BAB 2

Family Completed 668

Suatu hari saya ke pekan berhampiran. Saya mahu membeli barang-barang
keperluan rumah. Saya sendirian sahaja. Tiada sesiapa yang menemani.
Saya masuk sebuah pasar mini. Pasar Mini Indah, namanya. Saya mundar
mandir di dalam pasar mini itu sambil berfikir tentang barang yang patut
dibeli.

Tiba-tiba kekecohan berlaku. Saya mendengar seseorang menjerit. “Orang
gila ini nak kena betul,” Kemudian wanita itu mencarut-carut. Saya ingin
ambil tahu. Menjenguk sedikit ke luar pasar mini. Daripada kejauhan saya
lihat seorang wanita tua yang berpakaian compang camping berjalan laju
penuh ketakutan. Rambut wanita itu menggerbang. Wajahnya saya tidak
dapat lihat dengan jelas.

“Apa yang berlaku?” tanya saya kepada wanita yang menjerit dan mencarut itu.

“Orang gila nak mencuri,” kata wanita itu sambil melayan seorang lelaki
yang membuat pembayaran.

Saya meletakkan bakul yang terisi barang-barang di tepi wanita itu. Saya
ingin membayar. “Dia curi apa?”

“Itu,” Wanita itu menjuihkan mulutnya menunjuk ke luar pasar mininya.
Saya pandang. Cuma ada beberapa biji kepala, sayur-sayuran, jantung
pisang, dan juga beberapa keping petai.

“Dia curi petai?” soal saya.

“Bukan. Dia curi jantung pisang tu,” wanita itu yang saya agak pemilik
pasar mini itu mula mengira barangan yang saya beli.

“Pelik,” tutur saya. Jarang orang mencuri jantung pisang.

“Memang pelik. Setiap hari dia akan mundar-mandir di sini. Kalau saya
leka, habis jantung pisang saya diambilnya. Kadang-kadang kerisik saya
juga dicurinya..,” bebel wanita itu.

“Jantung pisang dan kerisik?” saya tertanya-tanya dan merasa ganjil.

“Semuanya 42 ringgit,”

Saya yang berkhayal tersedar. “Err... maafkan saya,” Saya bayar harga
barangan tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience