Mata yang hampir terkatup aku buntangkan.
Air kopi yang sudah tinggal separuh kuhirup. Hanya lampu oren malap yang menerangi suasana ruang tamu kondominium kecil ku. Jari jemari ku laju menaip di atas papan kekunci laptop. Lagi 2 hari, aku kena jumpa lelaki itu untuk soal siasat buat kali terakhir.
Aku menarik nafas dalam dan menghentikan perbuatanku. Nafas ku lepaskan berat. Jam di dinding aku renung kosong. Tabiat yang tidak dapat ku buang semenjak aku bekerja dalam bidang ini. Merenung jam dan menghitung setiap detik yang berlalu.
"3 pagi.." omelku tanpa sedar. Senyuman lemah tersimpul dibibirku. Kelakar. Walaupun sudah lewat begini, aku masih sibuk dengan kerja. Masa untuk tidur bagaikan tidak lagi wujud dalam kamus hidupku. Kini, kerja lebih penting dari tidur.
Telefon bimbit yang tidak terusik dari pagi aku capai. Skrin telefonku menyala dan segala kesan retak dan calar pada skrin tersebut terdedah. Sekali lagi aku mengeluh berat. Sibuk sampaikan aku tiada masa untuk membaiki ataupun membeli telefon baharu.
Notifikasi yang menunujukkan 18 mesej yang tidak dibaca aku tekan. Aku menatal mesej-mesej yang kuterima, mencari mesej yang kurasa paling penting.
Anak mataku pantas menangkap pada satu nama penghantar lalu ku buka mesej tersebut.
'Fail yang Amniya minta, saya dah masukkan dalam beg waktu Amniya sedang berurusan dengan suspek. - Inspektor Ziyad'
Oh ya. Hampir ku lupa mengenai fail tersebut. Aku mengambil beg laptop ku lalu menyelup setiap poket beg tersebut sehinggalah aku terjumpa thumbdrive hitam.
Thumbrive tersebut kucucuk pada laptop. Folder yang tertulis 'Evidences' terpapar pada skrin laptop ku. Belum sempat aku membuka fail tersebut, telefon ku tiba-tiba berdering.
Nama pemanggil aku baca sekilas. Restricted?
Lantas aku mengangkat panggilan tersebut bersama kerutan di dahi. "Hello?"
Senyap.
"Hello?" ulangku lebih kuat.
"nn..iya.." Suaranya yang tidak jelas menambah kerutan di dahiku.
Baru sahaja aku ingin membuka mulut, suaranya memanggil lemah di hujung talian.
"Kak Niya..." Nama panggilan yang sudah lama tidak kudengar diseru. Suara itu semakin jelas pada pendengaran ku. Suara yang tidak pernah hilang dari ingatanku.
Aku terpaku. Tubuhku menggeletar. Telefon ditangan ku yang hampir melurut jatuh aku cengkam kuat. Nafasku yang tersekat aku cuba untuk kawal.
"Adik.." Aku memanggil.
"Adik?" Suara ku semakin kuat.
"Keep your mouth shut and she'll be safe." Suara garau tiba-tiba mencelah di hujung talian. Air mukaku berubah. Keras nadanya memberi amaran. Gigiku ketap kuat.
"Kau siapa?! Apa kau dah buat dekat dia?!" Jeritku lantang. Nafasku turun naik menahan amarah.
Senyap.
Tut! Talian terus dimatikan.
"Arfiya!" Aku menjerit namanya. Air mata yang tidak dapat kutahan mengalir laju dipipiku. "Fiya! Jawab la dik! Adik!!" Nafasku semakin laju.
"Mana kau bawa adik aku?! Woi!!!!" Dadaku ganas bergelora. Amarah langsung tidak dapat ku kawal. Air mata mengalir deras. Tekakku terasa pedih. Dadaku sakit.
"Mana kau pergi dik.." suaraku makin serak. Air mata mengaburi pandangan mataku. Telefon bimbit masih ku cengkam kemas pada telinga. Mengharapkan ada suara yang menjawab walaupun jelas talian sudah dimatikan.
Siapa yang telefon? Adik aku masih hidup ke? Kalau hidup, dekat mana dia sekarang? Dengan siapa dia selama ni?
3 tahun... selama ni dia dekat mana? Siapa yang ambil dia?
"Adik..." Aku menangis lagi. Raungan demi raungan kulepaskan. Dadaku sesak. Perasaan rindu, risau dan marah bercampur baur. Aku menepuk-nepuk dadaku yang terasa sempit mengharapkan kesakitan itu boleh mengurangkan kesedihanku.
Ya Allah.. Mana adik aku? Apa maksud semua ni? Kenapa sekarang?
Terlalu banyak soalan. Tetapi tiada siapa yang boleh aku tujukan soalan-soalan tersebut. Tiada jawapan yang boleh aku dapatkan
3 tahun. Selama ini adikku masih hidup. Masih bernafas tanpa ku tahu keberadaanya.
Aku buntu. Tiba-tiba aku teringat pagi yang cerah itu. Masih segar diingatanku.
Share this novel