BAB 6

Crime Completed 9564

Dua hari kami menyorok di sebuah ladang getah. Nyamuk? Hampir semua bahagian tubuh mereka singgah sambil meninggalkan hadiah iaitu gatal tak sudah-sudah sehingga tergaru-garu dibuatnya. Eric pula demam manakala aku rasa terseksa berada di sini. Rasanya lebih baik aku berada di penjara yang di beri makanan dan minuman. Aku baru merasai lima kali masuk keluar penjara kerana terlibat dengan rompakan dan perjudian haram. Jadi rekod aku masih bersih bagi kes pembunuhan.

Aku bersandar di salah satu batang pokok getah dan begitu juga dengan Eric. Aku meliarkan mata dan menajamkan telinga untuk menghidu kehadiran binatang berbisa atau manusia. Bila difikirkan balik, bertuah aku menjadi rakyat Malaysia. Undang-undangnya masih longgar berbanding negara lain. Kalau di Penjara Sacramento, California pegawai polis di sana akan menahan banduan yang ada geng di sebuah bilik gelap supaya mereka mengeluarkan apa yang mereka telan iaitu kite( maklumat organisasi geng). Satu saja caranya iaitu membuang air besar. Kalau aku tak pasti sama ada aku sanggup menelan kiteatau tak.

Perut aku berkeroncong dan pedih. Bayangkanlah dua hari tanpa makanan dan minum air dari embun pada permukaan daun atau air hujan. Aku tak kisah tak makan tapi aku terpaksa kisah sebab Eric. Demamnya semakin teruk. Keadaan belum selamat untuk penjenayah seperti kami. Fikiranku teringat pada Uncle Yin dan ahli yang lain. Di mana mereka? Aku cuba menghubungi mereka melalui handset namun gagal. Itu boleh bermakna dua perkara; mereka dah mati atau mereka dalam tahanan polis.

Aku memberitahu Eric bahawa aku hendak mencari makanan dan membeli ubat. Eric enggan melepaskan aku pergi dan aku berjanji akan balik sebelum senja melabuhkan tirai malam. Aku memapah Eric ke sebuah pondok usang dan berpesan padanya supaya berhati-hati. Pisau yang sempat kuambil sebelum melarikan diri, aku serahkan kepada Eric.

Aku mengatur langkah penuh berhati-hati. Jantungku berdegup laju dan nafasku juga kencang. Aku takut terjumpa ular berbanding berjumpa manusia. Aku meliarkan mata sekeliling. Hanya satu senjata saja di tanganku iaitu pistol Old Colt pemberian Uncle Yin.

Tiada sesiapa dalam pandanganku dan tiba-tiba aku dapat menangkap suara nyaring berbual. Aku cepat-cepat menyorok di belakang pokok getah. Ada tiga orang budak berbasikal menuju entah ke mana. Aku memandang ke arah dari mana mereka muncul. Kemungkinan budak terbabit dari jalan besar.

Cepat-cepat aku mengatur langkah dan terus berlari walaupun belum tentu aku akan menjumpai jalan besar. Sakit kaki kutahan dan aku tetap mengagahi tubuhku berlari sejauh yang mungkin. Akhirnya tiba juga aku jalan besar. Nafasku tercuap-cuap. Aku keletihan dan kepalaku pening. Aku pasti wajahku kali ini. Pucat dan tak bermaya. Kali terakhir aku ingat aku ternampak lembaga putih dan kelamaan pandanganku mulai kabur dan semakin kabur kemudiannya gelap.

Terasa air dingin di percik ke mukaku. Kemudian aku terasa lagi air dingin tersebut. Perlahan-lahan aku membuka mata namun masih kabur. Aku tak pasti aku di mana tapi aku mendengar nyanyian atau bacaan dalam bahasa yang aku tak faham. Bukan dalam bahasa Kantonis mahupun Mandarin. Semakin aku cuba membuka mata semakin sakit kepala kurasa.

Ayat yang di baca itu bagaikan masuk ke dalam saluran darahku dan dapat rasa ketenangan tak kala ayat itu sampai di jantung. Aku rasa semakin tenang dan kemudiannya aku terdengar satu suara. Suara lelaki keturunan Melayu.

“Cik dah sedar?”, pertanyaannya tak kujawab. Kini aku dalam membuka mata sepenuhnya namun aku terkejut. Aku mengundur ke belakang sedikit walaupun lelaki itu berkali-kali menyuruhku jangan takut.

“Saya kat mana?”, tanyaku sambil memandang pelik pakaian yang di pakai oleh lelaki muda terbabit. Ada setandan pisang dan air botol mineral disisinya.Wajahnya pula jernih dan setenang air di lautan.

“Cik dekat tepi surau sekarang.”, katanya sambil tersenyum.

Aku menyentuh ke belakang badan untuk mencari pistol yang aku sorok di celah cangkuk coli. Nasib baik masih ada! Aku memandang ke arah tangga surau.Kebetulan ada seorang budak lelaki hendak keluar dan segera aku memautnya ke belakang. Aku mengacukan pistol ke kepalanya. Aku berani buat begitu kerana tiada orang lalu lalang di tepi jalan.

“Aku nak barang di tepi kau tu!”, arahku padanya.

Dia ketakutan. Terkejut dengan apa yang berlaku di depan mata. Cepat-cepat dia menyerahkan setandan pisang dan botol mineral itu. Entah kenapa aku merasa kesian sedangkan sebelum ini aku tak pernah merasa kesian melihat mangsaku dalam ketakutan. Aku melepaskan pautan dan menyuruh mereka tidak menghubungi polis.

Aku masih mengacukan pistol kepadanya dan entah mengapa, ringan saja tanganku menyerahkan dua biji pisang kepadanya. Kemudian, aku terus lari tanpa memandang belakang lagi. Aku perlu cepat kerana hari hampir senja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience