10 || Jurulatih Pari

Fantasy Series 2996

Mereka dibangunkan oleh ketukan bertalu-talu di pintu. Rho terus bangun kerana sangat sensitif dengan bunyi dan dia melihat keadaan sekeliling. Hari masih gelap dan sunyi. Dia bercadang untuk membangunkan rakan-rakannya bila menyedari katil Ayriex sudah kosong dan ada bunyi sayup-sayup curahan air di dalam bilik air.

"Awalnya Ayriex bangun," gumamnya sambil menenyehkan mata. Rho kemudiannya membangunkan si liat Stom dan Luz. Dua remaja itu mengerang dan mengeluh kerana terpaksa bangun awal.

"Cepat bersiap. Kita ada lima belas minit lagi."

Mereka mandi dengan kadar segera dan memakai pakaian yang sudah disediakan di dalam almari. Ia adalah pakaian paling bersih mereka pernah pakai. Baju berwarna coklat muda itu sangat halus kainnya seolah diperbuat daripada sutera dan seluar hitam itu sangat ringan meskipun kelihatan tebal. 

Luz mengikat rambutnya kemas-kemas menjadi bentuk bun seperti yang sering dilakukannya ketika di Diondell. Dia memerhati pakaian ditubuh mereka dan pengikat rambut yang sudah disediakan di atas meja kecil.

"Barang di dalam bilik ini seperti dikhaskan untuk kita pula. Pakaian ni pun cukup di badan," getus Luz. Dia menyentuh baju di badannya.

"Saya rasa Ratu Pari memang dah menjangkakan kehadiran kita dari awal lagi. Kalau tak, takkan wisp itu memunculkan diri sebaik saja kita masuk sedangkan alven lain tak pernah menemui mereka," sampuk Stom.

"Kenapa kita?" Luz seolah bertanya pada dirinya sendiri. "Apa maksud dia menjadi penyelamat Alveria? Kita cuma budak-budak saja."

Rho menyarungkan baju di tubuh tegapnya. "Saya pun tak faham. Misi kita hanyalah cari keluarga kita saja, bukannya nak menyelamatkan dunia ni."

"Yalah! Buat apa kita sibuk-sibuk fikirkan masalah mereka. Mereka bukannya akan kenang jasa kita, dibenci dan dihina adalah. Selepas jumpa keluarga saya nanti, saya akan lari jauh dan bersembunyi. Dunia ni tak ada kaitan dengan saya," kata Stom dengan marah.

Mereka bertiga bersetuju dengan kata Stom dan bercadang mengikut jejak langkahnya selepas menemui keluarga masing-masing.

Selepas siap berpakaian, seekor pari-pari baru muncul di muka pintu. Ia lebih pendek dari Luz dan berpakaian serba hijau kecuali sayapnya yang lutsinar namun dihiasi jaringan seperti sarang labah-labah. Mata hijau bundarnya merenung mereka dengan penuh takjub. Rambut perangnya yang diikat dua jatuh semasa ia menundukkan kepala.

"Selamat pagi tetamu yang dihormati. Saya Edra. Saya akan bawa kamu semua ke tempat latihan dan menemani kamu sepanjang kehadiran kamu di sini," ucapnya penuh hormat.

Mereka berempat tertunduk malu kerana tidak pernah dilayan seperti itu. Edra membawa mereka terus ke tempat latihan yang terletak sangat jauh dari bilik tidur. Sepanjang perjalanan, kelihatan pelbagai jenis makhluk mistik merayau-rayau di laman istana yang penuh dengan pokok bunga, tasik dan pohon rendang.

"Apa yang mereka buat?" Tanya Luz penuh minat. Empat makhluk kerdil, bertelinga runcing dan berpakaian dari daun sedang merendam sesuatu di dalam tasik yang berwarna merah. Matanya besar kehitaman dan sayapnya bergetar setiap kali ia mengangkat dan menurunkan semula kain itu.

"Oh, mereka adalah pixie. Merekalah yang menghasilkan pakaian yang kamu sedang pakai."

"Betulkah?" Luz terlopong tidak percaya. Bagaimana makhluk sebesar tapak tangan itu mampu menghasilkan pakaian yanh sangat lembut, tebal tetapi ringan.

"Ya. Mereka pakar dalam menghasilkan pakaian. Kamu sebut saja baju apa yang kamu inginkan, mereka pasti akan hasilkan dengan bahan yang bermutu tinggi dan hanya dapat ditemui di Moon Haven. Baju yang kamu pakai itu dihasilkan daripada 20,000 benang dari ulat sutera," terang Edra dengan megah. "Setiap tumbuhan dan makhluk yang hidup di sini ada fungsinya. Contohnya dwarf yang menghasilkan permata dan perabot, wisp sebagai kunci kepada dunia ni, dryad menjaga tumbuhan di sini dan ada macam lagilah. Kamu akan bertemu dengan mereka juga nanti."

Mereka hanya mampu ternganga dengan mata yang besar setiap kali menemui sesuatu yang menakjubkan dan tidak pernah dilihat seumur hidup mereka. Perjalanan yang jauh terasa menyeronokkan pula apabila dihidang dengan makhluk mistik yang pelbagai jenis dan rupa. Tanpa mereka sedar mereka sudah tiba di sebuah kawasan yang luas tapi dikelilingi hutan belantara.

Edra membuat bunyi seperti bersiul di hadapan mereka. Beberapa saat kemudian muncul wisp dalam kesamaran cahaya.

"Abilene, Dysis."

Wisp itu bergerak ke kiri dan kanan lalu terapung di hadapan mereka. Sebuah pintu lebih kecil dari sebelumnya terhasil apabila wisp itu mengeluarkan cahaya biru yang terang.

"Jom."

Dengan rasa tidak sabar dan kagum, mereka berempat memasuki pintu itu, hanya untuk rasa lebih teruja dari sebelumnya. Tempat itu, yang dipanggil Abilene adalah sebuah kawasan yang penuh dengan peralatan latihan dan senjata. Ia dikelilingi hutan belantara sehingga cahaya matahari sukar untuk menyelinap masuk.

"Selamat datang ke Abilene, tempat yang menawarkan latihan dan guru terbaik di Alveria," kata Edra bangga.

"Apa tu?" Jerit Stom sambil menunding pada satu makhluk aneh berkaki kuda tapi berbadan manusia.

"Centaur," bisik Rho tidak percaya. Makhluk yang hanya dilihatnya di atas kertas kini sedang berjalan di hadapan mereka. Ia sedang membawa busur dan anak panah yang disangkut di belakangnya.

"Itu adalah Even. Dia adalah guru kamu, Luz," kata Edra.

Luz termengkelan. Dia memandang Even dengan rasa takut. "Saya tidak sama dengan mereka yang lain?"

"Semua kamu tidak sama guru. Tuanku telah memilih jurulatih yang bersesuaian dengan keupayaan kamu berempat."

"Kenapa kami tidak pernah nampak centaur di kawasan lain?" Rho bertanya aneh.

"Oh itu disebabkan magi di sini," jawab Edra.

"Magi di sini?"

"Kamu tahu apa itu magi, alven muda?" Seseorang bertanya dari arah belakang menyebabkan mereka terkejut.

"Tuan Frais," ucap Edra.

"Oh Edra, bukankah saya dah cakap panggil saja saya Frais. Saya bukan si berlagak Rayden. Apa khabar alven? Saya Frais, jurulatih untuk..." Dia merenung mereka berempat sebelum terhenti pada wajah Rho. "Si kacak ini!"

Fraise adalah seekor pari-pari yang berbadan kurus tapi tegap. Dia berpakaian uniform hijau untuk pegawai tertinggi kerana di bahunya dihiasi tiga bintang. Rambutnya berwarna perang, sama seperti warna sayapnya.

"Tuan Frais... er Frais adalah Ketua Tentera Sayap Kiri. Kepakarannya adalah lembing dan pedang," kata Edra.

"Yang lain belum datang?" Tanyanya seraya memandang sekeliling tapak latihan itu. "Oh, saya nampak Even di sana. Jadi tinggal Rayden dan Raysen. Tak apalah, kita boleh mulakan dengan sesi beramah mesra. Alven muda, ada soalan nak tanya pada saya sebelum kita mulakan latihan?"

Rho teragak-agak sebelum memberanikan diri. "Tentang centaur itu..."

Frais tersenyum. "Kamu tertanya-tanya kenapa centaur tidak pernah dilihat di kawasan lain?"

Mereka mengangguk laju.

"Bukan hanya centaur, tapi makhluk mistik yang lain juga takkan kamu dapat temui selain di Moonhaven. Kerana apa? Kerana magi di sini. Saya tanya kamu. Apa yang kamu faham tentang magi."

"Tenaga!" Jawab Stom pantas. Ia sangat mudah setelah mendengar penerangan daripada Trevor berulang kali.

"Ya. Magi adalah tenaga yang tidak kelihatan di sekeliling kita. Tapi pasti kamu tertanya-tanya juga kenapa magi seseorang alf itu bergantung kepada kawasannya. Contohnya kenapa penduduk Diondell kebanyakannya mengawal magi angin."

Rho mengangguk. Di dalam buku Trevor tidak ada dinyatakan sebab kenapa magi alf itu dipengaruhi tempat tinggalnya.

"Disebabkan persekitaran," kata Frais. "Semasa alf dilahirkan, ia terdedah kepada magi disekitarnya lalu ia menjadi sebahagian dirinya. Magi tidak ubah seperti diri mereka sendiri. Kekuatan magi seseorang alf itu bergantung kepada kawasan sekitarnya."

"Maksud awak?" Celah Stom.

"Macam ni. Seorang alf dengan magi angin datang ke kawasan jajahan air. Dia seorang yang hebat dan ada kuasa magi yang kuat. Bila berlawan dengan alf magi air yang kuasanya sederhana saja, kamu rasa siapa yang akan menang?" Frais menguji dan dia tersenyum bila melihat Rho mula faham.

"Seperti yang saya katakan tadi, magi adalah tenaga. Seseorang alf itu dapat mengawal maginya bila sumbernya ada disekeliling. Semakin banyak sumbernya, semakin kuatlah magi itu. Jadi jawapan ini membawa kita kepada soalan awal - kenapa makhluk mistik hanya ditemui di Moonhaven?"

"Sumber magi mereka berada di Moonhaven?" Teka Rho.

"Bagus. Ya, sebab itu. Magi kami berbeza dengan alven kerana ia adalah dari bulan," terang Frais.

Mereka berempat terkejut. "Bulan?"

"Lebih tepat lagi, cahaya bulan. Sebab itu nama tempat ini Moonhaven," jawab Edra, geli hati dengan riak terkejut di wajah mereka. "Ah, pada setiap 23 tahun, bulan akan berada di tengah tanah Alveria. Pada masa itu, ia akan memancar kuasa magi yang sangat kuat. Ratu Pari akan mengadakan upacara kerana tempoh itu adalah waktu kelahiran pari-pari baru."

"Wah, saya teringin nak tengok!" Kata Luz.

"Sudah tentu alf comel," kata Frais. Luz tersenyum malu manakala yang lain memberi jelingan menyampah. "Bila waktu itu tiba nanti, saya pasti akan menjemput kamu kerana kamu sudah menjadi sebahagian daripada penduduk Moonhaven."

Mereka berpandangan dengan gembira. Perasaan berbaur-baur setelah akhirnya kewujudan mereka diterima di dunia itu.

"Apa yang kau bualkan tu? Memang kerja kau tunjuk baik je kan?"

Dua pari-pari muncul dari langit, sayap mereka berbeza dengan Frais dan Edra. Ia besar seperti rama-rama dan memiliki warna campuran biru dan ungu yang sangat cantik. Pakaian seragamnya sama cuma berbeza bintang di bahu. Luz sedar dua pari itu memiliki wajah yang hampir sama melainkan pandangan tajam yang membuatkan perutnya kecut.

"Apa lagi yang aku boleh buat selain berbual? Takkan nak berdiri saja sambil tunggu kamu berdua datang?" Sindir Frais. Edra cepat-cepat meminta diri untuk pulang, meninggalkan mereka berempat dalam situasi yang janggal.

"Itu salah Raysen yang lama sangat mandi!" Kata pari di sebelah kiri. Rambut coklatnya disikat tepi manakala yang satu lagi disikat kanan. Riak wajahnya kelihatan mesra tapi berlagak.

"Kami tunggu di sini hampir satu jam!" Frais cuba menipu. Jelas hubungan antara keduanya tidak baik.

"Jangan nak menipu. Kami sudah perhatikan kau sejak tadi. Itulah sibuk sangat berbual sampai tak sedar kehadiran kami. Cuba nak tunjuk baik ke?" Sindirnya lagi, membuatkan wajah cerah Frais kemerahan.

"Sudah!" Suara garau centaur yang muncul secara tiba-tiba di antara mereka menghentikan pertengkaran itu. Even yang berketinggian 2.5 meter merenung tajam ke arah tiga pari-pari itu. "Kita mulakan tugas. Kamu, budak rambut panjang! Ikut Frais."

Rho mengucap selamat berjaya kepada rakan-rakannya lalu mengikut Frais dengan hati yang gembira. Dia tidak sanggup berlama-lama di situ terutamanya dengan pari-pari kembar itu.

"Si tinggi!" Panggil Even kepada Stom. Wajah Stom bertukar pucat. Dia tidak mahu dengan pari yang bermuka dingin itu. "Guru kamu adalah Rayden."

Stom tertanya-tanya siapakah Rayden tapi bila pari yang berwajah berlagak itu berlalu pergi, dia melepaskan nafas lega. Stom memberi pandangan kasihan pada Ayriex yang terpilih menjadi anak murid kepada pari yang sejak tadi memberi renungan yang tajam ke arah mereka.

"Kamu dengan Raysen. Dan kamu budak," Even memanggil Luz, memberi signal untuk berjalan. "Ikut saya."

"Semoga berjaya, Ayriex," ucap Luz sebelum berlalu.

Luz mengharapkan latihan mereka berempat berjalan dengan lancar sebelum tempoh tiga minggu itu berlalu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience