“Habis tu mana nak dengar kalau dah duduk dalam bilik aje,” perli Taher kemudian mengerling wajah isterinya.
Habibah hanya mendiamkan diri. Malas dia hendak menyampuk kalau suaminya mahu bertanya. Mengunyah pisang goreng di depannya lagi sedap…, fikirnya.
“Farhana lipat kain la abah. Baju-baju Farhana banyak yang tak berlipat tu,” jawab Farhana.
“Hai…, dah dekat sebulan balik rumah ni, tak habis-habis lagi kemas baju? Selama ni Farhana buat apa? Buat video nak jadi famouske?” tanya Taher diikuti dengan sindiran tajam yang memang terus menusuk ke kalbu Farhana.
Sekejapan itu juga Farhana menoleh ke arah emaknya yang asyik mengunyah pisang goreng. Habibah pura-pura tidak mendengar. Matanya terus memandang ke arah skrin televisyen.
“Abah bukannya nak melarang anak-anak abah ni dari berInstagram…, masuk laman sosial ni semua. Memang abah tak nafikan di zaman sekarang ni semua benda kebanyakannya dah guna online. Nak beli barang pun semuanya orang order atas talian aje. Tetapi berpada-pada la. Pandai-pandai lah bahagikan masa. Jangan lah sampai terlalu asyik sangat dengan benda tu sampai semua kerja tak jadi.., sampai tanggungjawab diabaikan. Ni abah tengok, solat pun lambat semua sebab terlampau asyik sangat menghadap telefon tu. Telefon tu ayah beli untuk kemudahan berkomunikasi. Senang nak berhubung antara kita. Tapi nampaknya Farhana dah salah gunakan kemudahan ni.” Taher menasihati Farhana kerana apa yang dibimbangkan selama ini mula menjadi kenyataan.
Kemudahan internet dan keasyikan melayari laman sosial sudah menjadi masalah besar yang perlu diberi perhatian segera. Sekiranya dibiarkan, hubungan kekeluargaan mungkin boleh tergugat.
Hubungan suami isteri boleh goyah dan komunikasi antara ahli keluarga boleh menjadi semakin digin.
“Farhana faham tak apa yang abah nak sampaikan ni? Farhana sedar tak kesan dan akibat kalau terlalu asyik sangat dengan laman sosial ni terutamanya Instagram?” tanya Taher dengan memandang wajah anak gadisnya itu.
Share this novel