Bab 7

Other Series 211

Setibanya di kawasan perumahan Etlite, kereta milik Elmyra meluncur masuk ke dalam villa keluarga. Setelah mematikan enjin, dia keluar dari kereta dengan langkah santai menuju ke pintu utama. Sapaan sopan pemandu papanya dibalas dengan senyuman, sebelum dia melangkah masuk ke ruang tamu dan merebahkan diri di sofa empuk. Dalam keadaan itu, dia mencapai telefon bimbitnya, membalas mesej tunangnya serta beberapa mesej penting daripada klien.

Tidak lama selepas itu, Raja Dahlia, mamanya, muncul dari arah dapur. Wajahnya sedikit terkejut tetapi penuh kasih.
“Amboi, santainya anak mama. Mama ingat dah lupa rumah ni,” tegurnya dengan nada separuh merajuk.

El segera bangun dari rebahannya, tersengih manja.
“Sorry, ma! El sibuk sangat kebelakangan ni. El memang nak balik, cuma tak sempat. Tapi hari ni El free, jadi El balik. Hehe,” balasnya sambil tersengih.

“Yelah tu. Kalau mama tak mesej hari tu, entah bila nak balik,” Dahlia terus menyambung, masih dalam nada rajuk.
El segera mendekatkan diri, memeluk lengan mamanya sambil berkata dengan nada memujuk, “Janganlah merajuk, mama. Nanti tak lawa.”

Suasana bertukar mesra, dan El terus bertanya, “Mama masak apa hari ni? El rindu masakan mama! Lagi satu, malam ni El stay sini.”

Dahlia tersenyum kecil. “Mama masak asam pedas ayam je hari ni. Papa balik lambat, jadi mama masak yang ringkas je. El pula, suka datang mengejut. Kalau bagitahu awal, mama boleh masak lebih sikit.”
“Sedapnya asam pedas ayam! Tak apa, ma. Itu pun dah cukup. Oh, Abang Long ada datang rumah ke?” soal El sambil tersenyum girang.
“Dia baru datang semalam, tapi tak bawa anak-anak. Sekejap je, ambil barang yang tertinggal. Dah, kamu naik atas mandi, solat Maghrib, lepas tu turun makan sekali,” arah Dahlia lembut.

Setelah membersihkan diri dan menunaikan solat, Elmyra turun ke ruang makan. Mamanya sudah sedia menanti di sana. Mereka mula menikmati makan malam bersama, suasana damai ditemani aroma asam pedas yang menggoda. Namun, ketenangan itu terhenti apabila pintu utama berbunyi, menandakan seseorang baru sahaja masuk.
Tidak lama kemudian, Raja Nadhim, papa Elmyra, melangkah ke ruang makan. Dia tersenyum melihat isteri dan anaknya menikmati hidangan bersama.

“Papa makan sekali,” pelawa Elmyra.
“Bagi papa sikit je. Papa dah makan masa meeting tadi, tapi tengok kamu makan ni, macam sedap pula,” jawab Raja Nadhim sambil duduk.
Makanan terus dinikmati dalam suasana hangat keluarga. Namun, Nadhim memecahkan kesunyian.
“El, macam mana persiapan perkahwinan kamu dengan Aidan?” soalnya dengan lembut.
“Hm, El dengan Aidan dah fitting baju sebelum dia outstation hari tu. Yang lain masih dalam proses,” jawab Elmyra santai.
“Kalau ada apa-apa yang mama boleh bantu, beritahu ya,” sampuk Dahlia.
“Tak perlu susah-susah, ma. El dah serahkan semuanya pada wedding planner,” balas Elmyra.
“Papa cuma nak pesan, jangan sampai persiapan ini memudaratkan hubungan kamu dengan Aidan. Kalau ada apa-apa, bagitahu mama atau papa,” ujar Nadhim penuh nasihat.

Dia memerhati anak perempuannya yang diam, mengerti bahawa di sebalik keteguhan sikapnya, Elmyra sering memendam perasaan. Sebagai anak yang berdikari sejak kecil, dia jarang berkongsi rasa. Namun, Raja Nadhim yakin Aidan adalah lelaki yang mampu membawa kebahagiaan untuk anaknya.

Di tempat lain, suasana bertukar jauh berbeza. Lampu kelab berkelipan, muzik membingitkan, dan manusia menari menikmati hedonisme malam. Di tengah keramaian itu, Aidan turut serta, dikelilingi beberapa wanita. Dengan tangan memegang gelas alkohol, dia menikmati malam tanpa memikirkan tunangnya, Elmyra, yang mempercayainya sedang sibuk bekerja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience