Sejak kembali membina semangat diri, Syarhan mulai terasa ada kekosongan lain dalam hidupnya — hubungan dengan keluarganya. Dia sedar, sejak sibuk mengejar cita-cita, jarang sekali dia menelefon emak dan ayah. Hanya ucapan ringkas di WhatsApp sekadar melepaskan tanggungjawab.
Suatu petang, selepas solat Maghrib, Syarhan memberanikan diri menghubungi emak. Suara tua itu kedengaran serak namun masih lembut.
"Syarh, sihat ke kat sana?" suara emak membuatkan hatinya sebak.
"Alhamdulillah, mak. Rindu nak dengar suara mak," balasnya, cuba menahan getaran dalam dada.
Mereka berbual lama malam itu. Syarhan bercerita tentang suasana tempat kerjanya, tentang kelas agama yang diikutinya, tentang usaha dirinya untuk menjadi lebih baik. Emak hanya diam mendengar, sesekali ketawa kecil atau memberi nasihat perlahan-lahan.
Syarhan sedar, walaupun selama ini dia mencari kekuatan di luar, sebenarnya keluarga lah tempat dia boleh pulang — tempat cinta itu tidak pernah meminta apa-apa balasan.
Di hujung talian, sebelum memutuskan panggilan, emak sempat berpesan,
"Kalau rasa susah, jangan lupa...Allah ada, mak ayah pun sentiasa doakan. Jangan lari dari Allah, Syarh."
Malam itu, Syarhan menulis lagi di blognya:
"Hidup ini bukan perlumbaan siapa paling berjaya. Ia tentang siapa paling banyak bersyukur, paling kuat bergantung kepada Dia yang Maha Esa."
Selesai berbual dengan emak, Syarhan mengambil wuduk dan bersiap untuk ke Masjid Al-Faizin. Malam itu, angin berhembus lembut namun hawa tetap sejuk menggigit. Syarhan melangkah ke hentian bas yang hanya beberapa blok dari rumah sewanya.
Bas tiba lewat sedikit. Saat Syarhan naik, bas agak penuh, namun dia tetap berdiri di belakang, berpegang pada pemegang besi. Di tengah kesibukan manusia, telinganya sempat menangkap beberapa suara berbisik di belakang.
"Tu lah lelaki alim...tapi sebab perempuan, terus berubah."
"Insyirah punya pasal lah tu, agaknya."
"Tak lama pun, nanti berubah balik."
Tawa kecil meletus, jelas sengaja mahu Syarhan dengar.
Syarhan mengetap bibir. Jantungnya berdegup laju, rasa panas naik ke wajah. Tapi dia hanya diam. Menunduk, berpura-pura tidak mendengar. Dalam hati, dia bermonolog:
"Tak mengapa...Aku berubah bukan untuk sesiapa, tapi kerana Allah. Biarlah manusia menilai sesuka hati."
Bas berhenti di perhentian masjid. Syarhan segera turun, menahan nafas panjang. Dia menoleh seketika ke arah langit malam — bulan menggantung malu-malu di sebalik awan tipis.
Langkahnya terasa berat, tetapi tetap dipaksa ke masjid. Di setiap langkah, Syarhan memujuk hatinya sendiri.
"Kalau niatku untuk Allah, aku harus kuat...aku harus teruskan."
Di dalam Masjid Al-Faizin, Syarhan mengambil tempat di saf belakang. Suasana damai. Imam memulakan iqamat. Bersama takbiratul ihram, Syarhan seakan melepaskan semua beban yang bersarang di hati.
Malam itu, dia sujud lebih lama daripada biasa.
Dalam sujudnya, dia berbisik dalam hati:
"Ya Allah...Kuatkan aku, hanya kerana-Mu."
Usai memberi salam, Syarhan duduk berzikir sebentar sebelum bangkit perlahan-lahan untuk pulang. Jemaah lain berselerakan keluar dari masjid Al-Faizin, beriringan dalam kumpulan kecil.
Saat melangkah keluar dari pintu utama, telinganya sekali lagi menangkap suara-suara sumbang.
"Orang muda sekarang...solat sebab perempuan lah tu."
"Entah-entah sebab nak tunjuk alim depan Insyirah tu..."
"Alah, kita tahu siapa dia sebenar."
Ketawa kecil berbaur sinis menghiris telinga Syarhan. Dia tunduk, menahan nafas panjang, berjalan terus ke hentian bas dalam kelam malam. Di hatinya, terasa seperti satu tusukan tajam — luka yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.
Bas tiba tidak lama kemudian. Syarhan naik dan mengambil tempat di kerusi paling belakang, jauh dari orang lain. Cahaya lampu jalan berkelip-kelip samar melalui tingkap bas yang berwap.
Dia memandang ke luar tanpa fokus.
Helaan nafasnya berat. Di dalam dada, gelombang rasa sebak menolak ke permukaan. Perlahan-lahan, setitik air mata jatuh di pipi. Digosok cepat-cepat, seolah-olah mahu menafikan kewujudan kesedihan itu.
Dalam hati, Syarhan bermonolog:
"Sampai bila aku akan terus difitnah begini? Aku tak buat semua ini kerana manusia...aku cuma nak mencari Redha Allah. Tapi...kenapa tetap aku yang disakiti begini?"
"Ya Allah...aku lemah. Tapi aku nak kuat, demi Engkau..."
Bas terus meluncur dalam kegelapan malam. Hanya bunyi enjin dan degupan hatinya yang kedengaran.
Sampai sahaja di rumah, Syarhan membuka pintu perlahan-lahan. Cahaya malap dari ruang tamu membentuk bayang-bayang di dinding. Di sofa, Torque sedang baring sambil bermain telefon.
Torque mengangkat wajah, senyum sinis.
"Dah balik? Macam mana? Insyirah kirim salam ke?"
suara Torque mengusik tanpa malu.
Syarhan diam. Hatinya sudah dapat mengagak, dari mana fitnah dan sindiran yang bertiup sejak kebelakangan ini. Tapi dia menghela nafas panjang, menahan bara yang hampir menyala.
Dia tahu.
Dia syak.
Tapi dia memilih untuk tidak memperbesarkan.
"Biarlah...aku tak nak gaduh...aku dah cukup letih," bisik Syarhan dalam hati.
Dengan langkah perlahan, dia terus masuk ke biliknya. Di dalam bilik, pintu ditutup perlahan — tidak dihempas, tidak dibiar berbunyi keras. Dia bersandar di pintu, membiarkan dirinya sejenak tenggelam dalam keheningan.
Kepalanya terasa berat. Jiwanya sesak.
"Aku cuma nak tenang. Kenapa susah sangat?"
Dia duduk di penjuru katil, mengambil wuduk dari bilik air kecil di dalam bilik itu. Sejuk air di wajah menenangkan sedikit kekusutan di hati.
Malam itu, Syarhan mendongak ke siling bilik, termenung lama.
"Ya Allah...Kau tahu apa yang aku tak mampu ungkapkan..."
"Kau tahu hati aku yang luka ini..."
Dengan perlahan, dia capai telefon bimbitnya. Dibuka aplikasi Blogger. Jarinya mula menaip jurnal kehidupan...coretan tentang perjuangan hati yang tidak pernah difahami manusia.
Malam itu, di bawah cahaya lampu meja yang suram, Syarhan membuka halaman blogger peribadinya.
Dia mula menaip, menulis segala resah yang terbuku dalam hati:
"Ada masa kita rasa sendirian, bila semua orang keliling mula menjauh. Ada masa fitnah jadi makanan harian, dan air mata jadi teman waktu sunyi. Tapi aku tahu...Tuhan itu dekat. Lebih dekat dari denyut nadi ini. Aku cuma perlu kuat. Aku cuma perlu bertahan. Untuk diri aku sendiri...dan untuk bahagia yang aku sendiri tak tahu bila akan tiba."
Jari-jemarinya menaip tanpa henti. Kata-kata itu lahir dari luka yang dalam — luka yang tidak mungkin dilihat oleh mata kasar.
Selesai menaip, Syarhan menekan butang 'publish'.
Dia kemudian menyandar ke kerusi, memandang kosong ke luar jendela kecil biliknya. Hujan mula renyai-renyai turun membasahi bumi.
"Aku juga ingin bahagia...walaupun jalannya penuh air mata,"
bisiknya perlahan, sebelum akhirnya dia memejamkan mata, mengharapkan esok lebih kuat dari hari ini.
Keesokan harinya, telefon Syarhan berbunyi. Ada satu mesej baru di WhatsApp — daripada Insyirah.
"Syarhan, saya doakan awak terus kuat ya. Jangan pedulikan kata-kata orang. Kadang Allah izinkan kita rasa pahit dunia supaya kita tahu manisnya bersandar pada Dia. Awak berhak untuk bahagia dengan cara yang Allah redha."
Syarhan tersenyum hambar, sedikit sebanyak hatinya terubat. Tapi belum sempat dia menyimpan telefonnya, Torque datang menyapa.
"Eh, bro...dengar cerita kau sekarang dah jadi ustaz sebab nak pikat awek usrah, eh?"
Gelak tawa Torque kedengaran kuat, disambut oleh beberapa rakan sekerja yang lain.
Rupanya Torque telah menyebarkan cerita buruk tentang Syarhan di tempat kerja — bahawa perubahan diri Syarhan hanyalah kerana ingin memikat Insyirah, bukan kerana keikhlasan.
Syarhan hanya mampu menarik nafas panjang. Dadanya terasa sempit, namun dia memilih untuk diam.
"Ya Allah, cukup Engkau tahu niatku," bisik Syarhan dalam hati, menahan sabar sehabis daya.
Dia segera berlalu ke tempat kerjanya, cuba mengalihkan fokus, walaupun hatinya bergelora hebat.
Hari itu, Syarhan dipanggil oleh penyelianya.
Dia diberi satu tugasan berat — menyiapkan laporan audit teknikal untuk projek penting syarikat dalam masa yang sangat singkat.
Dengan semangat yang masih rapuh, Syarhan cuba melaksanakan tugasnya sebaik mungkin. Dia duduk di meja kerja, fokus menelaah data yang bertimbun. Namun, ketenangannya tidak bertahan lama.
Torque dan beberapa rakan sekerja mula mengganggunya — bercakap-cakap dengan kuat, menjeling, dan membuat bunyi sindiran. Ada yang lalu di belakangnya sambil berbisik-bisik, kononnya tentang "ustaz cinta" dan "pengikut perempuan."
Syarhan menahan nafas.
"Fokus, Syarh... Jangan layan mereka," hatinya berbisik.
Namun, gangguan itu berterusan. Ada yang sengaja mengetuk meja, ada yang menjatuhkan fail berhampiran. Sedikit demi sedikit, fokusnya terganggu. Tangannya mula bergetar, matanya kabur menahan tekanan.
Dalam diam, Syarhan pejam mata sekejap, menarik nafas dalam.
Dia bangkit, mengambil wuduk di tandas pejabat, memohon kekuatan daripada Allah di tengah ribut tohmahan manusia.
"Aku buat semua ini kerana-Mu, Ya Allah... Bukan kerana mereka."
Selepas menyusun segala keberanian yang masih berbaki, Syarhan menuju ke surau kecil di sudut bangunan tempat kerjanya.
Dia ingin lari seketika daripada kebisingan dunia dan menghimpunkan semula sisa-sisa ketenangan yang hampir terlerai.
Dia berdiri menghadap kiblat, mengangkat takbir, dan mengadukan segalanya kepada Allah.
Namun, ketika rakaat kedua, kedengaran suara tawa mengejek di luar jendela surau.
Jelas sekali nama "Insyirah" diulang-ulang dalam nada mempermainkan.
Degupan jantungnya jadi kencang.
Fokusnya hancur.
Dia terhenti sejenak di tengah solat, matanya berkaca — terlupa rakaat keberapa.
"Ya Allah... Aku lemah..."
Rasanya seperti seluruh dunia menolaknya jatuh. Bagaikan luka lama yang belum sempat sembuh, dihiris lagi bertubi-tubi.
Syarhan terpaksa menghabiskan solatnya dalam keadaan resah, sujud terakhirnya terasa berat seolah-olah seluruh dosanya dibebankan di atas punggungnya.
Air matanya jatuh tanpa dapat ditahan lagi, deras mengalir ketika dia memberi salam.
Dia duduk lama di atas sejadah.
Melipat tubuh, mendakap kedua lutut sambil bersandar ke dinding surau.
Mengulang-ulang doa dalam hati:
"Ya Allah... kuatkan aku... kuatkan aku..."
Di luar, gelak ketawa itu masih bergema.
Namun di dalam hati Syarhan, satu tekad kecil sedang dibina perlahan-lahan:
Dia tidak akan membiarkan sesiapa lagi merampas ketenangan imannya.
Share this novel