“Ayah…, kalau posting Farhana famousnanti…, kita satu keluarga akan famous ayah.” Sempat lagi Farhana berkata sebelum bapanya sampai ke pintu dapur.
Habibah terus mencubit peha Farhana kemudian membulatkan matanya tanda memberi amaran supaya anak gadis itu diam. Taher hanya diam tidak menjawab. Malas dia hendak melayan angan-angan Minah Jenin itu.
Berkerut dahi Farhana menahan pedihnya kesan cubitan semut api emaknya. Digosoknya peha yang pedih dengan mulut muncung itik.
“Apa ni mak.., salah ke Farhana cakap tu,” rungut Farhana.
“Kau ni memang tak reti bahasa kan Farhana. Ayah kau nasihat elok-elok, kau main-main pulak.”
“Apa main-mainnya mak. Farhana serius ni. Mak ni tak pernah nak sokong apa yang Farhana nak buat. Mak tunggulah nanti…,” bebel Farhana lagi kemudian terus bangun untuk masuk ke biliknya.
“Farhana oiii…, duit tak akan datang bergolek kalau tak bekerja. Setakat kau ambik gambar golek-golek atas katil, hantar gambar dalam internet semua lepas tu makan tido makan tido kat rumah ni…, ALLAH pun berat nak bagi rezeki, tau tak? Daripada kamu duduk menghadap internet tu tengok benda yang bukan-bukan, baiklah cari kerja. Dapat jugak lah mak ni duit sikit nak beli barang kemas,” jawab Habibah dengan perasaan yang geram.
Farhana malas hendak menjawab. Dia terus masuk ke bilik dan menutup pintu. Telefon bimbit yang berada di atas katil terus dicapainya. Seperti biasa dia menerjah aplikasi Instagram dahulu.
Ada banyak notifikasi yang masuk. Farhana monyok apabila notifikasi yang masuk kebanyakannya mesej-mesej dari ahli-ahli grup yang disertainya.
Sudah lebih tiga jam dia menghantar posting yang terakhir tetapi hanya 2 likesahaja yang dia dapat.
Farhana merenung sendiri gambarnya yang sedang terbaring di katil.
Share this novel