“Habis tu macam mana nak faham. Zaman mak dengan zaman Farhana jauh beza. Sekarang ni semua pakai online mak. Nak kaya sekarang ni senang. Kita ambik gambar cantik-cantik…letak video yang menarik. Kalau jadi famous, kita boleh dikenali mak. Silap-silap pengarah filem nampak terus dia offer Farhana jadi pelakon. Mak tak suka ke anak mak ni jadi pelakon popular?” Farhana cuba menjelaskan supaya emaknya faham.
Berkerut-kerut dahi Habibah mendengar kata-kata Habibah. Direnungnya wajah Farhana dan dipandangnya tubuh Farhana atas dan bawah berkali-kali.
“Kenapa mak tengok Farhana macam tu? Apa? Mak tak yakin Farhana akan jadi terkenal kelak ke. Mak tunggu lah mak…, nanti Farhana akan buktikan pada mak yang Farhana akan famous satu hari nanti. Mak tunggu lah.” Farhana menjungkitkan keningnya. Dia cuba menyakinkan emaknya bahawa dia akan berusaha untuk melaksanakan impiannya.
“Bukannya mak tak percaya…tapi kalau muka dan badan kau tu macam Emma Maembong ok lah jugak. Tapi kalau kulit muka pun macam bulan…, badan pun berat dekat 80 kilo…mak takut kau layak jadi pelakon sambilan je nanti.” Habibah bersuara kemudian terus melangkah menuju ke bilik air.
“Mak!!! Mak ni langsung tak berfikiran positif. Anak mak sendiri pun mak nak kutuk!!” terjerit Farhana apabila mendengar kata-kata emaknya.
“Sudah! Jangan nak berangan. Kuruskan badan tu dulu, licinkan kulit muka tu dulu baru nak pasang angan-angan mat jenin. Pinggan tu basuh dulu. Ni dah dekat sejam baru 3 biji pinggan je siap. Lepas ni masukkan kain dalam mesin basuh,” laung Habibah dari pintu bilik air. Malas dia hendak melayan angan-angan tak sudah si Farhana.
Farhana mencebik bibir lagi. Gegaran dari telefon bimbit tanda ada notifikasi yang masuk membuatkan jiwa Farhana tidak tenang. Hendak dilihat, bimbang pula emaknya muncul pula tiba-tiba macam tadi. Maklumlah… naluri seorang ibu ni memang hebat.
Oleh itu Farhana kuatkan semangatnya untuk menghabiskan juga pinggan-pinggan kotor di dalam sinki itu walaupun peluh sudah menitis di dahinya kerana menggeletar menahan gelora jiwa yang tidak tenteram.
Share this novel