Jam menandakan lewat pukul 1.00 Pagi. Selesai menyiapkan tugasan untuk dihantar ke kolej esok, Faruqi memeriksa luka-luka kecil akibat terjatuh. Dengan hati-hati, dia membersihkannya dan menyapu minyak sakit yang sedia ada. Sambil melihat luka itu, fikirannya melayang mengingati kejadian tadi. Tanpa sedar, senyuman kecil terukir di bibirnya.
"Cantik dan menawan," bisik hatinya. Namun, bayangan itu segera berubah kepada wajah lelaki yang berlagak sombong. Senyumannya pudar serta-merta.
"Haish, macam mana perempuan secantik itu boleh suka lelaki yang berlagak sombong tu? Kalau ikutkan hati tadi, memang nak je aku hamburkan marah, tapi bila si dia datang, rasa macam bidadari menyapa. Fikirnya sudah tak bernyawa tadi. Alhamdulillah, masih ada peluang untuk teruskan hidup dan tebus apa yang perlu," Faruqi mengomel sendirian.
Selepas itu, dia merebahkan diri di atas katil. Esok ada kelas pagi, jadi dia perlu tidur sekarang supaya tidak terlewat.
Selesai saja kelas, Faruqi melangkah ke dataran menunggu. Menunggu seseorang mengambilnya untuk pulang bersama dan dalam masa yang sama ada tepukan bahu menyapa. "Abang Qi! Kenapa kaki abang terhenjut-henjut?" tanya Nabila cemas.
"Oh, semalam abang jatuh motor. Tu yang jalan macam ni, tapi sikit je ni," jawab Faruqi sambil tersenyum untuk menenangkan Nabila.
"Sikit abang kata! Tengoklah tangan dengan kaki tu, teruk tau! Dah, jom Bella bawak abang pergi klinik. Lagi satu, jangan cakap abang datang kolej tadi naik motor?" Nabila mula panasaran.
"Eh, taklah. Abang tumpang kereta Iman hari ni. Bella jangan risau, abang okay," balas Faruqi tenang.
Walaupun begitu, Faruqi sebenarnya sudah diceramah oleh rakan serumahnya pagi tadi sebelum ke kelas. Sekarang ni, Nabila pula. Dia hanya mampu tersenyum dan mendengar saja. Nabila jiran sekampungnya, juga adalah anak ketua kampung. Walaupun umur mereka hanya berbeza tiga tahun, Faruqi menganggap Nabila seperti adiknya sendiri. Ayah Nabila banyak membantu kehidupan dia, atuk dan neneknya di kampung.
Belajar di Kolej yang sama bukanlah secara kebetulan. Sebenarnya, ibu dan ayah Nabila sengaja menghantar dia ke kolej yang sama supaya Faruqi dapat memantau dan melaporkan jika ada apa-apa yang berlaku kepada anak mereka. Namun, di kolej ini, mereka tidak sekelas. Faruqi kini di semester 5 jurusan ijazah seni lukis, manakala Nabila baru di semester 2 jurusan diploma pengurusan perniagaan.
"Abang pasti ke tak nak Bella bawakkan ke klinik?" tanya Nabila sekali lagi, masih risau.
"Pasti! Eh, Bella dah habis kelas ke ni?" tanya Faruqi, cuba mengubah topik.
"Dah habis. Abang, jom kita pergi makan nak tak. Nanti Bella hantarkan abang balik rumah sewa sekali," pelawa Nabila penuh harapan.
Ajakannya ditolak dengan lembut. "Abang dah makan dengan Iman tadi dekat kafe. Sekarang ni abang tengah tunggu dia ambil kereta dekat tempat parking. Abang ingat nak rehat je hari ni. Maaf ya, Bella. Nanti lain kali abang teman Bella makan," ujar Faruqi dengan nada tenang.
Nabila tersenyum pahit sambil mengangguk tanda faham. Walaupun kecewa, dia tidak mahu memaksa.
Tidak lama kemudian, kereta Myvi milik Iman tiba dan berhenti di sebelah Faruqi. "Abang gerak dulu ya, Bella. Hati-hati memandu balik. Kalau ada apa-apa, maklumkan pada abang," pesan Faruqi sebelum melangkah masuk ke kereta.
Nabila membalas dengan senyuman kecil dan tanda ok di jari.
Melihat kereta Iman berlalu pergi membawa Faruqi, dalam hatinya tahu Faruqi cuba menjarakkan diri sejak mengetahui perasaannya itu. Namun, dia tidak mahu berputus asa. Dalam hati kecilnya, dia berjanji akan terus berusaha untuk memenangi hati Faruqi, walaupun lelaki itu hanyalah menganggapnya sebagai seorang adik.
Share this novel