Pada mulanya agak sukar untuk Luz mencari ruang untuk menangkis serangan bertubi-tubi dari Ian. Remaja itu memang berniat untuk membunuhnya. Sepanjang perlawanan itu, Luz hanya mampu bertahan. Keadaan itu mengingatkan Luz pada perlawanan Stom pada Hari Penilaian di Moonhaven. Lawan Stom juga seorang yang agresif dan tidak memberi peluang untuk Stom berfikir langkah yang seterusnya. Namun Stom bertuah sebab memiliki kekuatan. Dan Luz? Dia cuma ada skil memanah saja. Dengan bersenjatakan pisau, Luz sedar dia tiada harapan untuk menang ujian kedua itu.
"Cakap besar saja!" Sindir Ian sambil ketawa mengekek. Seronok melihat kesengsaraan Luz menahan serangannya. "Rupanya lemah macam ulat. Serupa dengan puak kamu!"
Darah Luz mendidih. Bibir diketap dan pisau digenggam erat. Luz mahu membalas namun tiba-tiba dia teringatkan ajaran Even.
'Amarah adalah pembunuh senyap dalam diri kita. Tarik nafas, bertenang dan kosongkan minda. Cari guna mata dan akal, bukannya hati dan nafsu.'
Serta-merta Luz menarik nafas panjang lalu dilepaskan dengan kiraan tiga.
'Jangan salahkan senjata, tapi salahkan ketidakmampuan kamu. Seorang pengendali senjata yang hebat tidak akan bergantung seratus peratus dengan senjatanya untuk menang tetapi skil.'
Ya. Luz mungkin tidak mempunyai keturunan atau ibu bapa yang hebat tetapi dia ada guru yang paling hebat di Alveria. Sesaat Luz menyesal kerana berniat untuk menyerah kalah sebelum menggunakan semua kemahiran yang dipelajarinya selama tiga minggu di Moonhaven. Even tidak mengajarnya untuk lemah. Even mahu Luz untuk bangkit dari kekalahan.
Tajamkan mata dan telinga, Luz menghalakan hujung pisaunya tepat pada bilah pedang Ian, mematikan pergerakan alf itu. Ian tampak terkejut namun segera menukar posisinya lalu menyerang semula. Namun teknik yang digunakannya sama saja menyebabkan Luz sudah tahu di mana serangan yang seterusnya.
"Kau!" Ian menderam, tiba-tiba menjauhkan diri dari Luz. Mungkin sedar tekniknya sudah dipelajarinya.
Luz cuba membetulkan nafasnya yang tunggang-langgang seraya mengelap peluh yang sudah basah di mukanya. Ian memang hebat. Satu kenyataan yang terpaksa Luz akui. Meskipun teknik serangannya sama, namun skilnya sangat hebat. Melihat perubahan wajah pada lelaki itu, Luz sedar dia sudah membuatkan Ian naik angin. Tidak ada lagi senyum sinis di bibirnya.
"Aku takkan biarkan kau menang," Ian berkata dingin.
Tekniknya berubah secara tiba-tiba memaksa Luz untuk menjauhkan diri. Jeritan dan sorakan yang bertindih antara satu sama lain membingitkan telinganya. Kalau tadi dia yakin atau sekurang-kurangnya memiliki peratusan untuk menang sekalipun hanya satu peratus, sekarang Luz tidak yakin lagi. Pun begitu, Luz tetap mencari ruang untuk diserang meskipun tiada.
"Kau antara alf yang berjaya buatkan aku tunjukkan teknik ni," ujar Ian, nadanya terselit kekaguman. "Aku akan ingat nama kau."
Serentak itu, Ian meluru ke arah Luz dengan kelajuan yang pantas dan mengejutkan. Luz tergamam seketika namun sempat membetulkan semula fikirannya. Namun tempoh dua saat itu sudah cukup untuk Ian menerobos pertahanannya. Dalam usaha untuk mengelak, Luz gagal mengimbangi tubuhnya lalu terjatuh. Dia berusaha untuk bangun namun hujung pedang sudah terhala di mukanya.
"Ian Harwick menang!"
Sorakan diberikan kepada pemenang, selang-seli dengan tepukan gemuruh. Perlahan-lahan Luz bangkit dari jatuhnya sambil menepuk kain seluar yang dicemari pasir.
"Awak dah buat yang terbaik," puji Erna ikhlas.
Luz mengukir senyuman tawar. Dia tidak mengharapkan sebarang pujian tapi mementingkan markah ujian itu. Sudah tentu ia akan berkurangan disebabkan kekalahannya. Harapan terakhirnha terletak pada ujian ketiga.
"Awak sangat hebat! Awak berjaya menahan serangan Ian," kata Natalia dengan mata bersinarnya.
"Tapi saya tetap kalah," gumam Luz sedih. "Saya risau gagal masuk ke akademi."
Natalia menepuk lembut bahu Luz. "Markah kita sama sekarang ni. Satu gagal, satu lulus. Kita hanya perlu buat yang terbaik di ujian ketiga."
Luz mengangguk setuju. Semangat dan keyakinannya bangkit semula. Sebab itu apabila mereka tiba di tapak memanah, Luz sudah tidak sabar. Melihat busur-busur yang elok tersusun menyebabkan perasaannya jadi ghairah. Seolah senjata itu memanggil dirinya.
"Baik, macam yang kamu lihat, kita sekarang berada di tapak memanah," kata Erna sambil bercekak pinggang. "Ini adalah ujian terakhir, jadi buat bersungguh-sungguh seakan nyawa kamu yang dipertaruhkan. Untuk ujian kali ini, kamu diberi tiga peluang. Semoga berjaya."
Terdapat sepuluh landasan dan mengikut urutan tadi, alven yang terlibat mengambil tempat masing-masing dengan pilihan busur. Erna berjalan mundar-mandir melihat persiapan ahlinya sebelum berhenti di belakang seorang alf bernama Herma.
"Sedia?" Jeritnya hampir membuatkan gadis itu melompat. "Tenangkan fikiran dan fokus pada bulatan putih itu. Asalkan dalam garisan, kamu akan mendapat markah. Mula!"
Setiap anak panah yang terbang laju ke papan sasaran dipandang Luz dengan perasaan tidak sabar. Darah mengepam laju hingga jantungnya berdegup pantas. Pemandangan indah baginya kini adalah puluhan anak panah yang terbang melintasi matanya
"Cepat...cepat..." Luz menggumam sambil kakinya melompat kecil. Rasa mahu ditolak saja alven lain agar dia dapat memanah.
"Sabar, Luz. Sekejap lagi giliran awak," tegur Natalia yang sejak tadi memandang tingkah aneh rakan barunya itu.
Luz tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun. Sebaik saja sampai giliran Myra, tumpuan Luz hanya pada gadis itu. Rambut lembut itu beralun lembut saat Myra membetulkan postur dan posisinya. Matanya tertutup dan tangannya memegang erat busur dan anak panah.
"Oh, dia nampak anggun sekali," puji Natalia yang turut terpukau dengan kecantikan Myra. Aura sebagai seorang puteri sangat jelas kelihatan meskipun dia tidak melakukan apa-apa aktiviti dan sekadar berdiri tegak. Gayanya berjalan, duduk dan kini menarik anak panah sangat teratur dan elegan.
Apabila Erna menjerit sedia, Myra melepaskan anak panah tanpa ragu-ragu. Tiga anak panah dan semuanya tepat mengenai bulatan kecil itu.
"Dia sangat hebat," puji Luz tanpa diminta. Luz tertanya-tanya siapakah yang hebat antara dia dan Ayriex. Ian juga tidak kurang hebat walaupun anak panah ketiganya sedikit tersasar dari tengah bulatan itu.
Selepas menunggu sekian lama, akhirnya tiba giliran Luz dan Natalia.
"Kumpulan terakhir boleh ambil tempat."
Luz berdiri di sebelah Natalia. Busur yang dipilihnya adalah sama keberatan dan saiz seperti yang dilatihnya di Moonhaven. Kata Even, Luz perlu ingat perasaan pada ketika itu sampai hujung nyawanya. Pemilihan busur adalah salah satu aspek yang sangat penting dalam memanah.
"Semoga berjaya," ucap Natalia.
"Awak juga."
Luz sudah bersedia. Sebenarnya dia sudah bersedia sejak tadi. Di dalam mindanya sudah terbayang imej bulatan putih itu. Bagaimana anak panahnha nanti akan tepat mengenai sasarannya. Mendengar jeritan sedia, Luz tidak mahu tergopoh-gapah. Dia mengambil masanya untuk membetulkan aturan nafas dan sebaik saja sasaran ditemui, jarinya lincah melepaskan kayu kurus itu.
Zup! Ia tepat mengenai sasaran. Tapi kali ini Luz terasa mahu mencuba sesuatu yang baru. Dia tarik lagi anak panah, matanya merenung bukan lagi pada bulatan itu tetapi sesuatu yang lebih kecil dan halus. Terima kasih pada penutup mata itu, Luz dengan mudahnya menajamkan fokus apabila melastik atau memanah. Dengan satu tarikan nafas, Luz melepaskan lagi panahnya.
"Woah!"
Bisikan kekaguman menyapa gegendang telinganya. Dapat dirasai kemegahan dan kegembiraan bersatu dalam hati. Apabila panah ketiga turut mengenai sasaran yang sama, Luz tidak dapat menyembunyikan senyumannya.
"Gilalah, Luz! Awak sangat hebat!" Natalia merenung anak panah yang bertindih antara satu sama lain dengan perasaan takjub.
"Tidaklah," balas Luz malu-malu. Kemudian Luz mencari Erna, dalam hati berharap-harap sekurang-kurangnya gadis itu memujinya. Senyuman Luz mati bila semua alven di situ merenungnya seolah kepalanya telah tumbuh sepasang tanduk. Mereka terkaku dengan mata terbuka luas. Mimik muka Myra masih tiada perubahan tetapi bibirnya sedikit terbuka manakala Ian seolah baru nampak hantu.
"Er, saya ada buat silap ke? Saya rasa saya tak hebat mana," kata Luz teragak-agak, mulai risau dengan reaksi yang langsung tidak dijangka itu.
Erna yang dulu memecah kesunyian. "Dengan siapa awak belajar memanah, Luz?" Soalnya.
"Sebelum ini saya sering melastik tetapi kemudian bila tiba di Moonhaven, saya belajar memanah dari Even," terang Luz.
"Even?"
"Ya. Dia seekor centaur," jawab Luz pantas dan bangga.
"Cen...taur?" Kata Erna dengan mata yang lebih besar dari tadi. "Adakah dia... er, maksud saya Even itu seekor centaur yang tinggi, bertubuh tegap dan berbulu coklat di seluruh badannya?"
Luz terkejut. Bagaimana Erna mengetahui rupa paras Even? "Awak pernah berjumpa dengan Even? Saya pernah tanya dia tapi katanya tidak pernah keluar dari Moonhaven."
"Awak tak tahu?" Tanya Erna seperti Luz telah melakukan kesalahan besar kerana tidak mengetahui. "Dia adalah guru mendiang Raja Tertinggi!"
Kali ini bukan saja Luz yang terkejut, tetapi yang lain juga.
"Gu-guru mendiang Raja Tertinggi?" Luz langsung tidak menyangka gurunya itu mempunyai sejarah yang begitu hebat. Fikirnya Even seekor makhluk yang biasa-biasa tapi tidak dinafikan cara centaur itu mengajarnya sangat lembut dan penuh ilmu. Dia tahu dimana kekurangan Luz dan tahu cara untuk memperbaikinya.
"Betulkah, Ketua Erna? Macam mana awak tahu?" Seseorang bertanya.
Erna bercekak pinggang. Mukanya merah menahan marah . "Kamu semua tidak baca buku sejarah? Tidak tahu latar belakang raja kamu?" Tanyanya bengis.
"Maksud ketua, pari-pari yang dikatakan alf ini wujud?" Bidas yang lain.
Telinga Erna terasa berasap dengan ketidaksopanan ahlinya. "Namanya bukan 'alf ini' tetapi Luz," Erna menderam. "Saya tidak kata pari-pari wujud tapi kamu tidak pernah melihat tidak bermakna mereka tidak wujud. Mungkin Luz salah seorang yang bertuah kerana dapat berjumpa dengan Ratu Pari."
"Kata Ratu Pari, dia hanya akan memunculkan diri apabila seseorang itu betul-betul memerlukan bantuannya," Luz cuba melindungi dirinya dengan menerangkan perkara yang benar. Dia tahu tiada siapa yang akan mempercayainya tapi sekurang-kurangnya Luz mencuba.
"Apa istimewanya awak sampai Ratu Pari sudi jumpa dengan awak? Sebab mata awak hitam?" Alf itu ketawa seolah apa yang dikatakannya sangat lucu.
Tidak sempat Luz membalas, seseorang telah meluru di depannya, memberi satu tumbukan padu hingga alf itu tersungkur. Semua yang melihat terkejut, lebih-lebih lagi Luz. Dalam fikirannya, alf itu adalah yang terakhir sekali akan melakukan perkara sedemikian rupa. Adakah otaknya terjejas selepas perlawanan mereka tadi?
"Kau tak layak komen dia kalau diri tak sesempurna mana!" Jerkah Ian garang.
Alf itu terpinga-pinga, tangannya menggosok pipinya yang berpijar. "Kenapa awak berpihak pada dia? Bukan ke awak pun sama benci dengan dia?"
Ian mendengus. "Aku benci orang lemah."
Luz cuba memahami maksud lelaki itu. Jadi sekarang ini Ian tidak membencinya kerana merasakan Luz seorang yang kuat? Patutkah dia gembira untuk sesaat?
Bunyi deringan loceng yang panjang, sama seperti yang membangunkan mereka pagi tadi berbunyi. Erna menepuk tangan, menarik perhatian ahli kumpulannya. "Masa dah tamat. Semua orang berkumpul di dalam dewan tadi dan tunggu arahan yang seterusnya.
Luz sempat melirik ke arah Ian yang langsung tidak memandangnya. Dia terkejut bila terasa bahunya diciut seseorang.
"Jom Luz," ajak Natalia dengan senyuman.
Luz mengangguk. Malas untuk memikirkan sikap aneh lelaki itu.
Sesampai saja di dewan, perkara pertama yang Luz lakukan adalah mencari rakan-rakannya dan perkara itu adalah sesuatu yang sangat mudah. Nun di hujung dewan, rambut jingga milik Stom sangat menonjol. Luz menarik tangan Natalia yang takut-takut untuk bertemu dengan yang lain.
"Jangan risau, mereka tak makan awak." Luz menghampiri rakannya yang sibuk berbual. Apabila melihat Luz, mereka semua memandangnya dengan senyuman. "Saya agak semuanya berjalan dengan lancar?"
"Mestilah! Walaupun saya gagal satu ujian," kata Stom disambut tawa oleh yang lain.
"Saya pun sama gagal satu ujian!" Tambah Luz dengan sengihan. Tiba-tiba dia teringat gadis di sebelahnya. "Awak semua, ini Natalia. Kawan saya."
Natalia tersenyum malu. "Natalia Blackwood."
"Woah, Luz ada kawan baru! Saya kagum!" Stom menyinggung siku Luz sambil matanya melirik ke arah Natalia. "Kami tak ada seorang pun yang sudi berkawan."
"Ayriex, awak macam mana? Semuanya baik-baik?" Luz risau dengan rakan mereka yang satu itu. Berat mulut satu, mukanya yang masam mencuka sudah cukup buatkan yang melihat sakit hati.
"Okey," gumamnya sepatah.
"Ah, Nat. Ini adalah Ayriex. Dia sangat pendiam tapi sebenarnya baik hati. Yang banyak mulut ini pula Stom. Dan si kacak ini adalah Rho."
Natalia hanya mampu menundukkan kepalanya. Tidak sanggup memandang tiga remaja di depannya yang dianggap kacak dan berperawatakan sempurna.
"Jangan terpedaya dengan rupa mereka, Nat. Mereka sangat nakal dan gemar bermain," Luz memberi amaran beserta senyuman penuh makna.
"Tak baiklah Luz burukkan kawan sendiri!" Rungut Stom dengan wajah cemberut. "Jangan percaya cakap Luz. Kami alven yang baik."
Luz menjulingkan matanya. "Yalah tu."
"Perhatian!"
Dewan yang riuh itu menjadi sunyi sebaik saja suara garau yang Luz sangat kenal pemiliknya itu bergema. Mata Louise sempat terhenti pada mereka sebelum cepat-cepat beralih pada ratusan alven di depannya.
"Kita akan ke Dewan Matahari untuk ujian terakhir. Bawa sekali beg dan semua barang peribadi kamu semua," arahnya lantang.
"Kalau saya gagal nanti jangan tinggalkan saya." Luz tiba-tiba rasa tidak yakin. Mereka tidak tahu bagaimana seseorang itu dinilai. Tapi kalau benar Luz tidak terpilih, dia akan benar-benar sedih.
"Awak jangan risaulah! Kalau seorang gagal, semua takkan masuk. Pandai-pandailah kita nak hidup macam mana lepas itu." Rho mengusap lembut rambut Luz membuatkan hatinya tenang.
Sekarang ini terserahlah bagaimana nasib mereka. Gagal atau lulus.
"Menjemput tenaga pengajar akademi terulung ini untuk memberi ucapan sepatah dua sekaligus memilih bakal pelajar pada tahun ini." Louise menepuk tangan sekaligus mengajak yang lain melakukan hal yang sama.
Di atas pentas terdapat lapan buah kerusi kosong dan di tengahnya terdapat sebuah meja kayu kecil dilapik kain baldu merah. Apabila pintu terbuka, dalam sekelip mata saja tempat duduk itu diisi tanpa ada bunyi dan suara. Bisikan kagum tentang kehebatan lapan orang alven itu meriuhkan suasana.
"Dipersilakan penanung dan pengasas akademi ini, General Neil Durandall untuk memberi ucapan."
Mereka tahu alf yang telah membantu mereka tadi seseorang yang berkuasa namun tidak disangka pula penaung akademi itu. Ia menambah lagi pelik di hati Rho akan penerimaan mudah kehadiran mereka di situ. Apa yang tersirat di hati lelaki itu, Rho mahu tahu. Buat masa ini, dia masih belum mempercayai general itu sepenuhnya.
"Selamat sejahtera dan selamat datang kepada bakal pelajar akademi ini. Tahun ini adalah tahun bersejarah kerana buat pertama kalinya pendaftaran terbuka kepada semua alven dan tidak terhad kepada golongan bangsawan dan diraja saja."
Sebaik saja ayat itu diucapkan, kata sinis mula timbul di kalangan alven terutamanya dari daerah luar. Wajah General Neil tetap tenang meskipun pandangan sebahagian daripada alven mula berubah.
Sambungnya lagi dengan suara garau, "Kami sangat berbesar hati menerika semua pelajar tanpa mengira kerajaan mahupun daerah. Oh ya, tidak lupa juga puak alven."
Pandangan semua alven serta merta tertumpu pada mereka berempat menyebabkan Luz terasa mahu sembunyikan kepalanya di dalam tanah. Belum habis hilang malunya, seseorang bertanyakan soalan yang sekarang ini pastinya berlegar-legar di fikiran semua.
"Kenapa benarkan mereka masuk?"
General Neil tersenyum meleret. "Ah, soalan itu. Baiklah, memandangkan pasti ramai yang tertanya-tanya, saya akan terangkan. Mereka berempat bukan saja dari alven cahaya tetapi juga kegelapan."
"Maksudnya?" Sampuk seseorang tidak sabar.
"Mereka adalah hasil hubungan dari puak ini dengan puak kegelapan," jawab General Neil tenang.
"Mustahil! Ia adalah dilarang!"
"Mereka patut dihukum kerana melanggar peraturan!"
"Ya, ya itu adalah perkara larangan di sini tapi kesalahan itu terletak pada ibu bapa mereka, bukannya anak-anak," tambah General Neil sedikit tegas menyebabkan yang lain terdiam. "Tiada undang-undang yang boleh menghukum mereka jadi atas sebab itu, mereka dibenarkan masuk ke akademi ini."
Berpuas hati dengan reaksi alven meskipun ada yang menggerutu, General Neil memberi senyuman tenangnya. "Kita akan ke ujian seterusnya. Ingin saya katakan, saya sudah melihat kesemua persembahan kamu dalam ketiga-tiga ujian tadi. Ada yang memberansangkan, ada yang biasa-biasa saja dan ada juga..." Di ayat itu, Luz sedar mata coklat itu sedang merenungnya tajam. "...mengejutkan. Tapi jangan risau. Ada banyak faktor yang dikaji sebelum kami terima kamu masuk ke sini. Dan ujian terakhir ini adalah salah satunya. Louise."
Louise mengangguk lantas naik ke pentas. Meja kayu itu dihampiri, di tangannya terdapat segulung kertas. Tiba-tiba dia memetik jari dan sekonyong-konyong sebiji bola mutiara muncul di atas meja itu.
Luz membesarkan matanya. "Dia ada magi yang sama dengan General Neil?" Tanya Luz pada Natalia.
"Dia anak buah General Neil," jawab gadis itu.
Luz semakin terkejut. Cara perbualan mereka semalam langsung tidak menggambarkan ada hubungan kekeluargaan sebaliknya seperti orang bawahan dan ketua.
"Dia memang begitu," kata Natalia seolah dapat membaca fikiran Luz. "Di sini dia adalah ketua. Tambahan Louise masuk dengan kekuatannya sendiri, tidak dibantu oleh General."
Luz mengangguk faham.
"Ini adalah Bebola Magis. Melalui ia, kami akan tahu jenis dan tahap keupayaan magi kamu."
Bebola berwarna lutsinar itu tidak ubah seperti sebiji batu bulat. Luz merenung bebola itu dengan perasaan takjub dan tidak sabar. Rupanya ada alat untuk mengetahui jenis magi mereka. Tidak sia-sia dia datang ke akademi itu. Wajah rakan-rakannya dipandang dengan pandangan bercahaya. Luz mengharapkan mereka berkongsi perasaan dengannya namun anehnya tidak.
Ekspresi wajah Rho risau dan serius, manakala Ayriex seolah tertekan dan Stom sugul. Apakah yang menyebabkan mereka berubah sikap tiba-tiba?
"Kamu hanya perlu meletakkan tangan di atas permukaan kaca ini dan tunggu," arah Louise lantas memanggil nama yang pertama. Gadis kecil molek tadi menggeletar saat namanya dipanggil. Langkahnya teragak-agak dan takut. Seperti yang diarah oleh Louise, alf bernama Aby itu perlahan-lahan meletakkan tangannya di Bebola Magis sambil menunggu. Tiba-tiba cahaya biru muncul di dalam bebola itu, berputar-putar sebelum lenyap dalam tempoh tidak sampai lima saat.
"Biasa-biasa saja," gumam salah seorang pengajar yang memakai jubah berwarna biru gelap. Wajahnya sentiasa serius dan marah-marah. Mata sepetnya merenung bosan ke arah Aby.
Wajah Aby kemerahan menahan malu. Segera gadis itu berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang lagi.
"Itu adalah Arabella Clavert," bisik Natalia. "Dia adalah guru untuk magi air. Selain itu mengajar subjek pertahanan diri."
"Apa maksudnya tadi itu?" Luz masih belum faham dengan fungsi bebola itu.
"Mengikut apa yang saya tahu, bebola magis adalah satu alat sejarah yang dapat menentukan jenis magi dan tahap mereka. Ia hanya ada satu saja di dunia ini. Warna cahaya akan muncul mengikut jenis magi. Contohnya tadi warna biru, maksudnya magi air. Tapi ia muncul sekejap saja jadi saya rasa maginya agak lemah," terang Natalia panjang lebar. "Warna merah untuk api, kuning untuk angin, coklat untuk tanah, putih untuk cahaya dan hitam untuk kegelapan."
Sesuatu terlintas di fikiran Luz. Sebab mengapa rakan-rakannya berubah sikap. Langsung dia tidak terfikir tentang kemungkinan itu.
Bagaimana kalau mereka berempat memiliki magi kegelapan?
Luz jadi takut tiba-tiba. Ia bermaksud darah alven kegelapan di dalam badan mereka mengalahkan alven cahaya. Sekiranya itu berlaku, adakah mereka akan mewarisi karakteristik alven kegelapan iaitu kejam dan licik?
Semakin dekat dengan nama Ayriex, Luz jadi risau lebih-lebih lagi bila remaja lelaki itu mula gelisah. Dia hanya menekur pandangannya di lantai manakala tangannya tergenggam erat di tepi tubuhnya.
"Ayriex Rusell."
Kepalanya terangkat. Mata mereka berempat bertemu, masing-masing menunjukkan riak kerisauan.
"Tidak apa, naik saja," Rho memberi kata semangat lalu menolak tubuh Ayriex supaya berjalan. "Jangan takut."
Semua pandangan tertumpu pada Ayriex. Suasana sangat sunyi membuatkan ia nampak lebih menakutkan seolah sesuatu yang buruk sedang menanti untuk muncul. Apabila Ayriex sudah berdiri di hadapan meja kecil itu, tubuh tenaga pengajar mengejang dan leher dipanjangkan.
Tanpa menunggu lama, Ayriex meletakkan telapak tangannya pada permukaan dingin itu. Namun seinci sebelum ia menyentuhnya, Bebola Magis terus meledakkan cahaya yang kuat sehingga mengaburi pandangan senua alven. Dari cahaya putih ia perlahan-lahan bertukar menjadi satu warna yang dibenci dan ditakuti olah alven cahaya.
Warna hitam.
Share this novel