Jam 9.00 Malam.
Kilauan cahaya lampu dan lensa kamera menyinari seluruh pentas peragaan. Semua mata tertumpu menanti kemunculan model terkenal, Raja Elmyra, untuk perasmian koleksi daripada butik terkemuka, TLOOK COLLECTION.
Apabila Raja Elmyra muncul, satu tepukan gemuruh memenuhi ruang dewan. Kecantikan dan keanggunan Elmyra yang mempamerkan pakaian itu sungguh memukau seluruh hadirin.
"Oh my lady. Guys! This is my fiancée," ujar Megat Aidan dengan suara lantang, penuh kebanggaan. Melihat tunangannya di atas pentas membuatkan hatinya berbunga-bunga. Megat Aidan, tunangan Raja Elmyra, memulakan ikatan pertunangan mereka tiga bulan lalu selepas dua tahun bercinta. Memiliki El (nama panggilan) di sisi merupakan impian yang menjadi kenyataan. Siapa yang tidak ingin memiliki El? Seorang gadis yang sempurna; cantik, bergaya, berasal dari keluarga berpangkat, dan yang paling penting, sekufu. Bukan mudah untuk menawan hati El. Pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan perhatiannya. Dia tahu, gadis seperti El tidak mudah terpedaya dengan kata-kata manis. Ada yang berkata, bunga, emas, dan permata akan memikat hati seorang gadis, tetapi bukan El. Segalanya berubah pada suatu hari apabila Aidan menyelamatkan El dari cubaan ragut. Sejak hari itu, perhatian El mula tertumpu kepadanya. Akhirnya, tiga bulan lalu, Aidan melamar El dan memintanya menjadi tunang, dan bakal isterinya. Mereka memutuskan untuk bertunang selama setahun dan telah membuat persiapan sedikit demi sedikit.
"Sayang! Terima kasih datang dan menyokong I. I ingatkan u tak datang, sebab kebelakangan ini nampak macam sibuk sangat," kata El sambil menghampiri Aidan. Aidan tersenyum sambil menghulurkan sejambak bunga kepada El.
"Kekasih hati, of course I datang. Lagipun, melihat u berjalan atas pentas buat I bangga sebab I ada tunang secantik ini. I siap cakap dekat kawan sebelah I yang u tunang I," jawab Aidan dengan bangga.
El tersenyum mendengar kata-kata Aidan. "Terima kasih untuk bunga dan terima kasih untuk hari ini," balasnya dengan rasa syukur. Bagi El, melihat kehadiran tunangnya sudah cukup menggembirakan hatinya. Mama dan Papa tidak dapat hadir kerana urusan di luar negara, manakala abangnya pula sibuk dengan keluarganya. Maka, dia mengharapkan lelaki istimewa ini untuk ada di sisinya. Melihat Aidan dari atas pentas membuatkan hatinya berasa tenang, walaupun dia tahu tunangannya itu sibuk dengan urusan syarikat. Pada awalnya, dia tidak mahu mengharapkan apa-apa kerana seringkali kekecewaan hadir apabila mengharap. Namun, melihat kesungguhan Aidan menambahkan lagi rasa cinta di hatinya. Aidan, lelaki yang berjaya mengetuk pintu hatinya. Hati Raja Elmyra Binti Raja Nadhim.
Di satu masa yang sama dan tempat berbeza.
"Qi, lepas ni terus balik ke?" tanya pengurus kafe, Encik Adi.
"A'a, terus balik, Encik Adi. Saya ada tugasan yang perlu dihantar esok," balas Faruqi.
"Kalau macam tu, hati-hati bawa motor tu, Qi. Nak hujan ni. Kalau susah, tinggal je motor kat kedai, aku boleh hantarkan kau naik kereta," cadang Encik Adi.
"Eh, tak apa, Encik Adi. Kalau encik hantar, esok saya tak ada motor nak pergi kelas pula," jawab Faruqi sambil tersenyum kecil.
"Kalau macam tu, kau balik sekarang. Ni dah mula renyai-renyai. Karang makin lambat, makin lebat hujan. Yang lain-lain ni nanti aku tolong kemaskan dengan budak-budak," arah Encik Adi tegas.
Faruqi mengangguk dan bergegas pulang seperti yang diminta. Hatinya sebenarnya sudah gusar sejak tadi, memikirkan keadaan cuaca yang tidak menentu. Motor yang digunakannya pula kurang stabil, menjadikan perjalanan dalam hujan lebih mencabar.
Namun, dia bersyukur dapat bekerja sebagai pekerja sementara di kafe Encik Adi. Gaji yang diterima digunakan untuk menampung perbelanjaan harian. Walaupun dia mendapat pinjaman pelajaran, sebahagian wang itu disalurkan kepada nenek dan datuknya di kampung. Mereka berdua adalah satu-satunya keluarga yang masih ada bersamanya.
Ayahnya telah meninggal dunia ketika dia berusia 11 tahun akibat kemalangan, manakala ibunya kali terakhir dilihat sewaktu dia berusia 5 tahun. Sejak ibu bapanya bercerai, hak penjagaan diberikan sepenuhnya kepada ayahnya. Selepas itu, kelibat ibunya tidak pernah muncul, meskipun selepas pemergian ayahnya.
Rindu kepada seorang ibu bertukar menjadi luka yang sukar sembuh. Faruqi nekad untuk tidak mencari wanita itu sampai bila-bila, kerana baginya, keperitan ditinggalkan lebih sukar diterima daripada kehilangan.
Share this novel