Bab 2

Other Series 211

Hujan semakin lebat, membasahi jalan raya Kuala Lumpur. Faruqi menunggang motosikal dengan perlahan. Walaupun pandangannya kabur, dia tetap berusaha mengawal motosikalnya agar tidak tergelincir. Dalam masa yang sama, Aidan dan Elmyra baru selesai makan malam selepas selesainya acara peragaaan.

Kereta Audi RS 5 milik Aidan meluncur laju menembusi hujan. Di pertengahan perjalanan, tayar kereta itu memercikkan air dari lopak besar ke arah seorang penunggang motosikal. Faruqi pada ketika itu yang tidak sempat mengelak. Dirusan air tersebut membuatkan Faruqi hilang kawalan, lalu terjatuh bersama motosikalnya.

Melalui cermin sisi, Elmyra melihat kejadian itu. "Sayang! Berhenti kereta. Lelaki yang bawa motor tu jatuh!" katanya cemas.

"Biarlah, sayang. I bukan langgar dia pun. Dia terkena lopak air. Biasalah hujan-hujan ni," jawab Aidan sambil meneruskan pemanduannya.

Elmyra memandang Aidan dengan wajah dingin. "Aidan! Patah balik sekarang! I nak tengok keadaan dia. NOW!" suara Elmyra meninggi.

Aidan mengeluh panjang, tetapi akur. Dia membuat pusingan semula walaupun hatinya membara. Dalam diam, dia mengomel, "Perempuan ni, kalau esok-esok jadi isteri aku, siaplah! Sekarang sebab belum jadi bini, aku ikutkan. Bodoh!"

Sementara itu, Faruqi yang terjatuh cuba bangunkan diri walaupun lutut dan tapak tangannya terluka. Mujur kecederaannya tidak teruk, dan motosikalnya hanya calar di sisi. Ketika dia berusaha berdiri, cahaya lampu kereta meneranginya dari arah belakangnya. Kelihatan seorang wanita anggun berlari ke arahnya.

"Ya Allah. Awak okay tak? Maaf, tunang saya betul-betul tak perasan ada lopak air tadi. Saya hantarkan awak ke hospital ya," kata Elmyra dengan nada cemas. Dalam masa yang sama dia membantu Faruqi untuk bangun. Nak harapkan Aidan, tidaklah gamaknya.

Faruqi memandang wajah wanita itu, yang kelihatan benar-benar risau. Cantiknya. Kata dalam hati. "Eh Cik, saya okay. Motor pun okay. Sikit je ni," balas Faruqi, cuba menenangkan keadaan.

"Betul ke ni awak okay? Ada luka-luka tu. Seriously. Saya betul-betul minta maaf," kata Elmyra lagi, masih tidak puas hati.

"Ya, saya okay. Terima kasih," ujar Faruqi ringkas.

Tiba-tiba, suara Aidan menyampuk, "Kan I cakap dia okay. Luka sikit je tu. Orang yang biasa bawa motor memang dah biasa jatuh macam ni. U je yang over. Risau terlebih."

Faruqi memandang Aidan dengan tajam. Kata-kata lelaki itu benar-benar menyakitkan hati. Sudahlah tidak memohon maaf, ikutkan boleh saja dia bertindak balas. Faruqi memilih untuk bersabar dan diam. Dia tahu, bertindak balas hanya akan merumitkan keadaan.

Sebaliknya, Elmyra memandang tunangnya dengan pandangan penuh kecewa. "U memang selfish, Aidan." Kemudian dia berpaling semula ke arah Faruqi. "Encik, hati-hati ya bawa motor. Kami gerak dulu". Walaupun dia dilahirkan dengan kehidupan yang sempurna tetapi dia bukanlah perempuan yang pentingkan diri sendiri. Dia masih ada sifat kemanusian dan tanggungjawab.

Faruqi mengangguk kecil dan tersenyum hambar. Elmyra dan Aidan berjalan kembali ke kereta bersama, meninggalkan Faruqi sendirian di situ.

Faruqi memandang ke langit yang masih kelam. "Nasib kau lah, Qi. Tak baik hari ni. Harap esok lebih baik. Amin," bisiknya perlahan.

Setibanya di kondominium Elmyra, dia terus masuk ke rumah dan menghempas pintu kereta dengan perasaan geram. Sepanjang perjalanan pulang tadi, tiada sepatah kata pun keluar dari mulutnya. Sikap Aidan yang acuh tak acuh benar-benar membuatkan dia kecewa.

Aidan hanya mengangkat bahu, tidak mempedulikan tingkah Elmyra. Baginya, tidak perlu dia merendahkan ego untuk memohon maaf, lebih-lebih lagi apabila dia menganggap dirinya tidak bersalah.

"Lantaklah! Apa-apa pun, cari hiburan lagi baik," gumam Aidan, meninggalkan kediaman Elmyra tanpa memujuk. Hiburan adalah caranya menghiburkan diri dari tekanan, tanpa memikirkan siapa yang telah dia sakiti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience