BAB 7

Spiritual Completed 2035

Momo, adik abang… Mukhriz Muhaimin.

Sekali lagi air mataku menitis. Momo memang matang. Dia sering memikirkan perkara yang belum terlintas di fikiran kakak-kanak sesusianya. Abang kagum dengan Momo!

Permintaan mama untuk membawaku pulang sememangnya menjadi kejutan buat diriku. Malahan doktor Imran yang merawatku selama ini turut terkedu. Kelihatan serba salah untuk doktor itu melepaskan aku. Namun, demi menjaga hati mama aku turutkan jua permintaannya.

“Ma, boleh Fir tahu kenapa Fir perlu balik?” soalku sebaik sahaja mama menghidupkan enjin kereta.

“Mama nak jaga Fir. Kat rumah kita akan ada jururawat peribadi, doktor kita sendiri. Tak payah lagi duduk kat hospital macam tu. Senang, Fir ada depan mata mama,” berdetak laju jantungku mendengar percaturan yang telah dibuat mama.

Mengapa ibuku begini? Dari dulu, langsung tak menghiraukan pendapatku. Segala yang ku buat salah di matanya. Sedang saat aku berjuang melawan penyakit pun, dia masih bertegas dengan keputusannya.

Aku tak percayakan khidmat doktor lain, hanya doktor Imran yang maklum mengenai tahap kesihatanku. Dia yang sering menenangkan aku kala diri ini mengharung kesakitan.

“Tapi, Fir kena buat dialisis tiga kali seminggu, ma. Macam mana nak buat kalau Fir duduk kat rumah?” agak keras nadaku. Manakan tidak, aku tak mungkin sekali-kali ingin mengabaikan rawatan dialisis yang perlu dilalui selama tiga hingga empat jam sekerap tiga kali seminggu.

Bagi pesakit kronik seperti ku ini, hanya rawatan itu merupakan alternatif terbaik selagi belum mendapatkan penderma yang sesuai. Malangnya, mama langsung tidak mengendahkan pertanyaan itu. Sebaliknya dia terus memandu sehingga sampai ke kediaman kami.

Bagi kebanyakan pesakit, berpeluang pulang ke rumah dan tinggal bersama keluarga memang menjadi detik yang ditunggu-tunggu. Tetapi tidak aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience