan tubuh mereka berempat melekit tidak selesa. Luz cuba memfokuskan pandangannya tapi rasa panas yang menyesakkan dadanya membuatkan dia hampir pengsan. Mujur ada Ayriex di sebelah. Bolehlah dia menyandar seketika untuk berehat buat beberapa saat.
"Awak okey?" Ayriex bertanya, mata hitamnya memandangnya dengan penuh kerisauan.
Luz memberikan senyuman walaupun terasa payah. Tenaganya sudah hampir mencecah angka sifar. Jika tidak kerana keinginannya yang kuat, pasti dia sudah menaikkan bendera putih. Tidak sangka perjalanan mereka yang baru bermula itu sangat mencabar fizikal dan mentalnya. Luz mula terbayangkan pondok yang dikatakan oleh Trevor. Dia berharap mereka cepat sampai agar dia boleh berehat dan tidur.
"Shh, berhenti."
Suara cemas Rho kedengaran. Tubuh tinggi lampai itu berhenti, hudnya jatuh, menampakkan rambut perangnya yang meliang-lintuk ditiup angin. Stom di sisinya juga terpaku, memandang remaja itu dengan hairan.
"Kenapa Rho?" Tanya Stom.
"Awak dengar tu?" Bisiknya, matanya meliar memerhati keadaan sekeliling yang kosong. Tiada apa di padang itu melainkan mereka berempat.
"Tak ada bunyi apa pun," balas Stom.
"Bunyi seperti sesuatu sedang bergerak," celah Ayriex tiba-tiba. Luz dan Stom saling berpandangan. Kenapa mereka berdua saja yang tidak mendengarnya?
"Oh, tidak! Kamu bertiga, siapkan senjata kamu!" Arah Rho cemas, menyebabkan mereka bertiga kelam-kabut mencapai senjata masing-masing. Luz menarik lastiknya manakala Stom dan Ayriex sudah bersiap sedia dengan belati.
"Rho merendahkan tubuhnya, seolah menajamkan telinga. "Bila saya kata lari, kamu semua berlari ke arah yang berbeza."
"Faham." Mereka menjawab serentak.
"Saya rasa kita sedang melalui sarang Lugarius." Wajah Stom terus pucat lesi. "Tapi selalunya ada seekor saja yang mendiami satu kawasan."
Mereka mengambil posisi lari pecut. Nafas ditahan, dada berdebar seperti mahu pecah. Apabila mereka mendengar jeritan Rho, sepantas kilat mereka melarikan diri dari kawasan itu. Belum jauh mereka berlari, ada sesuatu muncul dari bawah tanah, melompat keluar betul-betul di tempat mereka berkumpul tadi.
"Nasib baik kita sempat," kata Stom dengan nafas termengah-mengah. Matanya tidak lari dari memandang makhluk yang sedang berdiri dengan empat kaki, kepalanya seperti tenggiling dengan gigi yang tajam, badannya berbulu coklat dan ekornya dipenuhi duri. Tapi apa yang menakutkan, tubuh makhluk itu tiga kali ganda lebih besar dari mereka.
"Lari dalam bentuk putaran!"
Mereka berempat memecut mengelilingi makhluk itu, menyebabkan ia tidak tahu arah mana ingin menyerang. Apabila ia memfokuskan tumpuan pada Stom, Rho mengarah Ayriex untuk menyerang kakinya.
"Hati-hati dengan ekornya! Ia sangat tajam seperti pisau."
Ayriex menunggu untuk beberapa saat. Dia hanya memerhati dengan penuh sabar pertarungan antara Rho dan Stom dengan makhluk padang pasir itu. Luz di sisinya mendiamkan diri tapi matanya galak mengikut setiap pergerakan Lugarius. Apabila makhluk itu mengganas dan mengerang akibat diprovok oleh Rho, ia mula hilang kawalan dan tanpa hala tuju, mula menyerang apa-apa saja di laluan pandangannya.
"Makhluk itu sedikit bodoh dan mudah naik angin. Awak hanya perlu tunggu hingga dia betul-betul marah kemudian penat, barulah mulakan serangan. Dan Luz, awak jadi pelindung kami."
Cuba memahami maksud Rho, Ayriex tidak berbuat apa kerana makhluk itu masih mengganas. Ia tidaklah laju disebabkan badannya yang berat dan duri tajam, tetapi kekuatan cakarannya mampu memecah sebiji batu besar. Tambahan, kata Rho, kulit atasnya keras dan tidak dapat dicederakan. Oleh itu, Ayriex perlu menyerang bahagian bawahnya yang tidak dilindungi kulit sekeras perisai.
Namun lama kelamaan, bukan sahaja makhluk itu yang hilang tenaga, Rho dan Stom juga begitu. Larian mereka semakin perlahan dan nafas kelihatan berat dan termengah-mengah. Ayriex mengenggam erat pemegang belatinya. Tiba-tiba Stom tersungkur. Mukanya tersembam ke tanah. Lugarius berhenti mengejar Rho lalu menukar mangsanya. Dengan deruan nafas yang lebat keluar dari hidung, makhluk itu mempercepatkan kelajuannya dan menyerang Stom,
"Stom!" Jerit Rho. Dia mula panik. Remaja berambut oren itu kelihatan sangat penat, menyebabkan dia tidak berdaya untuk bangun. Dia mahu membantu Stom apabila suara jeritan Luz bergema di padang yang sunyi itu.
"Tunduk, Rho!"
Meskipun kelam-kabut, Rho sempat menurut. Dia bersujud di tanah, menunggu dengan sabar. Beberapa saat kemudian dia terdengar bunyi sesuatu membelah angin, sangat pantas hingga belum sempat Rho berfikir, raungan Lugarius menampar telinganya. Dengan tubuh menggeletar, Rho bangun untuk melihat makhluk itu menggelupur di tanah. Matanya terpejam dan kakinya berdarah dengan bilahan yang agak dalam.
Rho menoleh ke kanan. Luz tersenyum penuh bangga manakala Ayriex dengan tenang berjalan ke arahnya.
"Awak okay?" Tanya Ayriex.
Rho menyambut huluran tangan Ayriex lalu berdiri. Dia menepuk debu di tubuhnya. "Apa yang awak berdua dah buat?"
"Saya membidik matanya," Luz menjawab dengan sengihan seolah apa yang dicakapnya adalah sesuatu yang kelakar. "Kemudian Ayriex menyerang kakinya. Saya mahu membidik sebelah lagi matanya tapi macam kasihan pula."
Rho terpegun. Dia memang tahu Luz memiliki kemahiran membidik yang hebat, tapi tidak sangka pula sudah mencapai ke tahap yang tinggi. Membidik pada mata haiwan yang sedang berlari laju adalah kebolehan yang sangat luar biasa. Dan Luz lakukannya dengan mudah. Luz selalu membebel yang dia tidak membantu dalam setiap misi yang Rho rancangkan dan sering berasa terasing. Tapi itu kerana kebolehannya tidak diguna pakai secara menyeluruh. Namun kini, skil Luz sangat berguna.
Mereka bertiga menghampiri Stom yang sedang baring keletihan. Nafasnya tercungap-cungap mencari oksigen. "Saya ingatkan kamu mahu biarkan makhluk itu jadikan saya hidangan tengah harinya," bebel Stom dengan wajah pucat. "Saya nyaris-nyaris dimakan!"
Rho ketawa. "Maaf, maaf. Saya tak sangka awak boleh terjatuh. Awak patut berlatih dengan lebih lagi untuk tingkatkan stamina."
"Saya kelaparan, sebab itulah."
Luz menggelengkan kepala. Raungan daripada makhluk Lugarius itu menyedarkan mereka yang ia masih hidup dan mungkin menyerang mereka bila ia sudah bersedia. Perlahan-lahan Luz menghampiri makhluk itu, menyebabkan yang lain menjerit cemas.
"Luz, apa awak nak buat? Bahaya!" Larang Ayriex, sudah bersiap sedia dengan belatinya.
"Shh, awak menakutkannya," marah Luz. Dia memaksa Ayriex untuk menyimpan senjatanya, begitu juga dengan Rho dan Stom.
"Luz dah gila," gumam Stom tidak percaya. "Kalau makhluk itu makan awak nanti jangan salahkan kami pulak!"
"Dia takkan makan kitalah, Stom," balas Luz tenang. Gadis itu sedang berdiri di delan wajah Lugarius yang terbaring lemah. Apabila sebelah matanya yang tidak cedera terbuka, ia hanya memandang Luz tidak berkelip.
"Mana awak tahu? Mungkin awak terlupa, tapi dia mahu makan saya sekejap tadi."
"Itu sebab awak telah pijak telurnya, Stom."
"Apa?" Mereka bertiga menjerit.
"Sebab itu awak terjatuh," tambah Luz lagi. Dia menunjuk ke arah serpihan kulit telur yang berterabur di atas tanah.
"Eh, sejak bila- sekejap, jadi benda keras yang saya langgar tadi adalah telur?" Stom termengekalan, masih tidak percaya yang dia baru saja memijak telur makhluk itu. Rasa bersalah mengantui dirinya. "Adakah dia marah? Telur itu - anaknya masih hidupkah?"
Mereka berempat mengerumuni serpihan telur yang pecah, mencari-cari sisa isi dalamannya tapi tidak menjumpai apa-apa. Stom rasa mahu menangis. Dia seolah telah membunuh makhluk yang tidak bersalah walaupun ibunya baru saja menyerang mereka.
"Macam mana ni? Saya dah bunuh anaknya," Sto menggumam sedih.
Pergerakan dari makhluk itu membuatkan mereka tersentak. Ia bangkit secara perlahan-lahan, cuba membuka kakinya namun kecederaan pada kaki belakangnya menyukarkannya untuk bergerak. Setelah bersusah payah untu bangun, akhirnya Lugarius itu berjaya berdiri dengan empat kaki. Di bawah tubuhnya kelihatan seekor makhluk kecil yang sedang merengkot seperti udang.
"Ah, anaknya masih hidup!" jerit Stom gembira. "Syukurlah saya tak jadi pembunuh! Kalau tak saya mesti menyesal sepanjang hayat."
Luz tersenyum. Memberanikan diri, dia mengusap hidung makhluk itu perlahan. "Tengok, dia tak ganaslah!" kata Luz apabila makhluk itu berdengkur.
Rho memandang aneh kelakuan makhluk itu yang tidak serupa dengan apa yang dinyatakan dalam buku. Menurut bahan baacn itu, Lugarius adalah makhluk yang sangat bersifat pelindung dan tidak suka kawasannya diceborohi. Ia akan bertukar ganas dan mula menyerang apa-apa saja yang memasuki kawasannya. Rho berfikir-fikir sejenak. Buku itu tidak pula menyatakan yang Lugarius seekor makhluk pembunuh. Rupanya mereka tersilap andaian.
"Sakitkah? Maafkan kami," ucap Luz sambil menilik luka di kaki Lugarius itu. Dengusan kasar kedengaran dari makhluk itu tapi ia tidak melawan sebaliknya hanya memerhati. Luz berlari mendapatkan begnya dan mengeluarkan daun herba yang dibawanya.
"Tahan sikit ya, tapi lepas ni awak akan okey." Penuh hati-hati, Luz menyapu herba yang sudah siap ditumbuk dan disapu pada luka itu. Ayriex juga duduk membantu, sambil itu meminta maaf.
"Siap. Jaga anak awk baik-baik. Hati-hati!" kata Luz bila makhluk itu mula berjalan. "Selamat jalan, Luca!"
"Luca?" Soal Stom tidak percaya. "Makhluk itu ada nama? Awak tanya dia kah?"
Luz memberi Stom renungan tajam. "Saya yang bagi ia nama. Comel kan?"
Ayriex mengangguk setuju, menyebabkan Stom berang. "Jangan melayan sangat si Luz ni, Ayriex. Sebab kamu terlalu manjakan dia, Luz jadi mengada-ngada!"
Perbalahan antara Luz dan Stom berterusan sepanjang jalan tapi Rho dan Ayriex hanya membiarkan. Kadang-kadang seronok mendengar, tapi ada satu masa ia menyakitkan kepala Rho.
"Oh, saya dah nampak! Itu pondok untuk kita rehat malam ini!" Stom bersorak riang.
Dari jauh, kelihatan sebuah pondok usang yang terbiar di tengah padang yang sunyi. Terdapat sebatang pokok yang botak di tepinya. Cuaca sudah mulai redup dan suhu berubah dingin. Langit tidak lagi secerah tadi tapi bertukar kejinggaan, bercampur dengan warna merah hingga meninggalkan warna hitam di kaki langit.
"Nasib baik kita sempat sampai sebelum malam. Kalau tidak mesti terlepas pondok ini sebab tak nampak," komen Rho. Dia membuka pintu pondok dengan luas supaya cahaya yang malap dari luar menerangi keadaan di dalamnya. Terdapat bekas unggun api di tengah pondok sebesar rumah Trevor itu dan ditepinya penuh dengan tong yang tidak berguna manakala lantainya ditutupi daun kering. Disebabkan ia berada di kawasan berangin, lantainya dicemari sedikit pasir.
"Stom, Ayriex, awak berdua pergi cari kayu api untuk dibuat unggun. Saya dan Luz akan mengemas di sini," arah Rho. Mereka bertiga mengangguk.
Tidak lama, cahaya api mula menerangi pondok kayu itu. Mereka berempat mengelilingi unggun api yang marak, mencuri haba. Luz memeluk jubahnya rapat ke tubuh. Dia agak sensitif dengan cuaca sejuk dan mudah sakit sekiranya suhu sangat rendah seperti pada musim dingin.
Tiba-tiba Ayriex menanggal jubahnya lalu meletakkan kain itu di bahu Luz. "Awak akan sakit nanti," gumamnya perlahan. Matanya dilarikan.
Luz ketawa kecil. "Terima kasih," ucapnya seraya memeluk jubah itu, menghidu bau yang seakan Ayriex - campuran bau tanah dan daun segar.
"Baiklah, malam ni kita akan berjaga bergilir-gilir. Luz dan Stom akan berjaga dulu kemudian jam 2 pagi akan bertukar kepada saya dan Ayriex. Jam 5 kita akan berangkat supaya lebih cepat awal sampai. Saya jangkakan kita tiba di Kendall jam 3 petang kalau tiada masalah," kata Rho.
"Baiklah, kami berdua berehat dahulu. Bila sampai masa kami nanti, bangunkan kami."
"Baik, Rho," kata Luz dan Stom serentak.
Dua remaja itu segera mengumpul daun-daun kering untuk dijadikan alas. Tikus dan lipas yang mencicit lari tidak diendahkan. Mereka sudah terbiasa dengan keadaan itu dan tidak kisah tidur bersama dengan haiwan itu. Asalkan mereka tidak menggigit.
"Awak mengantuk? Lelaplah dulu untuk beberapa minit," cadang Stom yang kasihan melihat Luz terhengguk-hengguk menahan ngantuk.
"Terima kasih Stom. Saya tidur untuk 10 minit ya." Luz menarik lututnya hingga ke dada dan melentokkan kepala di bahu kanannya. Baru saja Luz mahu melelapkan mata, pintu pondok yang tertutup rapat tiba-tiba terbuka dari luar. Matanya terus terbuka, rasa mengantuk mulai hilang.
Dua orang lelaki alven menapak masuk sambil tersengih.
"Selamat petang budak-budak!"
Share this novel