3 tahun dahulu.
Pagi yang cerah. Matahari yang baru naik menyilaukan pandanganku namun ia tidak langsung menghentikan perbuatanku. Aku menyambung kerjaku menyiram pokok-pokok bunga di balkoni kondominium kecilku.
"Kak Niya!" Suara itu lantang memanggil namaku.
"Ya.." kujawab sambil meletakkan watering can yang sedang ku guna ke bawah.
Belum sempat aku mengorak langkah kearahnya, dia berlari laju ke arahku lalu tangan keding itu merangkul erat pinggangku. Kepalanya terdongak memandangku.
Mukanya yang masam kubalas dengan senyuman lebar.
"Kenapa ni?" Tanyaku lembut.
"K-kan adik dah cakap b-biar adik je yang siram p-pokok.."
Kepalanya kugosok. Aku merapikan rambut paras bahunya yang sedikit kusut itu. Patung Winnie the Pooh elok terkepit dibawah lengannya.
"Siapa suruh bangun lambat? Kesian pokok ni dahaga. Kak Niya pon siram dulu."
Wajahnya masih masam. Tingginya sudah hampir sama dengan ketinggianku. Beza umur kami 2 tahun sahaja. Keadaan fizikalnya sempurna sekali. Walaupun luarannya kelihatan sangat normal namun dia merupakan seorang insan istimewa.
"K-Kak Niya fikir adik percaya k-ke?" Dia menjelingku geram. Kelopak matanya dikerdipkan beberapa kali. Suaranya yang tergagap-gagap membuatkan aku tersenyum.
"Dah sarapan belum?" Tanyaku menukar topik.
Marah-marah pun rangkulannya tetap erat di pinggangku. Tak lepas.
Dia menggeleng laju. Perutnya tiba-tiba berkeroncong. Aku tertawa kecil melihatnya lalu satu ciuman kecil kudaratkan ke atas dahinya yang bersih.
"Kak Niya.. n-nak roti." Pintanya manja.
"Roti bukan dah habis ke?"
"T-tapi adik nak makan roti! Nak roti bakar!" Dia menggaru kepalanya kasar sebagai tanda protes. Aku lantas menahan tangannya lalu kugenggam tangan tersebut erat.
Anak matanya kurenung dalam. Lalu seulas senyuman lembut kuberikan.
"Nanti Kak Niya keluar beli roti okey?"
Adik membalas renunganku. Kerutan didahinya semakin hilang. "B-betul?"
"Iya.. Betul."
Kepalanya aku usap sekali sebelum mencapai sweater dan tudung sarungku yang tersangkut di atas kerusi. Dia mengekori ku dari belakang lalu melabuhkan punggung ke atas sofa.
"Kakak keluar beli roti kat bawah, adik jangan pergi mana-mana tau." Pesan ku padanya.
Patung Winnie the Pooh dibawa rapat ke dadanya lalu dia tersengih sambil membuat isyarat 'OK'.
_________________________
Sebungkus roti Gardenia dan sebalang jem strawberi kuambil dari rak kedai runcit itu. Aku menapak ke arah kaunter lalu meletakkan barang-barang tersebut ke atas kaunter bayaran sementara sebelah lagi tanganku sibuk menyeluk poket mencari dompet.
Dahiku berkerut apabila aku menyedari dompet ku tiada di dalam poket. Aku tak bawa ke?
"RM5.90 ya, dik." Kata makcik di kaunter selepas barang-barang tersebiut diskan.
"Kejap ya.." Aku masih menyeluk setiap poket di seluar tracksuit ku. Tiada juga.
Aku pusing melihat makcik di kaunter tersebut.
"Cik, saya naik dulu ambil duit boleh? Dompet saya tertinggal." Kataku beserta sengihan dibibir.
Mak cik itu tersenyum simpul.
"Tak pe. Awak ambil dulu makanan ni, petang atau bila-bila nanti awak bayar." Barang di atas kaunter dimasukkan ke dalam plastik lalu ditolak ke arahku.
Aku menggaru kepalaku segan. Ingin sahaja aku tolak tawarannya tetapi apabila teringatkan adikku yang masih tidak sarapan, aku jadi serba salah.
"Cik, saya minta maaf. Lepas sarapan nanti saya terus turun bayar." Janjiku.
"Okey. Mana-mana je boleh, dik.." Jawabnya bersama senyuman mesra.
"Terima kasih, cik. Lepas sarapan saya terus turun." Aku memberitahunya sekali lagi.
Senyumannya mesranya kubalas juga dengan senyuman lalu aku mengorak langkah keluar dari kedai runcit kecil itu.
Sampai sahaja di hadapan lif, dua orang kanak-kanak kembar berlari keluar dari lif. Seorang wanita 30-an yang merupakan ibu mereka tersenyum melihat telatah anak-anaknya sambil mengekori mereka dari belakang.
Aku terus menyelit masuk kedalam lif sebelum pintu lif terkatup. Punat yang tertera nombor 9 kutekan.
Poster yang tertampal pada dinding lif kubaca.
'Hati-hati penjenayah di mana-mana! Hubungi 999 jika bla bla...'
Aku tersengih sendiri. Sudah hampir 2 tahun aku bekerja sebagai seorang pegawai polis. Cita-citaku untuk menjadi seorang detektif bakal tercapai tidak lama lagi jika aku sudah mencukupi syarat dan lepas ujian kelayakan.
Ting! Pintu lif terbuka.
Aku melangkah keluar dari lif. Tiba-tiba kaki ku seperti terpijak sesuatu. Aku melihat apa yang dipijak lalu kening sebelahku terangkat. Dompet aku?
Seingat aku, aku tidak langsung membawa dompetku keluar dari rumah. Macam mana boleh ada kat sini?
Aku membuka dompetku untuk melihat isi didalam. Semua barang berharga masih ada. Tiada yang hilang. Aku menghembus nafas lega walaupun aku masih pelik bagaimana dompetku boleh berada disini.
Adakah adikku ingin memberikan dompet ini padaku? Dia keluar rumah tanpa pengetahuan aku ke? Tapi kenapa dia tinggalkan dompetku di sini?
Aku mula risau. Lantas aku terus berlari ke arah kondominiumku. Terbeliak mataku saat melihat pintu dan grill terbuka luas. Mataku mengerling ke arah rak kasut. Kasut adik tiada!
Aku menggeleng kepala. Mungkin dia masih ada didalam. Tanpa membuang masa, aku berlari masuk kedalam rumah.
"Adik!" jeritku.
Tiada sahutan.
Aku pergi ke bilik adikku lalu pintu biliknya kutolak. "Adik?"
Tiada.
Pintu bilik aku juga aku buka namun hasilnya tetap sama. Adikku tiada. Didalam bilik air, di balkoni, di dapur.. Tiada juga!
Dadaku berdegup kencang. Perasaan risau membuak-buak didada. Adikku itu tidak tahu apa-apa..
Nafas kutarik dalam, aku cuba untuk menenangkan diri. Tak pe, cari dulu.
Aku pantas berlari keluar dari rumah. Mungkin dia ada di kedai runcit. Menungguku di situ.
"Cik!" panggilku sebaik membuka pintu kedai runcit.
Makcik itu kelihatan terkejut dengan sergahanku namun aku hiraukan. Adikku lebih penting.
"Ada nampak adik saya tak?" tanyaku. Nafasku laju akibat berlari.
"Adik?" Makcik kaunter itu melihatku pelik.
"Umh." Aku meneguk liur. Nafasku cuba untuk betulkan.
"Tinggi dia lebih kurang saya. Rambut paras bahu. Dia dah besar tapi perangai dia macam budak-budak. Cik ada nampak dia tak?" Aku memberitahu ciri-ciri adikku padanya.
"Maaf, dik. Mak cik tak perasan pulak."
Air mataku hampir mengalir mendengar jawapan makcik itu.
"Awak." Bahuku tiba-tiba ditepuk dari belakang. Aku memusingkan badanku untuk melihat si pemanggil.
"Ya?" sahutku sambil meneliti wajahnya. Ini bukankah wanita yang bersama kanak-kanak kembar di lif tadi?
"Akak rasa akak ada nampak adik awak.." katanya.
Mata ku terbuntang. Tangan wanita tersebut kugenggam rapi. Mengharap.
"Kat mana, kak?" tanyaku laju. Tiada langsung kesabaran dalm intonasi suara ku.
"Akak nampak dia berjalan dengan dua orang lelaki tadi." Beritahunya.
"Lelaki?"
Aku mengerutkan dahi. Lelaki mana? Setahu aku, adikku tiada kenalan lelaki di kondominium ini. Perempuan pun tidak ramai yang dia kenal. Dia terlalu takut untuk bersosial, jadi bagaimana dia boleh ikut lelaki-lelaki yang tidak dikenali?
"Betul ke itu adik saya?" Aku meminta kepastian.
Wanita itu jeda seketika. Berfikir.
"Apa ya nama dia.." Wanita itu berkerut memikirkan sesuatu.
"Winnie.." omelnya pada diri sendiri.
Nafasku mula tersekat. Aku menelan pahit liurku.
"Winnie the Pooh? Dia bawa patung Winnie the Pooh ke?" Soalku kurang sabar. Degupan di dada ku semakin kuat.
"Ah, ya! Dia bawa patung tu sekali." Wanita itu menjawab yakin.
Mulutku yang hampir menjerit terus ku katup dengan sebelah tangan. Jantungku bagaikan terkeluar dari dada. Perasaan risau ku membuak-buak. Air mata yang tidak dapat kutahan mengalir perlahan di pipi. Adik...
Sebelah tanganku yang masih menggenggam tangan wanita itu kugoncang. "Akak ada nampak tak dia pergi mana?"
Wanita itu menggeleng perlahan. "Akak tengah sibuk layan anak tadi.. Maaf ya."
Tangan wanita tersebut kulepas longlai.
Marah, kecewa dan geram dengan jawapan tersebut. Tetapi wanita itu tidak bersalah. Aku tidak tahu lagi untuk buat apa. Risau dan gusar. Hanya Allah yang tahu perasaan ku ketika ini.
Aku terus memecut keluar dari kedai runcit tersebut.
'Aku kena cari adik! Aku kena cari sampai jumpa!' Laung hatiku.
Aku berlari ke setiap pelusuk bangunan kondominium besar itu. Naik turun dari tingkat ke tingkat. Air mataku tetap mengalir tanpa henti walaupun tubuh semakin penat dan lemah. Aku masih terus mencari adikku walaupun langit semakin gelap, walaupun perut ku kosong dari pagi tadi, walaupun kakiku sakit berlari. Aku mesti cari adik sampai dapat!
Pagi yang cerah itu. Tidak terlintas langsung difikiranku, pagi itu adalah pagi terakhir aku melihat wajah adikku kesayanganku. Satu-satunya ahli keluargaku yang tinggal selepas kematian kedua ibu bapaku. Pagi yang meninggalkan ku hidup sebatang kara tanpa sesiapa disisi menemani hari-hari ku.
Share this novel