BAB 3

Spiritual Completed 2035

Cuma perlu menambahkan sedikit sahaja tahap kekuatan diri. Belum lagi tibanya saat setelah selesai mencuci darah, hanya Tuhan yang tahu betapa aku menahan perasaan. Sewaktu menjalani dialisis aku masih mampu tersenyum, namun tamat sahaja proses itu tubuhku menjadi terlalu lemah.

Amat menderita! Jika diikutkan ketakutan, tentu mudah saja aku kecundang. Namun aku mesti teguh! Hanya iltizam mampu mengurangkan kesakitan ini.

Jam sudah menunjukkan pukul 2 tengah hari. Maknanya sebentar sahaja lagi Momo perlu menjalani rawatan. Dan aku perlu menunaikan janji untuk menemani mereka semua.

Lalu, aku menggagahkan diri untuk berpaut pada birai katil dan mengheret tubuh ke atas kerusi roda. Perlahan tangan menggerakkan roda untuk mengarahkan kerusi rodaku ke laluan yang betul. Belum sempat aku keluar dari bilik, terjengul wajah Idin, Aidad dan Faiz. Tergambar cemas pada riak wajah mereka.

“Abang Fir, pujuklah Momo. Dia tak nak jumpa doktor. Dari pagi tadi Momo tak nak makan. Kami tak tahu nak pujuk macam mana lagi. Gula-gula pun Momo tak pandang,” kedengaran sebak suara Faiz. Idin dan Aidad bagai hendak menangis di hadapanku. Sebagai abang, aku harus bertindak bijak pada waktu seperti ini.

“Bawak abang jumpa Momo, abang tahu macam mana nak pujuk dia,” penuh yakin aku bersuara untuk mengembalikan semangat mereka. Aku tahu, mereka sangat bimbang mengenai keadaan Momo. Penyakit anak itu semakin serius. Seperti aku juga.

Segera Faiz menolak kerusi rodaku. Aidad dan Idin berjalan mengiringi kami. Dalam kebimbangan yang menggaru jiwa, kami sepakat menuju ke perkarangan taman. Sungguh lengang persekitarannya ditambah pula dengan panahan terik mentari, tentunya tiada pesakit yang ingin bersantai pada waktu ini. Namun berbeza bagi kami yang ingin menjejaki Momo.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience