Setelah lima minit berada dalam tandas, kelibat Cempaka masih lagi tidak kelihatan. Haslinda mula resah. Bimbang juga dirinya tentang keselamatan temannya itu.
Tambah-tambah pula dengan pelbagai cerita hantu yang disogok oleh Cempaka sebelum ini membuatkan hati Haslinda bertambah tidak enak.
“ Kemana pulak Cempaka ni pergi? Takkan masuk dorm balik kot? Tadi dia yang beria-ia nak ke tandas.” bebel Haslinda perlahan.
Haslinda mencari kelibat Cempaka di luar tandas. Melilau matanya mencari Cempaka.
Namun, hampa. Cempaka tidak kelihatan di situ. Haslinda mula mengorak langkah ke dorm Aspalelah untuk mencari Cempaka. Tiba-tiba matanya seperti terpandang sesuatu. Haslinda kembali memusingkan badannya.
Alangkah terkejutnya Haslinda apabila terpandangkan Cempaka yang terbaring kaku berhampiran dengan tangki air. Badannya penuh dengan lumuran darah. Haslinda mula menggigil ketakutan.
Lidahnya kelu untuk bersuara. Bagaimana Cempaka boleh terbaring di situ? Apakah yang sudah terjadi? Fikiran Haslinda mula digasak dengan pelbagai pertanyaan.
“ Haslinda..Haslinda …Haslinda..” panggil Cikgu Amira sambil menepuk-nepuk pipi Haslinda.
Haslinda yang terasa pipinya ditepuk perlahan mula membukakan matanya. Matanya digosok perlahan. Sinaran matahari yang memancar membuatkan matanya terasa perit.
Apabila dia membukakan mata, dia melihat semua ahli dorm Aspalelah menggerumi dirinya. Dia terus bingkas bangun menghadap Cikgu Amira.
Tiba-tiba matanya menangkap wajah Cempaka. Spontan dia teringat peristiwa semalam.
Share this novel