Farhana hanya mengangguk. Nasib baik dia tidak membawa telefon bimbitnya bersama ke ruang tamu…, kalau tak masak aku kena bebel lama lagi, bisik hatinya.
“Sekarang ni abah tengok Farhana dah tak mesra macam dulu. Telefon bimbit tu tak lepas dari tangan sampai tengah makan pun nak pegang. Komunikasi dah kurang sebab banyak menghadap telefon. Itu sebab abah tak nak belikan Man tu telefon bimbit. Abah dah nampak dah kesan negatifnya…, contoh terdekat Farhana ni.” Taher menyambung lagi luahan hatinya.
Biar Farhana marah dia sekarang dari dia menyesal melihat anaknya lebih jauh terasing dari keluarga mereka. Farhana hanya tunduk mendengar.
Dia tidak berani menjawab sementelah dia cukup faham pantang larang abahnya itu.
“Faham tak?” tanya Taher lagi dengan nada suara agak keras. Panas juga lah hatinya melihatkan Farhana yang langsung tidak bersuara. Hanya kepalanya terhangguk-hangguk mengalahkan orang Jepun.
Farhana menelan liur. Dia menyeringai memaparkan barisan giginya yang tidak berapa putih.
“Ya ya…, Farhana faham ayah,” jawab Farhana dengan tangan kanan diangkat seolah-olah bersumpah.
Terbeliak biji mata Habibah melihatkan tindakan anaknya itu. Nasib baik lah dia sudah habis mengunyah pisang goreng. Jika tidak mahu tercekik dibuatnya. Habibah pula kecut perut untuk melihat reaksi suaminya.
Suaminya sedang serius menasihati, boleh pulak anak dara seorang ni buat gurauan yang tidak kena tempat. Habibah menarik nafas lega apabila melihat suaminya hanya menggeleng kepala.
Agaknya pertambahan umur telah menambahkan kesabaran di hati lelaki yang pada satu masa dulu sangat panas baran ini.
“Kamu ni Farhana. Main-main pulak. Kamu ingat betul-betul apa yang ayah cakap ni. Sudahlah…, ayah nak mandi, solat Asar.” Taher terus bangun setelah selesai menasihati anaknya yang memang tidak makan saman itu.
Share this novel