11 || Latihan Bermula

Fantasy Series 2996

Luz mengekori Even sehingga mereka tiba di tempat latihan yang penuh dengan alat memanah. Di setiap dahan pokok dilukis tiga bulatan putih manakala di tengahnya terdapat bulatan kecil berwarna merah.

"Pernah memanah?"

Tubuh Luz tersentak mendengar soalan daripada Even. Dia yang leka memerhati keadaan sekeliling tersenyum malu. Perlahan-lahan Luz menggelengkan kepala.

"Pilih busur yang kamu suka." Even menunjuk ke arah deretan busur yang disusun di dalam kotak kayu. Tanpa berlengah, Luz memilih busur yang tersusun rapi. Ada pelbagai saiz dan berat. Selepas mencuba hampir kesemua busur, Luz memilih sebatang busur yang tubuhnya berwarna coklat kayu gelap. Berat dan kepanjangannya terasa sesuai dengan dirinya.

Even tidak memberi apa-apa reaksi, sebaliknya mengarah Luz untuk mengambil tempat dihadapannya. Centaur itu meletakkan sebuah bakul tinggi yang penuh dengan anak panah.

"Sasarkan pada pokok yang terdekat."

Luz hanya menurut. Dia membetulkan kedudukannya, memegang busur itu seperti sudah pernah memanah beribu kali dan menarik anak panah. Matanya tidak lari daripada bebola merah kecil dihadapannya. Dengan satu tarikan nafas, Luz melepaskan anak panah.

Ia tepat mengenai sasaran.

"Seterusnya." Tanpa pujian, Even mengarah Luz mensasarkan pada pokok yang sedikit jauh. Dan setiap kali sasarannya tepat mengenai, jarak pokok semakin jauh.

Meskipun ketepatannya tidak berubah, namun Luz sedar tenaganya semakin berkurangan. Otot di lengannya seolah diikat dengan batu dan bahunya terasa sakit.

"Baiklah, berhenti."

Luz menarik nafas panjang. Peluh yang menitik di dahi dikesat. Dia tidak menyangka memanah tanpa henti boleh menyedut hampir kesemua tenaganya. Sudahlah dia belum makan sarapan pagi.

"Letakkan busur di tempat asal. Hari ini hanya setakat ini saja," kata Even sebelum berlalu pergi. Luz tergesa-gesa menyusun busurnya sebelum berlari mengikut belakang centaur itu. Gurunya itu memintanya duduk di tunggul kayu yang berselerak di atas tanah.

"Penat?" Even memberi buluh air kepada Luz yang meneguknya tergopoh-gopoh. Rasa dingin yang mengalir di anak tekaknya menambah tenaga dan menyegarkan tubuh badannya.

"Sikit," jawab Luz perlahan.

"Kamu kurang stamina dan tenaga," kata Even, menjeling Luz sekilas. Gadis itu tertunduk seolah sedang berfikir. Dia tahu Luz sedar akan kelemahannya yang satu itu.

"Apa patut saya buat?"

"Bersenam," kata Even. "Sepanjang lima hari ini, jangan sentuh busur itu. Kamu hanya perlu lakukan latihan senaman yang saya sediakan."

"Baiklah." Luz berdiri, menepuk punggungnya yang sedikit kotor. "Saya akan lakukan."

Even tersenyum. Dia mula menyukai semangat Luz yang tidak mudah mengalah dan mudah menerima kelemahannya.

"Kamu berehatlah. Sekejap lagi mungkin yang lain sudah habis berlatih," kata Even.

"Ah, em... nak balik dah?" Luz tidak tahu bagaimana mahu memanggil Even yang jarang sekali bersuara. Dia ingin bertanyakan sesuatu kepada centaur itu.

"Panggil saja Even. Kamu mahu tanya sesuatu dengan saya?"

"Ya. Er, em, pasal magi," kata Luz masih malu-malu.

"Apa yang kamu mahu tahu?"

"Even, awak cuma ajar saya memanah ke? Tak termasuk magi?"

Even tersenyum. "Kepakaran saya adalah memanah, alf muda. Penguasaan magi saya agak lemah berbanding jurulatih yang lain."

Hati Luz terus diruntun kecewa.

"Ada sebab kenapa tuanku hanya mengarah saya sebagai jurulatih kamu. Dia percaya kamu akan dapat mempelajari lebih banyak tentang magi  di akademi itu nanti," tambah Even.

Luz terdiam. Keupayaan Ratu Pari untuk melihat masa depan sudah terbukti, oleh itu Luz mahu tidak mahu terpaksa percaya dengan kata-kata Ratu  Pari.

Selepas duduk menunggu lebih 10 minit, Stom tiba dengan keadaan yang lemah dan wajah tidak bermaya. Rambut jingganya kusut masai, kulitnya penuh dengan tompokan tanah.

"Macam teruk saja latihan awak," komen Luz sebaik saja remaja itu menghempas punggungnya di lantai tanah. Stom tidak membalas, hanya sibuk mengipas mukanya yang membahang dan basah dengan peluh. Mata hitam itu menjeling Luz sekilas.

"Latihan awak okey kah? Awal juga awak habis?" Stom bertanya dengan nada cemburu.

Luz menggaru kepalanya yang tidak gatal. "Er, taklah awal sangat. Hari ini saya cuma memanah saja, esok hari barulah latihan fizikal bermula."

"Ah, cemburunya saya! Awak tahu, si Hayden tu macam membuli saya saja. Dia bukannya mengajar, tapi menyerang setiap bahagian tubuh badan saya ni. Habis lebam semuanya!" Stom menggerutu tidak puas hati. Alf itu tidak menyedari kehadiran Even yang sedang memerhatinya dengan senyuman.

"Mungkin caranya begitu," Luz cuba untuk memujuk. Bila Stom marah, mulutnya tidak akan berhenti membebel seperti alf tua.

"Hah! Saya tak belajar satu apa pun hari ini. Dua jam itu saya diserang saja! Saya tak tahu bagaimana hari saya seterusnya," Stom mengeluh, mencarik rambutnya kerana tertekan. "Kalau kamu semua dapat masuk ke akademi itu dan saya gagal, apa yang akan saya buat?"

"Jangan mengarutlah, Stom. Kalau awak tak dapat masuk, kami semua takkan masuk. Bukankah kita dah berjanji akan lakukan semuanya bersama-sama?"

Mata Stom bersinar. "Betulkah? Kamu semua takkan tinggalkan saya?"

"Yalah. Tapi awak kenalah berlatih juga. Macam mana kita nak laksanakan impian kita kalau awak tak nak berlatih?" Giliran Luz pula membebel. Stom perlu diberi tekanan supaya dia mempunyai semangat.

"Tapi si Hayden tu-"

"Hayden cuma mahu melihat sejauh mana kemampuan awak," kata Even tiba-tiba.

"Huargh! Bila masa awai berada di sini?" Stom termengkelan. Dia rasa mahu sembunyikan wajahnya di dalam tanah. Pasti centaur itu sudah mendengar semua rungutannya tentang pari-pari itu.

"Sejak tadi," Even menjawab tenang. "Cara Hayden mungkin agak kasar tapi dia berpengalaman dalam seni mempertahankan diri. Tanpa senjata, Hayden adalah yang terkuat antara kami berempat. Kamu bertuah mendapat dia sebagai guru."

Mulut Stom terkumat-kamit meluah rasa tidak puas hatinya. Marahnya memuncak bila melihat Rho hadir dengan keadaan yang masih sempurna dan bersih. "Awak tak kotor pun!" bentaknya.

Rho yang tidak tahu apa-apa hanya mengebilkan matanya. "Ke-kenapa saya perlu kotor? Hari ni cuma permulaan. Oh, er- kenapa awak-" Rho tidak jadi bersuara tatkala terlihat penampilan Stom yang serabai dan penuh dengan kesan luka.

"Awak okey, Luz?" Rho cuba menukar topik, namun Stom terus mendengus.

"Ayriex!" Stom yang terdengar nama remaja itu terus mengangkat kepalanya. Wajahnya yang masam terus berubah ceria bila terpandang keadaan Ayriex.

"Hah, saya ada kawan! Awak nampaknya lagi teruk dari saya!" Stom ketawa berdekah-dekah melihat muka Ayriex yang penuh dengan lumpur dan luka. Pakaiannya sudah berubah warna dan kulit mulusnya diwarnai darah.

"Awak tak apa-apa? Stom, awak ni jahatlah!" Luz meluru ke arah Ayriex lalu menarik tangannya ke arah tempat mereka duduk. Luka Ayriex nampak lebih teruk berbanding sewaktu dia dikerjakan oleh Encik Dunsten.

"Apa yang dia buat pada awak?" tanya Rho yang sedikit bingung melihat keadaan dua rakannya. Hanya dia dan Luz sahaja yang dalam keadaan sempurna. Rho tertanya-tanya adakah mereka melalui latihan yang berbeza.

Ayriex membuka dan menutup mulutnya. Dia menggumam perlahan. "...hanya berlatih."

"Berlatih sampai awak cedera seperti ini?" Luz menjerit geram.

"Tak apa-apa, Luz. Sikit saja sakitnya." Ayriex cuba menarik Luz agar duduk semula namun bila gadis itu mula marah, dia tak pedulikan perkara yang lain lagi. Luz mencari guru Ayriex dan menemuinya saat dia tiba bersama kembarnya.

"Awak Haysen?" Luz cuba menahan dirinya dari menderam. Keadaan pari itu juga tidak terurus, tidak seperti kembarnya yang masih kemas dengan senyuman sinis di bibir.

Haysen hanya mendiamkan diri, pura-pura tidak mendengar sehingga Frais memecahkan keheningan. Pari-pari itu tiba dan apabila dia ternampak wajah Haysen yang penuh dengan lumpur, ketawanya pecah.

"Apa ni? Haysen yang hebat berlumuran dengan lumpur?"

Muka Haysen merah padam. Matanya menjeling Ayriex tajam tapi remaja itu buat tidak endah.

"Baiklah, cukuplah itu." Even melangkah ke tengah-tengah, mahu mengelak ada lagi pertengkaran berlaku di antara pari-pari itu. "Saya rasa kamu berempat sudah menerima ulasan dan arahan dari jurulatih masing-masing?"

Mereka berempat mengangguk.

"Kalau begitu kita berjumpa di sini esok hari pada waktu yang sama. Gunakan peluang yang ada ini sebaik mungkin untuk meningkatkan kemahiran kamu semua. Ingat, kamu cuma ada dua minggu lebih saja lagi. Selebihnya terpulang kepada keupayaan kamu untuk lulus dalam ujian kemasukan nanti,"ucap Even panjang lebar. Selepas itu, Edra muncul untuk membawa mereka bersarapan pagi.

"Macam mana latihan hari ini?" Ratu Pari bertanya sebaik saja baginda muncul di ruang makan. Ketika itu, pari-pari kecil sedang sibuk menghidang pelbagai jenis makanan di atas meja bujur yang panjang. Mereka berempat bangun untuk memberi hormat.

"Berjalan lancar, tuanku. Walaupun ada yang mengguman tidak puas hati," Rho mengusik Stom dan Ayriex. Dua alf itu menundukkan kepala, pura-pura memilih lauk untuk dimakan.

Ratu Pari ketawa. "Kembar itu memang suka membuli sikit tapi kebolehan mereka adalah yang terbaik. Selalunya hari pertama adalah hari penilaian. Mereka akan berlawan dengan kamu untuk melihat sejauh mana keupayaan kamu."

"Jadi apa pendapat Hayden tentang saya?" Stom bertanya teruja. Hayden langsung tidak memuji apatah lagi memberi komen selepas latihan mereka tamat. Dia dihalau sebaik saja tempoh dua jam berakhir.

Mata Ratu Pari bersinar di bawah limpahan cahaya chandelier. "Awak ada potensi tinggi," kata Ratu Pari dengan senyuman penuh makna. "Dia ada komen apa-apa?"

"Tidak ada."

"Itu maksudnya awak melepasi apa yang diharapkannya. Selalunya Hayden akan berleter dan mencemuh pelajarnya yang dirasakannya tidak layak belajar di bawahnya. Tapi diamnya Hayden bermaksud dia mengakui kehebatan awak."

"Oh!" Stom tersenyum kegirangan. "Kamu semua dengar tu? Saya ada potensi untuk jadi hebat tau!"

Mereka bertiga tersenyum sendirian. Sebelum Stom sedar, mereka terlebih awal tahu tentang kelebihan Stom. Cuma alf itu saja yang tidak tahu menggunakannya.

"Bagaimana dengan Ayriex, tuanku? Dia tidak seperti sedang menjalani latihan, tapi seperti dibuli," Luz meluahkan rasa amarahnya. Setiap kali mengingatkan luka dan lebam di wajah Ayriex, dia jadi bengang.

"Kembar itu sama saja caranya," Ratu Pari berkata, sambil jemarinya menyapu jem berwarna biru di atas roti. "Tapi Haysen berbeza sedikit. Dia bersikap lebih dingin dan pendiam dan caranya juga lebih... macam mana nak kata, kejam sedikit. Tapi rasanya Ayriex adalah yang pertama."

"Apa yang pertama?" Tanya Luz tidak sabar.

Ratu Pari mengecilkan matanya seraya tersenyum penuh makna. "Haysen nampak gembira."

Mereka berempat tercengang. Muka dingin dan batu itu boleh gembira?

"Beta tahu apa yang kamu fikirkan," kata Ratu Pari sambil ketawa. "Haysen memang jarang menunjukkan reaksi, sama seperti rakan kamu ini. Dia lebih suka mendiamkan diri dan membiarkan Hayden yang bercakap. Ayriex, apa perasaan awak bila berlawan dengan Haysen?"

Ayriex termenung sesaat, memikirkan kembali perasaan saat berlawan dengan pari-pari itu. Sejujurnya, dia tidak pernah berlatih dengan makhluk lain selain rakan-rakannya. Itu pun dengan Rho yang mempunyai skill setanding dengannya. Namun dengan Haysen, Ayriex dapat menerokai kekuatan terpendamnya kerana pari-pari itu seolah sengaja menyerang titik kelemahannya dan dia tanpa sedar mencari jalan untuk memperbetulkan.

Jika ditanya perasaannya saat itu, Ayriex cuma dapat simpulkan satu perkataan saja.

"Saya gembira," katanya dengan senyuman kecil. "Dia jurulatih yang hebat."

Luz membuat muka tidak percaya, tapi bila melihatkan sinaran di mata Ayriex, maka tahulah dia rakannya itu benar-benar gembira. Itu adalah kali pertama Ayriex tersenyum disebabkan oleh makhluk lain. Dalam diam, Luz tumpang gembira.

"Kalau begitu, beta harap kamu mempergunakan tunjuk ajar jurulatih kamu dan kemudahan di sini untuk tingkatkan skil. Beta percaya kamu berempat akan melepasi dengan jayanya," ucap Ratu Pari.

"Terima kasih, tuanku." Mereka berempat menjawab serentak. Perasaan tidak sabar sudah berkobar-kobar untuk habiskan tempoh latihan itu. Luz yakin mereka akan dapat masuk ke akademi itu selepas mendengar bicara Ratu Pari.

Luz percayakan kata-kata Ratu Pari.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience