BAB 10

Spiritual Completed 2035

Aku ingin membahagiakan mereka sekali lagi. Bantulah aku. Aku hanya mahukan secebis harapan untuk menggamit senyuman pada wajah kanak-kanak comel itu. Kabulkanlah permintaan hambaMu Ya Allah…

Alhamdulillah. Aku berupaya sedarkan diri semula setelah koma selama seminggu. Bukan sekejap tempoh itu. Apa-apa sahaja boleh terjadi dalam suatu jangkamasa sebegitu, boleh juga menentukan hidup mati seorang insan bernama Firhan Firdaus.

Aku bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk meneruskan hidup meski kini hidupku hanya bergantung pada rawatan dialisis. Pihak hospital masih belum dapat menemui penderma yang sesuai dengan diriku. Aku bersedia untuk menerima segala kemungkinan.

Berbekalkan ketabahan diri ini, dorongan seorang teman, iltizam kanak-kanak bersemangat kental serta curahan sayang seorang ibu sudah cukup menjadi perisai buatku melawan penyakit ini. Biar dia menjalar dalam tubuh ini, aku tetap akan melawan! Mengalah bukan satu-satunya jalan keluar!

“Abang Fir, terima kasih sebab bagi teddy bear masa hari jadi Dad dulu,” mesra kanak-kanak itu berbicara. Dengan selamba dia duduk di atas ribaanku lalu mengucup kedua-dua belah pipi. Terasa begitu dihargai. Merekalah adik-adikku sekarang.

“Sama-sama. Abang Fir tahu, mesti Dad suka teddy bear kan? Nanti kalau birthday Faiz, pun ada hadiah. Macam tu jugak Idin. Abang sayang kamu semua,” hanya Momo yang tidak berkesempatan.

Namun kata-kata itu ku simpan dalam hati. Lantas kesemua mereka ku peluk erat. Melimpah rasa kasih buat kanak-kanak ini. Aku sungguh kagum dengan semangat yang ada pada diri mereka.

Sedikit sebanyak, mereka menjadi sumber inspirasiku. Kami sama-sama berjuang dan terus berjuang meski penghujungnya masih samar. Tak kira apa kesudahan yang menanti, aku tekadkan niat di hati.

Aku telah mengeluarkan sehabis upaya untuk berjuang. Setiap tenaga yang ada, ku kerahkan untuk melawan penyakit buah pinggang yang kian parah hari demi hari. Kini, aku benar-benar perlu kuat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience