BAB 2

Romance Series 7643

ZAHRA, Hantar dekat meja
dua."

Seperti lipas kudung Zahra Auliya ke sana dan ke sini melayan pelanggan pada waktu tengah hari. Disebabkan ada beberapa orang pekerja yang cuti, maka keadaan restaurant pada tika ini agak kalut dan sibuk.

Satu dulang yang penuh dengan beberapa gelas air diangkat dengan berhati-hati. Kemudian dibawa ke arah meja 2 seperti yang diarahkan Kak Yasmin iaitu si tukang masak.

Beberapa gelas air tersebut dihidangkan di atas meja panjang yang padanya menempatkan beberapa orang lelaki dan perempuan. Dari cara berpakaian, kemungkinan mereka juga pelajar universiti sepertinya. Restaurant Selera Kampung ini hanya berjarak beberapa kilometer dengan universiti. Jadi  semasa tiba waktu tengah hari, kebanyakan pelajar akan makan di sini.

"Nak tambah air kosong satu dengan sudu dua." Pinta salah seorang perempuan yang berambut panjang. Akur dengan arahan itu, Zahra tergesa-gesa berlari ke dapur untuk mendapatkan pesanan seperti yang diarahkan pelanggan.

Tidak sampai seminit kemudian, dia sudah kembali dengan segelas air putih dan sudu. "Ini air kosong dan sudu." Hulurannya disambut oleh seorang lelaki di situ.

"Eh, kau Zahra eh?"

Spontan kepala mengangguk laju apabila namanya diseru. Perempuan yang bertanya itu dipandang. Tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba sahaja perempuan itu ketawa mengekek.

?

"Kalau korang nak tahu, inilah Zahra Auliya yang hot sangat tu." Katanya usai ketawa mereda. Jari ditunding tepat ke arah Zahra yang mengenakan apron merah di tubuhnya.

"Ni ke perempuan tu? Takde lah lawa mana pun." Pedas sindiran seorang lagi perempuan yang mengenakan t-shirt putih.

"'Berlagak gila. Padahal jadi pelayan je."

"Pembetulan, keturunan 'pelayan'."

"Dengar cerita kakak kau 'pelacur' eh? Itu sebablah kau kena kerja dekat sini sebab nak tanggung keluarga kau." Bisik seorang lelaki yang berada berdekatan dengannya. Dia merenung Zahra penuh minat.

Dulang yang berada di dalam pelukan, digenggam kuat. Bibirnya mengukir senyuman 'manis'. Bergetar bebola matanya memandang satu persatu manusia yang berada di meja itu. Dia tidak tahu bagaimana perkara ini dihebohkan. Namun sehina-hinanya di mata orang, dia mencari duit halal. Tidak menyusahkan mana-mana pihak.

"Saya terharu sebab korang ambil berat tentang saya. Oh ye, sekurang-kurangnya saya tak menghabiskan duit ibu bapa yang penat lelah bekerja dekat luar sana.  Maaf ye, saya masih ada banyak kerja." Usai berkata, pantas Zahra beredar pergi. Nafas ditarik dalam bagi menenangkan dirinya. Ya, aku mengaku. Semua yang dikatakan pelajar-pelajar itu betul belaka. Kakaknya seorang pelacur. Walaupun sudah ditegah oleh mak dan abah, tetapi kakaknya tidak pernah ambil kisah kerana tersangkut dengan kontrak. Jadi, dia perlu bekerja demi mendapatkan wang secukupnya untuk menebus kembali kakaknya.

Dia tahu, mak dan abah risaukan kakaknya. Sentiasa bimbang dengan keadaan kakaknya. Kerana tidak sanggup melihat kedua orang tuanya sedih, janji telah dibuat. Satu hari nanti, kakaknya akan dikeluarkan dari tempat syaitan itu.

"Zahra, kemaskan meja 15." Bayangan keluarga di kampung hilang serta merta. Semasa mahu menuju ke meja 15, matanya menangkap seorang kanak-kanak yang terkial-kial mahu membasuh tangan di sinki. Tanpa memikir lebih lanjut, langkahnya diatur menghampiri sinki.

"Adik..." Sapa Zahra seraya bercangkung di sebelah kanak-kanak yang mengenakan pakaian seragam sekolah. Tinggi kanak-kanak itu kira-kira paras pehanya. Badannya tidak besar dan tidak pula kurus. Mukanya putih dan bersih persis anak orang cina. Rambutnya jatuh menutupi dahi. Bulu mata yang melentik, mata sedikit bulat, hidung dan mulut yang comel.

Pipi gebu milik kanak-kanak itu membuatkan kecomelan kanak-kanak itu semakin menyerlah.

"Nak basuh tangan ke? Biar kakak tolong," Sambungnya lagi apabila kanak-kanak itu hanya mendiamkan diri dan membiarkan sapaannya tidak dibalas.

Kanak-kanak itu kelihatan sedikit menggeletar. Dia mengundur beberapa tapak ke belakang dengan raut wajah yang berubah cuak. Tangan Zahra yang mahu menyentuh kepalanya ditepis kasar.

"Janganlah takut. Kakak makan nasi, tak makan orang." Seloroh Zahra seraya ketawa kecil. Sekadar mahu menghilangkan ketakutan yang menerpa kanak-kanak itu. Bibirnya mengukir senyuman manis sementara otak ligat mencari ayat yang sesuai untuk digunakan.

'Aduh!'

Suara seseorang mengalihkan perhatiannya. Spontan kepala terhala ke arah hadapan. Begitu juga kanak-kanak itu yang sudahpun memalingkan badan ke arah belakang.

"Apa ni budak! Kan dah kotor kasut aku." Rungut perempuan itu sambil menepuk kasar kasut kulit putih yang dipakainya. Mukanya masam mencuka dengan mulut yang sudah muncung sedepa.

Zahra mencebik perlahan. Perempuan itu adalah salah seorang pelajar-pelajar yang menghina dan menyindirnya sebentar tadi.

Ingat comellah tu buat mulut muncung macam tu dengan bibir yang merah terang. Sudah serupa muncung itik.

Kuekkk! Kuekkk! Kuekkk! Kuekkk!

"Benda kecil pun nak di perbesarkan." Omel Zahra perlahan.

"Eii perempuan! Kau cakap apa? Ulang lagi sekali." Tajam perempuan itu mencerlung ke arah Zahra. Dia bertambah panas apabila Zahra menayangkan muka tidak bersalah.

"Saya cakap budak ni commmel sangat." Ujar Zahra dengan senyuman melebar. Pipi gebu kanak-kanak itu dicuitnya. Lantas kanak-kanak itu melarikan diri di belakang perempuan menyinga itu bagi mengelakkan dirinya daripada disentuh Zahra.

"Kau pun satu budak. Jangan nak main dekat keliling aku boleh tak! Sudahlah pijak kasut aku. Ini nak menyorok pulak belakang aku. Pergi cari mama kau lah kalau nak main sorok-sorok." Sembur perempuan itu garang. Baju sekolah yang dikenakan kanak-kanak itu ditarik lalu badan kecil kanak-kanak itu fitolak ke tepi.

Terus Zahra menyambut badan kanak-kanak itu daripada tersembam ke lantai. Melihat air muka kanak-kanak itu yang berubah ketakutan dan mula sebek mahu menangis, dia menariknya ke dalam pelukan. Bimbang jika perempuan yang tiada adab itu semakin menggila dan bertindak di luar kawalan.

"Adik, adik jangan takut okey. Ada kakak dekat sini." Pujuk Zahra lembut sambil mengusap-usap belakang badan kanak-kanak itu. Esak tangisan mula kedengaran.

"Acah baik lah kau ni." Perli perempuan itu sambil memercikkan air yang bersisa di tangannya ke arah Zahra. Kemudian dia segera mengangkat kaki meninggalkan Zahra dan kanak-kanak itu. Masalah pada hari ini dia tidak akan perhitungkan memandangkan restaurant tika ini dipenuhi dengan pelanggan. Tidak apa. Bukan hari ini hari terakhir melihat Zahra, esok masih ada.

"Shh... Jangan nangis okey. Mak cik singa tu dah pergi." Pelukan dileraikan. Ibu jarinya digunakan untuk mengesat air mata kanak-kanak itu yang mengalir laju di pipi. Sapu tangan dikeluarkan dari poket apron lalu digunakan untuk mengelap sekitar dahi kanak-kanak itu. Menghilang air basuhan tangan perempuan itu yang dipercik sebentar tadi.

Bakteria.

Apabila tangisan kanak-kanak itu sudah reda, nafas lega dihela. "Nama adik apa?"

Bahagian poket yang tertera tanda nama ditunjuk jari kecil itu. Dia masih tersedu-sedan dengan wajah yang memerah.

"Asyaar Lutfan... Sedapnya nama. Kakak panggil Asyaar lah ni."

"Mak ayah adik mana? Kakak hantar  adik dekat diorang ye."

Tangan kanak-kanak itu menunjuk ke arah bahagian kiri. Ruangan untuk pelanggan yang mahukan privasi.

Belum sempat soalan diajukan, kanak-kanak yang bernama Asyaar itu sudah berlari menuju ke arah kiri memasuki ruangan berdinding kayu itu.

Ada jodoh jumpa lagi.

TIDAK senang duduk jadinya apabila kelibat si anak masih tidak kelihatan. Kata Asyaar dia mahu ke tandas. Sudah dipesan supaya tidak keluar daripada ruangan ini kerana di luar sana dipenuhi orang ramai. Bimbang jika anaknya terjebak dengan masalah. Aish, tak boleh jadi.

"Aku nak tengok anak aku jap."

Baru sahaja Megat mahu melangkah keluar dari ruangan itu, kakinya dipeluk kejap seseorang. Pandangannya menjunam ke bawah memandang wajah Asyaar yang sedikit sembab.

"Kenapa ni? Asyaar dari mana?" Tubuh kecil Asyaar didukung. Dia meninjau di sekeliling tempat itu. Tidak pula ramai seperti di luar. Tetapi mengapa pula wajah anaknya kelihatan seperti baru menangis?

Megat kembali memasuki ruangan yang ditempah Aiman. Tubuh Asyaar didudukkan dengan berhati-hati di atas sofa yang terdapat di situ.

"Asyaar pergi mana?" Soal Aiman pula sambil menyisip minumannya. Dia melirik sekilas ke arah Asyaar kemudian memandang wajah Megat, menantikan jawapan.

Megat hanya menggeleng. Dia juga tidak tahu apa yang mengundang kesedihan anaknya. Kepalanya sedikit ke tepi,  menjenguk wajah muram Asyaar. Kepala anaknya digosok-gosok.

"Kenapa ni Asyaar? Bagi tahu papa. Asyaar pergi mana tadi?" Megat masih mencuba mengorek masalah yang disorokkan anaknya. Dia pasti ada  sesuatu yang terjadi. Jika tidak masakan mood anaknya boleh bertukar sekelip mata.

"Mama..." Katanya dengan muka sebek.  Tubir mata kembali bergenang mengingatkan 'mama' yang meninggalkan mereka. Asyaar mahukan mama. Rindukan pelukan mama, rindukan senyuman mama, rindukan... Semuanya tentang mama.

Megat dan Aiman berpandangan sesama sendiri. Tidak usah bertanya dengan lebih lanjut, Megat sendiri sudah faham dengan maksud disebalik perkataan 'mama' yang disebut anaknya.

Pasti ada seseorang yang bangkitkan soal 'mama' kepada Asyaar sehingga terpacu kesedihan pada anak bujangnya.

Asyaar hilang di dalam pelukan Megat. Dia turut dirundung pilu mengingatkan 'Sarah' bekas isterinya yang sudah meninggalkan dia dan Asyaar.

Perkahwinan mereka atas dasar suka sama suka. Dia berkahwin pada umur 20 ketika itu. Manakala Sarah berumur 19 tahun. Perkahwinan mereka tidak dihebohkan dan hanya beberapa orang terdekat sahaja yang mengetahui. Setahun kemudian, mereka menerima khabar gembira bahawa mereka bakal menerima cahaya mata. Iaitu Asyaar. Sarah tidak dapat terima kenyataan bahawa dia telah mengandung memandangkan dia adalah model di satu syarikat besar. Kontraknya masih panjang bersama syarikat itu. Dia risau reputasinya akan terjejas jika ada yang mengetahui bahawa dia sedang mengandung dan bakal mempunyai anak.

Bagaimanakah mahu menjelaskan pada syarikat tentang anak yang dikandungnya. Bagaimanakah dia mahu mengatur anak yang masih kecil di usia muda ini? Semua persoalan itu sentiasa mengasak fikirannya dan mendorong si isteri untuk menggugurkan kandungan.

Nasib sahaja pada ketika itu Sarah terpujuk dengan kata-kata Megat. Dia tidak jadi menggugurkan kandungan. 3 bulan kemudian, dia meminta cuti dari syarikatnya memandangkan perut wanita itu mula membesar dan menampakkan bentuk.

Setelah itu lahirlah Asyaar Luthfan. Difikirkan setelah lahir si kecil, Sarah akan lebih berlapang dada. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Wanita itu semakin beremosi. Dia stress kerana perlu menjaga anak kecil di usia muda, stress kerana waktunya terganggu, stress kerana diceramahi Megat, stres kerana itu kerana ini. Kemuncaknya, Sarah diberikan surat amaran kerana prestasinya merosot akhir-akhir ini. Wanita itu sudah tidak dapat menanggung semua ini dan akhirnya dia meminta cerai dan memutuskan hubungan.

Semua kesalahan Sarah letakkan pada si suami disebabkan lelaki itu menghalang dia menggugurkan kandungan, maka semuanya menjadi kacau. Hak penjagaan anak juga telah diserahkan sepenuhnya kepada Megat. Pada waktu itu juga, Asyaar baru sahaja menginjak usia setahun 3 bulan. Sejak mereka berdua bercerai, tidak pernah sekali pun wanita itu menelefon mahu bertanyakan soal Asyaar. Malahan, Megat sendiri tidak dapat menghubungi Sarah.

Mungkin salah mereka kerana terlalu ikutkan nafsu dan berkahwin tanpa merancang terlebih dahulu. Bagi Megat sendiri, semua perkara itu sudah lepas dan patut dijadikan pengajaran. Masa tidak boleh diundur dan hidup perlu diteruskan. Dia sudah berjanji pada dirinya untuk menjaga dan membesarkan Asyaar Luthfan sebaik-baiknya. Baginya nyawa anaknya lebih berharga daripada nyawa dia sendiri. Hadiah yang diberikan Sang Pencipta adalah sangat berharga dan bernilai.

"Asyaar, Papa akan ada selalu dengan Asyaar... Sekarang kita makan okey. Kejap lagi, uncle Aiman nak bawa pergi playground. Nak pergi tak?" Megat menukar topik perbualan. Sengaja dia memancing anak lelakinya dengan perkataan 'playground'. Juga mengaitkan nama Aiman. Kau nak ikut aku sangat kan.

Aiman terkebil-kebil. Aku tak salah dengar ke tadi? Uncle Aiman nak bawa pergi playground?  Playground tu tak bermasalah. Yang masalahnya 'Uncle Aiman?'

Hello! Ini abang Aiman lah. Mai mana  pulak uncle Aiman.

"Ye Asyaar... Kejap lagi 'abang' Aiman nak bawak pergi playground. Eee... Best nya. Ada baaaaaaaa...nyakk kawan." Aiman berkata dengan teruja. Tangannya didepakan menunjukkan perkataan banyak. Sengaja juga dia menekan perkataan 'abang.'

Tiba-tiba sahaja sebuah bantal kecil melayang laju, tepat mengenai muka Aiman tanpa sempat lelaki itu mengelak.

"Woi... Hancur muka handsome aku!" Bentak Aiman tidak puas hati. Kurang asam Megat. Aku bagi kau dekat mak nyah mak nyah hujung lorong satgi kot!

"Dah tua tak sedar diri. Kau tu bukannya abang."

Aiman mencebik bibir. Dia memandang Asyaar yang terkebil-kebil. Tidak faham mungkin apa yang membuatkan  dua manusia ini bertekak. Tangannya diletakkan di atas kepala Asyaar. Namun ditepis Megat.

Hish, kedekut. Aku nak pegang anak dia sikit pun tak boleh.

"Asyaar... Ini 'abang' Aiman ke, atau Uncle Aiman?" Jari ditunding ke arah diri sendiri. Dia tersenyum kemenangan. Sudah tahu jawapan apa yang bakal diberikan oleh si kecil itu. Mesti lah abang Aiman. Muka manyakkk handsome, muda macam ni, ada pulak panggil uncle... Jatuh saham.

"Abang Aiman atau Uncle Aiman?"

"Uncle Aiman,”

"HAHAHA!”

'PAPA bagi dekat kakak comel yang pakai tudung bunga-bunga tu tau.'

Pesanan si anak berlegar-legar di kepala. Kakak pakai tudung bunga-bunga? Kenapa orang yang dimaksudkan Asyaar tidak kelihatan. Satu hal pula dia perlu mencari seorang 'kakak' yang membantu anaknya sebentar tadi, untuk memulangkan sapu tangan milik gadis itu. 

Mahu bertanya, tidak tahu bagaimana mahu mengatakan dengan lebih terperinci. Ramai perempuan yang mengenakan tudung berbunga. Pelanggan mahupun pekerja di situ. Asyaar juga tidak menerangkan dengan jelas tentang pemilik sapu tangan ini. Hanya mengatakan 'kakak comel tudung bunga-bunga'

Tidak mungkinlah dia mahu menggambarkan gadis itu dengan perkataan 'gadis comel tudung bunga-bunga'. Tak fasal-fasal dia dituduh lelaki gatal.

Hampir 5 minit berlegar-legar di sekitar restaurant itu, akhirnya dia mengalah. Kalau cari sampai esok pun belum tentu akan jumpa. Tidak mahu membazir masa, dia meninggalkan restaurant itu. Esok-esoklah dia datang semula untuk mencari si pemilik sapu tangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience