BAB 1

Romance Completed 14381

Ku takut sungguh takut..
Takut kehilanganmu…
Jangan pernah kau pergi…
Pergi meninggalkanku…

Suhana segera mematikan radio yang syahdu mendendangkan bait lagu ‘takut kehilanganmu’. Mata yang sedikit berair dikesatnya. Daripada berbaring, duduk ditegakkan. Bersandar di kepala katil.

Sesak terasa dadanya disaat ini. Mendengarkan lagu itu seakan telah memutarkan kembali kenangannya selama empat tahun yang lalu. Kenangan yang dibina sedari bangku sekolah lagi.

“ Am memang ramai peminat. Tapi dalam ramai-ramai tu, hanya seorang saja yang Am minat. Hana lah orangnya.”
Ceria suara Amsyar menuturkan kata-kata itu. Manis senyumnya, merenung tepat ke wajah insan yang telah mencuri tumpuannya.

Suhana tersenyum simpul. Hanya mampu menunduk bagi menyembunyikan rasa malu.

“ Datanglah seberapa banyak perempuan sekali pun. Semua tu tak akan mungkin sama dengan Hana. Mata Am, kekal pada Hana.”

Cehh! Dasar lelaki. Mengayat memang nombor satu. Namun, bagi Suhana semua itu memang jujur dan ikhlas dari lubuk hati Amsyar. Bahagia benar dia melayan perasaan yang terbang di awang-awangan. Terbuai sungguh dia dengan kata-kata manis yang meniti dari bibir sang lelaki.

Sayangnya, perasaan itu semakin lama semakin memberat di dalam jiwa. Sehinggakan dia menjadi buta kerana cinta.
Setelah empat tahun usia perhubungan mereka, barulah semuanya terang dan nyata. Amsyar bukan bermulut manis dengan dirinya sahaja. Rupa-rupanya banyak perempuan yang mendapat layanan istimewa daripadanya.

“ Jadi selama ini Am tipu Hana? Am sebenarnya tak serius pun kan dengan Hana?”

Nafas Suhana turun naik. Tinggi suaranya menuntut Amsyar berlaku jujur dengannya. Selama ini puas dia bersabar. Layanan Amsyar yang semakin lama semakin kurang mesra membuatkan dia curiga. Ternyata, Amsyar sudah punya yang kedua. Atau mungkin yang ketiga, atau pun yang seterusnya. Dia juga tidak tahu.

“ Apa Hana cakap ni? Am tak serius? Kalau Am tak serius, kenapa Am perlu buang masa untuk stay di sisi Hana dalam tempoh empat tahun ni?”

Wajah Amsyar nampak tertekan. Puas dia cuba menyembunyikan, tetapi tidak sangka semuanya hancur berantakan. Rahsia yang disimpan telah terbentang di hadapan mata Suhana. Suhana telah tahu tentang kecurangannya.

“ Sudahlah Am! Mata Hana tak akan menipu tuannya. Hebatkan Am, boleh layan banyak perempuan dalam satu masa.
Patutlah Am sekarang dah tak banyak masa. Kononnya busy dengan assignment. Bekerja keras betul Am nampaknya. Maklumlah assignment memikat hati kan? Tak sangka, cantik betul assignment Am.”

Suhana ketawa sinis dihujung ayatnya. Sengaja dia memerli lelaki itu. Tetapi dia yakin perliannya itu tidaklah seberapa jika mahu dibandingkan dengan perlakuan lelaki itu dibelakangnya.

Jika mahu diikutkan, hatinya ini lagilah pedih. Pedih kerana dipermainkan secara halus oleh sang kekasih. Sia-sia rupanya kepercayaan yang diberi kepada Amsyar. Nyata Amsyar langsung tidak menghargainya.

“ Hana jangan merepek boleh tak! Am tak pernah curang. Ke sebenarnya Hana yang curang? Hana sengaja kan nak meletakkan kesalahan tu pada Am?”

Suhana terpempan. Sungguhlah lelaki ini jenis orang yang tidak layak untuk angkat sebagai suami. Dia yang melakukan kesalahan, alik-alik kita pula yang dituduhnya.

Apa dia ingat aku ini buta? Tak nampak yang dia dok berkepit dengan minah freehair dekat shopping mall semalam tu? Sepatutnya aku percaya kata-kata Mimi sedari dulu. Am ini buaya darat yang perasan laku! Hish, geramnya! Hati Suhana sudah mengamuk sakan.

“ Hana tak salah, Am. Jadi Hana tak risau apa-apa. Susahkan Am, nak mengaku salah? Kalau Am dah tak sayang, Hana terima semuanya Am. Am pun bolehlah nak jumpa si buah hati tanpa rasa takut-takut lagi.”

Walaupun wajah Suhana nampak tenang dalam melantunkan bicara itu, tetapi percayalah dalam hatinya dia sedang menangis kini. Pengundurannya daripada perhubungan ini ibarat telah merentapkan hatinya sendiri.

Kedengaran Amsyar tertawa sinis. Semudah itu rupanya gadis ini mengundur diri. Membuang masa sahaja dia menafikan segalanya jika pada akhirnya gadis ini tetap tidak mahu percaya. Lebih baik dia mengaku sahaja sedari tadi. Lagi pun, hatinya memang sudah tiada buat gadis ini. Hana terlalu baik buatnya. Itu tak boleh, ini tak boleh. Kaku! Bosan!

“ Kalau Hana dah rela hati, Am dengan berbesar hati terima semua ni. Menyesal pula rasanya sebab terikat dengan Hana selama ni. Lebih baik Am cari saja perempuan yang faham jiwa Am.”

Tatkala lelaki itu meluncurkan kata-kata itu dengan bersahajanya, Suhana di depan sudah makan hati dibuatnya. Sudah terang lagi bersuluh. Lelaki ini memang tidak layak buat dirinya. Menyesalnya kerana telah terlanjur mencinta. Akhirnya dia jadi takut untuk kehilangannya.

Sebaik ingatannya tiba ke dunia nyata, Suhana tersenyum sendiri. Tersenyum kerana mengenangkan kebodohannya dalam mengingatkan lelaki yang sudah lima bulan dibuangkan jauh dari hati.

Sudahlah! Cukuplah! Lelaki seperti Amsyar memang tidak layak untuk dirindukan. Apatah lagi mahu ditangiskan. Kau sepatutnya bersyukur Hana sebab terlepas daripada penipuannya. Dalam hati, Suhana cuba menggagahkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience