Bab 5: Langkah Kecil, Hati yang Besar

Action Series 115

Pagi itu, Syarhan melangkah keluar rumahnya dengan nafas yang lebih tenang. Walau hatinya belum benar-benar pulih, namun dia tahu — setiap langkah kecil hari ini adalah pelaburan untuk hari esok.

Di tempat kerja, suasana tetap sama. Wajah-wajah asing, bahasa yang kadang terasa kasar, dan budaya yang jauh berbeza dengan nilai Islam yang dia genggam erat. Sesekali dia terdengar tawa sinis, bisikan-bisikan asing yang menghiris perasaannya. Tapi kali ini, Syarhan mengingatkan dirinya — dia bukan hamba pandangan manusia. Dia hamba Allah.

"Tak mengapa. Biarlah orang lain mahu berkata apa... Yang penting, aku ada arah yang ingin aku tuju."

Sebelum waktu Asar, dia bergegas ke Masjid Al-Faizin. Tidak ramai orang di sana. Hanya beberapa jemaah, kebanyakannya warga tua. Azan tidak berkumandang lantang di jalanan — hanya kedengaran sayup dari pembesar suara di dalam masjid.

Selesai solat, Syarhan mengambil tempat di sudut masjid, mengeluarkan jurnal kecilnya.

Dia mula menulis.

"Hari ini aku pilih untuk bersabar. Hari ini aku pilih untuk bertahan. Hari ini aku pilih untuk percaya bahawa Allah sedang mempersiapkan sesuatu yang lebih baik untukku."

Air mata mengalir perlahan, namun bibirnya tersenyum.

Dia ingat kata-kata Insyirah yang baru-baru ini mengirim mesej:

"Bangkit perlahan tak mengapa, asalkan jangan berhenti melangkah. Allah tak pernah tinggalkan awak, Syarhan."

Syarhan menggenggam penanya erat.

"Aku mungkin jatuh berkali-kali. Tapi aku akan tetap bangun. Kerana aku tahu, aku juga layak untuk bahagia."

Dan pada hari itu, buat pertama kali selepas berbulan-bulan kelam, Syarhan benar-benar rasa... ada sinar kecil di hujung lorong gelap kehidupannya.

Belum sempat Syarhan mahu menyimpan jurnalnya, Torque — kawan serumahnya — melangkah masuk ke bilik dengan wajah sinis. Syarhan angkat kepala, menanti tanpa kata.

Torque tersengih. "Berubah sebab awek ke, Syarh? Haa... 'Bangkit perlahan tak mengapa, asalkan jangan berhenti melangkah... Allah tak pernah tinggalkan awak.'" Torque mengajuk ayat Insyirah dengan suara mengejek.

Syarhan mengetap bibir. Dia tahu Torque sudah lama memasang niat jahat — diam-diam Torque telah menggodam telefonnya, membaca chat peribadinya bersama Insyirah. Syarhan rasa marah membuak, tapi dia menahan diri.

"Sabar, Syarh... ini ujian kecil. Jangan biarkan emosi menguasai akal." bisik hatinya.

Dia tunduk, membiarkan Torque berlalu dengan gelak tawa kecil. Syarhan tahu, marah takkan mengubah apa-apa. Hatinya sedikit tercalar, tapi dia lebih rela menjaga maruah dirinya daripada bertikam lidah dengan manusia yang tidak mengerti.

Dalam diam, dia berdoa,
"Ya Allah, cukupkanlah aku dengan perhatian-Mu, jauhkan aku dari kehinaan makhluk-Mu..."

Langkah-langkah kecilnya untuk bangkit mungkin tidak difahami manusia, tapi cukup Allah yang menjadi saksi.

Selepas peristiwa itu, Syarhan mengambil keputusan tegas. Telefon bimbitnya dikunci dengan lebih ketat, kata laluannya diperbaharui. Dia belajar bahawa menjaga ruang peribadi adalah satu bentuk menjaga harga diri.

Di sela waktu bekerja, dia mula mengisi masa dengan menghadiri kelas online anjuran Masjid Al-Faizin. Dunia media sosialnya juga dibersihkan — hanya berbaki laman motivasi, pengajian agama, dan beberapa kenalan yang benar-benar dipercayai.

Satu malam, seusai solat Isyak, Syarhan duduk termenung di balkoni bilik sewanya. Angin sejuk luar negara menyentuh pipi, membawa memori Hanif dan nasihat-nasihat lama kembali ke ingatan.

"Aku nak kuat...bukan sebab manusia, tapi kerana aku perlu jadi hamba yang lebih baik..." hatinya berbisik perlahan.

Di tangan, dia menggenggam sebuah tasbih kecil — hadiah terakhir dari Hanif — seolah-olah semangat sahabatnya itu tetap hidup di sisi, membimbingnya dalam diam.

Malam itu, dia mencatat satu azam baru dalam jurnal onlinenya:
"Aku mahu sembuh. Aku mahu bahagia, bukan kerana sesiapa...tetapi kerana Allah yang setia memeluk hatiku walau seluruh dunia berpaling."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience