'Mereka tidak akan dapat menangkap kami.'
Itulah yang Luz fikirkan apabila dia ternampak kelibat Encik Dunsten sedang berlari sepenuh tenaganya dalam usaha mengejar seseorang yang lengkap berjubah dan berkelubung di kepala. Dia mengintai dari balik tingkap yang rosak, rambut hitamnya terjuntai turun, menganggu pandangan mata kirinya.
"Berhenti di sana, budak tak guna!" Encik Dunsten menjerit, wajahnya kemerahan menahan marah.
Luz tidak dapat menahan diri dari ketawa dengan aksi kelakar lelaki bertubuh gempal itu. Kakinya yang pendek dan perutnya yang memboroi menghalang kelajuannya tapi dia masih berusaha keras untuk menyamai kelajuan dengan alf yang dikejarnya.
Seperti mengetahui kehadirannya, alf misteri itu mengangkat kepalanya dan mata mereka bertembung. Luz dapat menangkap senyuman kenakalan di sebalik jubah hitam lusuh yang dipakainya dan dia membalas dengan senang.
Ayriex, salah seorang ahli keluarganya dengan mudah mengelak dari terkena lemparan kayu penggiling yang dibawa oleh Encik Dunsten. Dia memaling wajahnya kebelakang, rasa seronok dengan mendengar kata carutan dan amaran yang diluahkan oleh orang tua itu.
Luz dapat mendengar suara kemarahan Encik Dunsten dari jauh namun tiba-tiba, dia menghentikan langkah. Topi putih di kepalanya dilontar ke tanah, dan matanya meliar memerhati keadaan sekeliling.
"Hah, kamu dah terperangkap, budak!" katanya dengan ketawa mengekek. "Kamu pasti ingat aku akan takut menggunakan kuasa magi aku, kan? Sebab itu kamu semua berani mencuri makanan dari kedai aku selepas bersembunyi seperti tikus kotor selama ini. Jangan ingat aku takut!"
Dengan itu, Encik Dunsten mengangkat kedua belah tangannya yang besar seperti daging rusa, tinggi sehingga ke udara. "Kau akan terima balasannya," dia berkata dengan suara menderam, memandang Ayriex yang masih lagi dengan lariannya.
Lima langkah lagi, Ayriex akan sampai ke kedudukannya tapi apa yang Luz mahu adalah sebenarnya Encik Dunsten. Lelaki itu sepatutnya berada hampir dengan bangunan tempat persembunyiannya untuk Luz melakukan serangan. Tapi lain pula yang terjadi.
"Alamak, lari dari plan," getusnya tidak senang.
Tiba-tiba, udara di sekelilingnya seperti bergerak dalam tempo perlahan, mematikan semua bunyian di kawasan itu hingga akhirnya apa yang kedengaran hanyalah degupan jantungnya yang berdenyut pantas. Suara Encik Dunsten yang garau berdentum nyaring, menghentak urat saraf di kepalanya hingga dia terjelopok ke lantai. Perlahan-lahan, Luz bangkit lalu menyandar dirinya ke dinding. Nafas panjang ditarik untuk meredakan rasa gemuruh yang datang.
Dia tahu ini akan terjadi. Mereka sudah menjangkakannya dan dia pun sudah bersedia untuk menghadapinya tapi apabila berhadapan dengan kuasa itu, Luz tetap rasa kebencian yang mendalam.
Selepas menarik nafas berulangkali, Luz bangkit dan mengintai semula hanya untuk melihat Ayriex juga sedang rebah seperti dirinya beberapa saat yang lalu. Dia mengherot bibirnya dengan perasaan jengkel apabila melihat senyuman lebar di wajah orang tua itu yang seronok melihat Ayriex terkulat-kulat di lantai tanah. Tangannya dibuka seperti menunggu sesuatu untuk melompat ke pangkuannya dan kepala botakknya berkilau di bawah sinaran mentari yang terik. Mengecilkan matanya, Luz dapat menangkap bebola angin di tangan kanannya, bergoyang ke kanan dan ke kiri.
"Dia menggunakan magi," bisik Luz keriangan. Plan mereka berjaya. Sekarang ini hanya tunggu kehadiran 'mereka' di lokasi itu untuk menamatkan rancangan Rho.
Disebalik rasa riang itu, Luz tidak dapat menahan diri dari berasa jijik dan cemburu apabila Encik Dusnten dengan mudahnya melontar bebola angin itu di antara kedua tapak tangannya, dan adakalanya melintasi kepalanya. Giginya yang kekuningan jelas terserlah tatkala dia ketawa terbahak-bahak, menyebabkan matanya tenggelam disebalik bulu kening yang lebat di antara hidungnya yang kembang.
Tanpa berlengah lagi, Luz mencari lastik di dalam poket seluarnya dan mengenggamnya erat. Batu di dalam poket yang satu lagi diambil lalu Luz menarik lastiknya, menanti dengan sabar tindakan Encik Dunsten seterusnya.
Ayriex bangun dengan perlahan-lahan , mengambil masa yang agak lama berbanding Luz mungkin kerana impaknya lebih kuat dan jarak antara dia dengan Encik Dusnten lebih dekat. Namun belum sempat dia berdiri, Encik Dunsten menarik jubah Ayriex dengan kasar hingga menampakkan rambut hitamnya yang kusut-masai. Kulit cerah Ayriex bersinar dengan peluh yang membasahi hidung dan bibir pecahnya manakala wajahnya berlumuran dengan pasir.
"Kau," Encik Dusnten mendesis, menolak Ayriex agar budak lelaki itu berlutut di hadapannya, wajah tertunduk ke lantai. "Kau berani mencuri makanan aku?"
Ayriex cuba melapaskan pautan Encik Dunsten pada jubahnya. Tidak semena-mena lelaki tua itu melepaskan jubahnya tetapi menarik rambut halus itu, memaksa Ayriex untuk memanggung kepala. "Kamu tak pernah berpuas hati dengan sampah, kan? Diberi betis nak paha. Sudah elok kami biarkan kamu hidup selama ini tapi kamu berani lagi mencari hal. Pengotor dan tamak, sama seperti darah kamu!"
Mendengar sindiran Encik Dusnten, Ayriex menghayun tangan kanannya untuk menumbuk wajah yang tersenyum sinis itu tapi pantas dielaknya.
"Mana magi kamu, hah?" tanyanya kemudian tersengih busuk seolah wajah marah Ayriex adalah satu bentuk keseronokan baginya. "Ah, lupa. Kamu mana ada magi. Alf seperti kamu mana ada kuasa sehebat ini. Apa yang kamu tahu hanyalah melarikan diri dan mencuri, itu yang kamu pandai."
Encik Dusnten ketawa, matanya bersinar dengan penuh kebencian apabila dia menolak Ayriex hingga tersungkur ke ltanah. "Kamu ingat kamu bijak?" Selepas berkata begitu, matanya memerhati bangunan kosong di sekelilingnya seolahmencari sesuatu.
Luz cepat-cepat bersembunyi. Perutnya senak kerana takut. "Ini adalah satu kesilapan," katanya. Dia tidak sepatutnya bersetuju dengan rancangan Rho. Bukannya nyawa mereka yang menjadi galang ganti, tetapi nyawa Ayriex.
"Mana keluarga kamu yang lain? Bersembunyi seperti tikus?" Encik Dunsten bertanya, tangannya kali ini menangkap jubah Ayriex sebelum dia berjaya melarikan diri. Satu tumbukan hinggap di perut Ayriex, memaksa budak lelaki itu untuk merengkot kesakitan. Kakinya menendanh tubuh kurus itu tanpa belas kasihan. Kemudian, dia mengangkat muka Ayriex lantas menolak rambut depan yang menutupi sepasang mata yang sentiasa bersembunyi selama ini.
Luz meneguk air liurnya. Berapa kali sudah dia melihat sinar mata yang sama di dalam pandangan setiap alf yang pernah menemui mereka?
Kebencian. Rasa jijik. Ketakutan.
Semuanya sama.
Ayriex tidak melawan, sebaliknya membiarkan orang tua itu menilik wajahnya sepuas hati, memerhati perbezaan yang wujud dengan ketaranya antara mereka. Dari hujung rambut hingga hujung kaki.
Encik Dusnten mengetap bibir. "Bagaimana alf seperti kamu ini dibenarkan wujud? Kamu adalah pembawa malang kepada bandar ini. Dunia ini, di Alveria ini, tiada tempat untuk darah kotor seperti kamu dan keluarga kamu itu!"
'Darah kotor'.
Perkataan itu berdengung di telinganya. Luz sebenarnya sudah bosan mendengar kata nista yang acapkali dilemparkan kepada mereka. Hingga di dalam mimpi pun dia mendengar panggilan yang sama.
'Macamlah aku kisah,' getus hatinya. Ya, mereka adalah alf berdarah kotor tapi mereka milik tanah Alveria. Alveria adalah negara mereka dan mereka adalah rakyat negara itu. Walaupun apa yang diperkatakan oleh Encik Dunsten, hakikat itu tidak akan berjaya diubah.
"Mana tendangan kamu? Aku masih ingat lagi kepakaran kamu adalah dalam bab serangan licik, seperti menghiris wajah," Encik Dunsten mendesis dan spontan, tangannya menyentuh parut luka kecil di bawah dagunya. Luka itu adalah hadiah daripada Ayriex apabila dia cuba mencuri sebiji kek sempena hari jadi Luz yang ketiga belas.
Selama 10 tahun mereka mendiami bandar Diondell, mereka tidak pernah mencuri di kedai-kedai yang besar kerana takut menarik perhatian alven yang lain. Lagipun mereka sudah berjanji dengan Trevor yang mereka tidak akan mencuri lagi. Tetapi disebabkan Luz mengidamkan sesuatu yang pentingkan diri, Ayriex sanggup meredah satu-satunya kedai bakeri di bandar itu. Usaha dia berjaya namun berlaku satu pergelutan berlaku hingga memaksa Ayriex mengeluarkan pisau kecil yang bersembunyi di dalam jubahnya lalu menghayunnya ke rahang Encik Dunsten tanpa sedar. Selepas kejadian itu, Trevor menghukum Ayriex berdiri dengan menggunakan tapak tangan selama tiga hari tiga malam tanpa makanan dan minuman.
"Awak suka hadiah saya? Saya agak mesti awak beritahu satu bandar bagaimana kamu mendapat parut itu," Ayriex cuba meniup api kemarahan Encik Dunsten.
Dan dia berjaya.
"Aku akan pastikan kau membayar hutang ini," tempelak Encik Dunsten lantas mengangkat tangan kanannya ke udara lagi. Ayriex yang cuba melarikan diri tidak berjaya kerana jubahnya dipijak oleh orang tua itu. "Akhirnya, selepas 10 tahun kamu hidup senang dan selamat, aku akan menamatkan riwayat kamu. Penduduk Diondell patutnya berterima kasih dan menganugerahkan aku sebagai pelindung bandar ini kerana berjaya menghapuskan pembawa malang dan tikus yang merosakkan Diondell."
Encik Dunsten senyum menyeringai. "Dimana patut aku mulakan?" Dia seakan bernyanyi, menggerak kepalanya seolah ada muzik menjadi latar belakang. "Kaki? Tangan?" Matanya tertancap pada sepasang mata yang hitam pekat, memandang dengan lama seperti dapat melihat dirinya dalam kolam yang gelap itu. Tiba-tiba, kemarahannya menjadi marak dan wajahnya kemerahan. "Aku akan butakan mata kamu. Kamu dan mata yang sungguh dibencikan itu!"
Luz tidak dapat menahan diri lagi. Dia membidik batu ke arah tapak tangan Encik Dunsten dan apabila dia mahu melontar bebola angin ke arah Ayriex, Luz melepaskan tarikan lastik, tepat mengenai tangan yang gemuk itu.
"Argh!" Encik Dunsten menjerit, namun sudah terlambat.
Bebola angin itu berjaya terlepas dan meluncur laju ke arah Ayriex yang sedang terpaku, menunggu bebola itu untuk mengenainya. Luz menjerit, mengharapkan pusaran angin itu untuk berhenti dengan sendirinya walaupun mustahil. Dimana 'mereka? Adakah Rho tidak berjaya menarik perhatian 'mereka'?
"Cukup."
Bebola angin tiba-tiba hilang.
Luz mengerdipkan matanya dengan rasa tidak percaya. Bebola angin sebesar kepala Encik Dusnten itu berjaya dimatikan dengan satu lagi bebola angin yang jauh lebih kecil. Warna biru dan kilauan lencana perak mengaburi matanya.
"Apa yang kita dapat hari ini? Si tua Dunsten dengan kuasa magi yang lemah sedang membuli seorang budak alf. Kamu tak ada kerja lain nak buat, Dunsten?"
Suara itu sangat dikenali Luz. Suara yang dalam dan garau. Suara yang menghancurkan maruah dan ego penduduk Diondell di hari pertama dia menjejakkan kaki ke bandar itu. Tanpa berfikir panjang, Luz berlari turun ke tingkat bawah, mahu melihat wajah lelaki itu dengan lebih dekat.
Lelaki alf itu seorang yang muda, mungkin dalam usia 20-an. Warna kulitnya sama sepertinya, kuning langsat membuktikan darah Alf Cahaya mengalir dalam tubuhnya tetapi anak matanya berwarna coklat yang sedikit cair berbanding alven di Diondell. Ia hampir sama dengan warna kacang hazelnut, gelap di tengah dan seperti wajahnya, matanya juga tanpa riak dan emosi. Hidungnya mancung di bawah bayangan bulu mata yang panjang manakala bibirnya Luz perasan sentiasa mengukir senyuman penuh makna.
Uniform birunya jelas berbeza dari dua orang lagi askar, dengan lebihan strap di bahu dan tapi pinggang yang dihiasi garisan perak. Lencana yang terpacak penuh megah didadanya dibaca Luz.
Elit Kesatria.
Ayriex yang tidak berganjak cuba melarikan diri tapi belum sempat, satu pancaran api tepat mengenai bangunan di sisinya menyebabkan dia tidak jadi untuk bergerak.
"Lepaskan aku!" jerit Encik Dunsten, meliang-liuk minta dilepaskan. Mukanya merah membahang dengan rasa malu dan marah kerana berjaya ditangkap oleh askar itu. "Aku tak bersalah. Budak tak guna itu mencuri roti aku jadi aku hanya mahu menghukumnya."
"Cari di badannya."
Salah seorang askar menolak Ayriex untuk berlutut ke tanah dan jubah yang sempat dipasang semula oleh Ayriex kini ditarik, sekaligus mendedahkan rambutnya. Dia menjerit kecil, mengambil beberapa langkah ke belakang.
"Alf kegelapan!" Tanpa membuang masa, dia mengangkat tangan untuk memanggil kuasa maginya.
Luz yang takut Ayriex akan diapa-apakan segera berlari keluar dan mendepakan tangannya untuk melindungi Ayriex. "Tak, dia bukan Alf Kegelapan!"
"Luz?"
"Kamu buta? Rambutnya hitam, matanya hitam. Kalau bukan Alf Kegelapan, takkan Alf Cahaya pulak?" herdik askar itu.
"Tuan, tolonglah. Walaupun rupanya begitu, tapi dia dilahirkan di sini. Dia adalah salah seorang dari puak ini," rayu Luz, memandang askar muda itu dengan penuh mengharap.
Askar itu tidak berkata apa tapi mengarah Luz membuka kelubung jubahnya. "Buka jubah kamu."
Luz menurut, menarik jubah warna coklat gelap dari menutup rambut dan mukanya.
"Lagi seorang?" desis seorang lagi askar dengan rasa tidak senang.
"Mereka ada berempat. Pasti ada dua lagi tersembunyi di sini!" sampuk Encik Dunsten dengan suara girang. Tapi senyuman pudar apabila askar itu memberikan jelingan tajam kepadanya.
"Kamu mempunyai warna kulit yang sama dengan saya," katanya, memandang Luz lama dengan dahi berkerut. "Tapi rambut dan mata kanan yang hitam - kenapa dengan mata kiri kamu?" Dia seakan baru sedar mata kiri Luz ditutupi oleh penutup mata.
"Ah, cedera tuan," jawab Luz malu-malu.
"Jadi ada dua orang lagi yang sama seperti kamu?" tanyanya.
Suara askar itu yang lembut memberi keberanian kepada Luz. "Ya. Rho dan Stom."
"Kamu berempat adik-beradik?"
Luz menggelengkan kepalanya. "Tidak. Kami dijumpai oleh seorang alf dan dijaga olehnya. Tapi kemudian dia meninggal dunia dan kami terpaksa berpindah ke Diondell. Sudah 10 tahun kami di sini."
"10 tahun tapi tiada siapa melaporkan hal ini kepada Kerajaan Tertinggi?" askar bawahan lelaki itu marah, menyebabkan jemari Luz menggeletar dengan rasa takut.
"Kami tak buat apa. Kami cuma menumpang di sini. Lagipun-"
"Tipu!" tempelak Encik Dunsten. "Mereka sentiasa mencuri makanan dan barangan kami. Mereka ini tikus dan perosak kepada bandar Diondell!"
"Kamu sudah cari di tubuh dia?" tanya lelaki itu kepada orangnya.
"Maaf tuan, Saya cari sekarang." Dengan penuh berhati-hati seolah takut diserang oleh Ayriex, askar itu mencari dan meraba seluruh tubuh Ayriex dan membuka bajunya.
"Saya tak jumpa apa-apa, tuan."
Mata Encik Dunsten membesar dengan rasa terkejut. Kembang pipinya menahan dari memuntahkan lahar kemarahan. "Tipu! Saya nampak dia mencuri roti saya! Budak, bagitahu dia di mana kamu simpan kalau tidak siap kamu aku kerjakan!"
"Tak ada bukti, Dunsten. Tapi aku ada bukti yang kamu melanggar perintah. Maka itu, di bawah kuasa yang diperkenankan oleh Ratu Tertinggi, kamu akan dipenjarakan sehingga Mahkamah Tertinggi mengumumkan keputusan hukuman," dia berkata dengan tenang, tidak sekalipun terkesan dengan herdikan dan rayuan Encik Dunsten. Salah seorang askar itu mengheret Encik Dunsten, meninggalkan Luz dengan askar muda itu dengan seorang orang bawahannya yang sudah bersedia dengan magi di tangan.
"Jadi, kamu beritahu saya kamu adalah salah seorang dari puak Alf Cahaya. Tapi ciri-ciri kamu menunjukkan yang kamu juga dari Alf Kegelapan. Mungkin kamu tidak tahu, tetapi selama ini tidak pernah muncul alf seperti kamu sejak Alveria diwujudkan. Ciri-ciri genetik Alf Cahaya adalah warna kulit kekuningan seperti pasir di Diondell ini, mata berwarna coklat kejinggaan dan rambut yang cerah seperti coklat atau perang. Walaupun kulit kita sama, tapi rambut yang hitam dan anak mata yang hitam adalah ciri genetik Alf Kegelapan," terang askar itu panjang lebar.
Luz sudah tahu itu. Trevor pernah menjelaskan kepadanya. Tapi apa yang Trevor tidak jelaskan adalah asal usul mereka dan kenapa mereka dilahirkan berbeza dari yang lain. Kata Trevor, hanya ibu bapa mereka saja yang tahu dan mereka itu sudah tiada sejak mereka kecil. Sama ada mati atau meninggalkan mereka dengan sengaja, Luz tidak tahu. Dan dia mahu tahu.
"Kami adalah si darah kotor," kata Luz perlahan, bibirnya bergetar ketika menyebut panggilan Hu itu.
"Apa dia?"
Luz merenung askar itu tajam, tidak berkelip. "Kami lahir daripada ibu bapa dari Alf Cahaya dan Alf Kegelapan."
Share this novel