Dalam bahasa melayu namaku Bulan, walaubagaimanapun nama ku adalah Yue dan aku berbangsa Tionghua. Aku tiada ma mahupun pa dan tidak kisah selagi aku bersama dengan Uncle Yin dan Eric.
Aku tak mahu ingat bagaimana aku kehilangan ma tatkala polis menyerbu Rumah Pelacuran Uncle Chong. Aku tak mahu ingat sampai bila-bila.
Awan yang berarak dari tadi sehingga muncul awan hitam akhirnya menitiskan air hujan. Eric risau padaku apabila melihat aku sering termenung. Dia tidak mahu aku sedih mengingati kisah lama. Aku tahu itu kerana kami seperti adik-beradik walaupun dia melayan aku lebih dari itu.
“Yue, saya belikan awak ni”, kata Eric sambil menyerahkan sejambak bunga ros merah.
Aku memandang Eric. Pelik kenapa hari ini dia memberikan aku bunga. Kami bukannya menyambut apa-apa perayaan. Lagipun aku tidak suka pada bunga. Aku hanya suka pada sesuatu yang laju seperti motosikal.
“Kenapa bagi bunga?”, tanyaku serius. Eric pula kelihatan serba salah. Dia seperti hendak memberitahu sesuatu tetapi hampir 15 minit, satu perkataan belum keluar dari bibir nipis itu. Sesekali dia menggarukan kepalanya.
“Eric?”, tanyaku sedikit geram. Sepatutnya aku dah bermula berlatih kickboxing. Eric membuang masa latihan aku saja!
“Buang saja kalau awak tak mahu”, kata lelaki yang kuanggap sebagai abang. Dia memandangku namun aku tidak faham maksud pandangannya dan aku malas cuba memahami. Aku perasan ada sebuah tong sampah dibelakangnya.
Tanpa berlengah, aku membuang saja sejambak bunga tersebut ke dalam tong sampah. Bagiku, bunga itu tidak membawa apa-apa makna dan aku tidak suka di layan seperti seorang wanita!
Share this novel