Malam itu, selepas kelas online dari Masjid Al-Faizin, Syarhan termenung lama di birai katil kecil di asramanya. Skrin telefon masih menyala, tergantung pada nama kelas Zoom yang baru ditinggalkan. Tiba-tiba, matanya tertumpu pada satu notifikasi dari galeri—“3 tahun yang lalu hari ini”. Ia adalah gambar tangkapan layar video call bersama Hanif.
> “Aku rindu suara kau, bro...” monolognya perlahan.
Dia terkenang kembali waktu mereka tekun mengaji bersama—kitab Riyadus Solihin jadi pengikat ukhuwah dua jiwa yang dahagakan peringatan. Biarpun hanya bertemankan video call, tazkirah dari Hanif dan senyumannya cukup buat Syarhan kuat waktu itu.
Flashback itu makin jelas—hari terakhir mereka berjumpa. Ketika Syarhan perlu melapor diri untuk pekerjaan pertama selepas tamat pengajian, Hanif sendiri yang datang menjemput dari Melaka Sentral seawal jam 7 pagi. Dengan senyum lebar dan suara ceria, Hanif mengajak dia sarapan di kedai roti canai kegemaran mereka. Walau ringkas, momen itu sangat bermakna.
“Aku doakan kau berjaya di tempat kerja baru, dan jangan lupa… Allah dulu, baru kerja.”
Itu kata Hanif sebelum menghantar Syarhan ke hostel syarikat pertamanya.
Kini, suara itu hanya tinggal kenangan. Hanif sudah tiada, pergi dalam tragedi menyayat hati. Tapi kenangan dan nasihatnya kekal hidup dalam jiwa Syarhan. Dan kerana itulah dia masih di sini—berjuang untuk kembali pulih, dengan semangat yang pernah Hanif bakar dalam jiwanya.
---
Syarhan pegang telefon erat-erat. Tangannya bergetar, bukan kerana sejuk, tapi kerana rindu yang dah lama dipendam. Gambar itu disimpannya kembali ke galeri, lalu dibuka pula nota suara lama—pesanan Hanif yang terakhir sebelum tragedi itu meragut nyawanya.
"Syarh, ingat... jangan tinggalkan Riyadus Solihin tu. Dalam tu banyak doa yang kau perlukan nanti, waktu kau dah takde aku kat sisi."
Syarhan tersandar di dinding. Air mata yang ditahan-tahan sejak tadi akhirnya tumpah juga. Dia tak pernah sangka kata-kata Hanif dulu benar-benar menjadi kenyataan. Kitab itu kini satu-satunya ‘teman’ yang tinggal.
Di luar jendela kecil, bulan sedang mengambang penuh. Hati Syarhan terdetik—mungkin ini masa aku kembali kuat, walau seorang diri. Lalu dia bangkit, capai kitab Riyadus Solihin yang telah dikirim semula oleh keluarga Hanif selepas pengebumian.
Diselak satu halaman yang ditandakan Hanif dulu. Bab tentang keikhlasan. Dia baca perlahan, sebut satu demi satu, cuba hayati.
“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan harta kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan kamu.”
Suara Hanif seperti bergema kembali dalam fikirannya. Dan malam itu, buat pertama kalinya sejak sekian lama, Syarhan sujud dalam tangis yang paling jujur, bukan untuk meminta dunia kembali indah, tapi agar hatinya kembali tenang.
begitulah persabahatan semata mata kerana Allah....bertemu Dan berpisah kerana Allah
Share this novel