BAB 11

Spiritual Completed 2035

Hanya aku yang dapat menentukan nasib pada hari esok. Tubuhku sudah menjadi teramat lemah. Pembaringan ini menjadi saksi bahawa aku masih bernyawa. Alat bantuan pernafasan menjadi peneman setia. Menggantikan keupayaan paru-paruku untuk bernafas secara normal.

Aku tak lagi dapat bercakap, mulut ini telah tertutup rapat. Tangan dan kaki kekejangan, hilang fungsi untuk bergerak. Hanya mata yang mampu dikerdipkan. Itupun dengan penuh kepayahan.

Seringkali aku dapat melihat mama menahan air matanya semasa menyelimutkan tubuhku. Hazman pula, setia menggenggam tanganku. Semangat persahabatannya masih kental. Aku cintai kesungguhan dan kesanggupannya menemani diri ini tanpa mengira waktu. Kau sahabat yang paling aku sayang, Man.

Esok, merupakan hari lahir Idin. Sayangnya, aku sudah tidak mampu untuk meraikannya bersama mereka. Tetapi, telah ku bingkiskan siap-siap hadiah buat kesemuanya mengikut giliran hari lahir masing-masing. Aku masih mengharap, agar datang keajaiban dan tentunya jantung ini masih berdegup menandakan adanya aku bersama mereka.

“Aku tak sanggup tengok kau macam ni, Fir. Budak-budak tu asyik tanya pasal kau. Aku tak tahu nak cakap apa. Aku perlu beritahu mereka perkara sebenarnya, Fir. Aku tahu kau takkan marah kan? Kau sayangkan mereka semua,” perlahan Hazman bersuara.

Dia sedang menguatkan dirinya untuk berbicara dengan Fir yang tidak lagi berupaya untuk membuka mata. Menurut doktor, keadaan Firhan amat kritikal sekarang. Hanya mindanya yang masih berfungsi, dan pendengaran adalah satu-satunya deria yang memungkinkan sahabatnya mendengar.

Kau beritahulah, Man. Aku takkan marah. Dah terlalu banyak kau korbankan untuk aku. Aku teringin nak jumpa mereka sebelum aku pergi. Meski aku tak dapat melihat, aku dapat merasai sentuhan dan kehadiran mereka.

“Idin, Faiz, Aidad nak jumpa abang Fir tak?” soal Hazman pura-pura ceria. Padahal dalam hatinya, langsung tidak keruan. Hampir menangis dia memandang wajah bahagia tiga orang kanak-kanak itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience