Sudah tiga hari berlalu. Mesej suara yang dihantar Syarhan kepada Insyirah kekal dengan satu tanda biru. Tiada balasan. Tiada reaksi. Cuma sunyi yang menjawab segalanya. Namun kali ini, dia tidak lagi menanti dengan penuh kecewa. Dia sudah belajar... bahawa tidak semua keikhlasan akan dibalas seperti yang diharapkan.
Dengan tenang, Syarhan kembali fokus. Dia menyusun semula masa belajarnya untuk kelas malam secara atas talian di Zoom. Headphone disarung, buku nota dibuka. Walau dunia luar terus bersimpang siur, hatinya belajar untuk duduk diam, dan terus melangkah perlahan—dengan harapan yang tertanam pada ilmu dan perubahan diri.
Waktu rehat kelas, Syarhan termenung seketika melihat layar. "Mungkin Allah tarik satu, untuk kembalikan aku kepada sesuatu yang lebih kukuh." Lalu dia menunduk, menulis di jurnalnya:
"Tak mengapa jika aku tidak diingati oleh manusia, asalkan aku masih disebut dalam doa para malaikat dan rahmat Tuhan."
Usai kelas Zoom, Syarhan merebahkan badan di tilam nipis biliknya. Mindanya masih penat, tapi hatinya cuba tenang. Sunyi malam di negara asing itu tak sepi benar apabila dia menekan butang 'Play' pada skrin telefonnya. Sebuah filem komedi ringan yang pernah ditontonnya sewaktu zaman belajar dahulu kembali mengisi ruang bilik dengan gelak tawa watak-watak lucu.
Senyuman mula terukir di wajahnya. Ketawa kecil yang tercetus bukan kerana jalan cerita, tapi kerana dia belajar untuk tidak terlalu keras pada diri sendiri. Kadang-kadang, hiburan sederhana itulah penawar bagi jiwa yang luka dalam diam.
"Aku pun berhak rasa bahagia, walau hanya dengan gelak kecil pada lawak jenaka."
Share this novel