BAB 6

Romance Series 7643

SAYUP-SAYUP kedengaran suara tangisan daripada tingkat atas. Bunyi yang sama semasa hari pertama bekerja dalam rumah agam ini. Melalui ekor mata, kelihatan Puan Suraya memanjat anak tangga dengan muka yang bengis.

Seketika kemudian, tiada suara tangisan yang kedengaran lagi. Cepat-cepat dia menyambung mengemop lantai saat Puan Suraya sudah berada di anak tangga.

“Zahra!”

Berlari-lari Zahra menghampiri Puan Suraya. Dia melihat wajah serius wanita itu sekilas sebelum menekur memandang lantai.

“Aku nak keluar sekejap. Kau jaga rumah dan siapkan kerja sebelum aku balik.”

“Ba-baik Puan.”

Setelah kelibat Puan Suraya hilang daripada pandangan, barulah Zahra berani mengangkat kepalanya. Batang mop kembali dicapai.

Sedang dia mengemop lantai, baru dia teringat akan kehadiran orang lain di dalam rumah besar ini. Pandangannya terhala pada tingkat dua, tempat dilarang untuknya menjejakkan kaki ke situ.

Walaupun sudah hampir 2 hari bekerja di sini, namun hanya Puan Suraya menunjukkan diri. Jika hanya Puan Suraya sahaja yang wujud di rumah besar ini, dari manakah datang bunyi tangisan yang hampir saban hari kedengaran.

Mop dimasukkan ke dalam baldi. Pintu dapur yang tertutup rapat direnung lama. Apabila tiada tanda-tanda Puan Suraya akan pulang, perlahan-lahan kaki memijak anak tangga menuju ke tingkat dua.

Kali pertama jejakkan kaki ke tingkat dua, apa yang boleh dikatakan adalah sangat cantik meskipun menggunakan dekorasi yang simple.

Ralik dia meninjau di sekitar tingkat dua, bunyi esak tangisan kedengaran lagi. Walaupun perlahan namun masih jelas. Langkah diatur mengikut bunyi itu sehinggalah tiba di hadapan sebuah bilik. Telinga dilekapkan pada pintu.

Pasti bahawa itu adalah bunyi tangisan seorang kanak-kanak, pintu bilik diketuk.

'Tok!’

'Tok!’

'Tok!’

Serta merta bunyi tangisan itu menghilang. Sekali sekala dia akan meninjau ke bawah bagi memastikan kepulangan Puan Suraya. Lalu tombol pintu dipulas.

Tidak berkunci!

Kepalanya terjengul terlebih dahulu sebelum badannya diboloskan ke dalam bilik berwarna biru itu.

Matanya dihidangkan dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Kaki bagai digam di atas lantai. Mulut terkunci rapat.

Adakah dia benar-benar bekerja di tempat yang betul? Bagaimana pulak boleh wujud seorang kanak-kanak persis seperti mangsa dera. Sekujur tubuh itu meringkuk di atas katil sambil diikat kedua tangannya ke belakang. Mulutnya pula disumbat dengan kain. Bahu kanak-kanak itu terhenjut-henjut dek tangisan yang masih berlagu.

“A-adik?”

Satu perkataan yang meluncur dari mulut membawa seribu persoalan pada kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu kelihatan terkejut dengan kehadirannya.
Satu tapak melangkah ke hadapan, terus kanak-kanak itu mengesot ke belakang.

Zahra duduk di birai katil. Wajah ketakutan kanak-kanak itu mengundang sebak. Matanya berkaca tanpa dipinta.

Kain yang disumbat dalam mulut kanak-kanak itu ditarik keluar. Tali yang diikat pada pergelangan tangan kanak-kanak itu juga dilepaskan.

“Adik, ke-kenapa boleh jadi macam ni sekali?” Soalnya dengan suara yang menggeletar. Masih tidak percaya apaa yang terjadi saat ini. Kepala kanak-kanak itu dipegang, namun ditepis kasar. Kanak-kanak itu memeluk lutut dan menghamburkan tangisan.

Bayangan Arif bermain-main di kepala. Situasi yang sama beberapa tahun lepas semasa Arif menangis kerana dimarahi abah.

Badan kanak-kanak itu ditarik ke dalam pelukan. Kanak-kanak itu meronta hebat dan memukul-mukul badannya, meminta dilepaskan.

Zahra tidak menghiraukan rontaan itu. Belakang badan kanak-kanak itu diusap lembut mengharapkan kanak-kanak itu akan lebih tenang. Dia tidak tahu apa yang dihadapi kanak-kanak itu, namun firasatnya yakin bahawa semua ini berkaitan dengan Puan Suraya.

Semakin lama rontaan itu semakin melemah. Akhirnya pelukan dilepaskan. Pipi gebu kanak-kanak itu yang basah dengan air mata, dikesat lembut menggunakan jari.

“Adik... Adik cerita dekat kakak, siapa buat adik macam ni?” Soalnya penuh hiba.

Jeda. Tiada balasan daripada kanak-kanak itu.

“Kakak... Nama kakak, Zahra. Adik boleh panggil kakak Ara. Jangan risau, kakak Ara nak tolong adik, takkan sakitkan adik.”

“Okay, macam ini. Adik tak perlu jawab soalan kakak, adik cuma perlu angguk atau geleng...”

Kali ini kanak-kanak itu bertentangan mata dengannya. Jelas mata kanak-kanak itu mula membengkak dan hidungnya memerah. Mungkin kerana tangisan yang tidak berhenti dari tadi.

“Adik kena kurung dekat sini sebab... Puan Suraya?”

“Maksud kakak, seorang perempuan yang bertahi lalat... di atas kening?”

Lambat-lambat kanak-kanak itu mengangguk.

“Dia ada pukul adik tak? Biar kakak tengok.” Badan kanak-kanak itu dibelek-belek. Lafaz lega dihela saat tiada kesan berbirat atau pukulan pada badan kanak-kanak itu.

“Mana mak a adik? Mak adik tahu tak?"

Kanak-kanak itu menggeleng.

“Kerja?”

Kanak-kanak itu menggeleng lagi. Empangan matanya pecah untuk sekian kalinya.

“Kakak-- kakak minta maaf,”

‘Zahra! Zahra!’

Matanya membuntang luas mendengar jeritan itu.

Puan Suraya!

PINTU BILIK Asyaar dikuak. Bagai mata helang Puan Suraya memerhati ke dalam bilik itu. Lantas dia menghampiri katil. Kain yang disumbatkan di dalam mulut kanak-kanak itu dikeluarkan.

“Ada orang lain datang sini tak?” Soalnya garang. Laju Asyaar menggeleng.

“Sudah, tak payah nak teriak sangat. Papa kau balik awal pulak hari ini... Ingat eh, kalau kau ada mengadu apa-apa dekat papa kau, aku akan pastikan kau lebih tersiksa dari hari ini. Kau tahu kan, aku boleh buat apa-apa saja yang aku nak.”

Ugutan Puan Suraya membuatkan Asyaar mengangguk akur. Tidak berani dia mahu menatap wajah bengis wanita itu.

“Dah, pergi mandi.”

Setelah kelibat Puan Suraya menghilang dari bilik itu, Zahra yang menyorok di sebalik kabinet melangkah ke arah katil. Sempat mesej dihantar pada Puan Suraya mengatakan bahawa dia sudah pulang terlebih dahulu kerana perlu menghadiri kelas. Nasiblah kasut yang dipakainya disusun di bawah rak kasut, mungkin tidak akan kelihatan.

Kanak-kanak yang dipanggil Asyaar itu dipandang dengan senyuman tipis.
Entah mengapa dia seakan-akan pernah bertemu dengan kanak-kanak itu sebelum ini.  Nama Asyaar juga terdengar tidak asing lagi.

Asyaar?

“Nama adik Asyaar? A-Asyaar Lutfhan?” Sebaris nama itu meluncur dari bibirnya tanpa sedar. Apabila kanak-kanak itu mengangguk, lantas badan kecil kanak-kanak itu dipeluknya. Kanak-kanak itu adalah orang yang sama dijumpainya di restaurant seminggu yang lepas.

“Adik, adik kenal kakak tak? Adik ada jumpa kakak dekat restaurant hari tu.”

Laju Asyaar mengangguk. Mana mungkin dia lupa dengan figura yang sudah menolongnya. Dia sudah mengenali gadis itu sejak melihat wajah cantik kakak Ara.

“Wah, terharunya kakak.”

Zahra tersentak saat pipinya dicium Asyaar. Lantas kepala kanak-kanak itu diusap lembut. “Oh, pandai sweet rupanya. Sekarang kakak kena balik. Tak boleh duduk lama-lama di sini."

Pantas tangan Zahra dipegang Asyaar tatkala gadis itu berdiri. Wajahnya sudah berubah sebek menahan tangis. Matanya bulatnya berkaca. “Asyaar tak nak kakak... balik.”

“Hmm, kalau macam tu, kakak mandikan Asyaar dulu lah. Boleh?"

Asyaar mengangguk dengan wajah ceria.

Selesai memandikan Asyaar, rambut lebat kanak-kanak itu disikat rapi. Dipakaikan juga bedak pada badan dan wajah kanak-kanak itu.

Comel.

“Dah wangi.”

“Hehehe...”

Zahra duduk melutut bagi menyamakan ketinggiannya dengan Asyaar. Pipi kanak-kanak itu disentuh. “Sayang, sekarang kakak nak kena balik.”

Tangan diangkat separas bahu, seakan-akan berikrar. “Tapi kakak janji, kakak akan datang esok jumpa Asyaar. Asyaar kena jadi good boy okay. Kejap lagi papa Asyaar nak balik kan...”

“Tapi...”

“Asyaar ingat tau. Kalau Asyaar nak jumpa dengan kakak lagi, Asyaar tak boleh bagitahu sesiapa. Termasuk Nek Ya dan papa.”

“Asyaar janji.”

“Pandainya sayang kakak. Nak kiss.”

'CUP!'

'CUP!'

“Hahaha, minta satu dapat dua ye.”

“Asyaar nak kiss juga,”

Zahra berura-ura mahu mencium pipi Asyaar. Namun, dia mengubah target menggeletek pinggang kanak-kanak itu. Mengekek mereka berdua ketawa.

“Asyaar... Sekarang Asyaar kena tolong kakak.”

“To...long?”

“Sini, kakak bisik.”

“ASSALAMUALAIKUM mak lang,” Ucap Megat sebaik sahaja melangkah ke ruang tamu. Seperti kebiasaannya, dia mencari figura si anak terlebih dahulu. Plastik yang dibawanya diletakkan di atas meja. Itu adalah mainan yang dibeli buat Asyaar untuk memujuk anaknya. Dia tahu Asyaar pasti masih merajuk dengannya soal semalam.

“Waalaikumussalam... Kamu cari Asyaar ke? Asyaar ada di bilik. Tengah main tadi. Kejap, mak lang panggil dia turun.”

Baru Puan Suraya mahu menuju ke tingkat dua, Asyaar sudah tiba di ruang tamu. Dia terus mendapatkan Megat dan tangan papanya ditarik.

“Kita nak ke mana?” Soal Megat apabila Asyaar menariknyasehingga tiba di halaman rumah. Dibuntuti Puan Suraya dari belakang.

“Papa kata nak bawa Asyaar jalan-jalan. Jomlah papa...”

Terjungkit kening Megat mendengar kata-kata Asyaar. Memang dia ada berjanji mahu membawa anaknya berjalan-jalan selepas dia pulang kerja. Tetapi--

“Jomlah papa...” Tangan Megat terus ditarik-tarik Asyaar apabila Megat tidak bergerak. Dia perlu melengahkan masa supaya kakak Ara boleh keluar melalui pintu belakang dan tidak tertangkap dengan papa dan Nek Ya. Itulah rancangan yang kakak Ara minta tolong padanya.

“Asyaar, papa nak masuk mandi dan solat dulu. Kejap lagi papa bawa keluar okay.”

“Sekarang lah papa. Asyaar nak makan eskrim."

“Asyaar nak makan aiskrim ye? Dalam peti sejuk ada aiskrim. Nek Ya ambilkan ye.”

Membuntang mata Asyaar saat Puan Suraya memalingkan badannya ke belakang untuk masuk ke dalam rumah. Dia semakin gelabah. Tidak boleh biarkan Nek Ya nampak kakak Ara.

“Tak nak!” Jeritnya nyaring. Serta merta menghentikan langkah Nek Ya.

“Asyaar nak eskrim lain. Tak nak aiskrim dalam peti sejuk tu.”

“Okay, kejap lagi papa bawa Asyaar keluar lepastu kita beli aiskrim. Sekarang papa nak mandi dan solat dulu. Papa pernah pesan apa sebelum ni? Solat itu--”

“Wajib.” Sambung Asyaar.

“Pandai pun.” Tubuh kecil Asyaar didukung lalu langkah diatur. Dikucup sekilas pipi anaknya. Dahinya berkerut saat bau wangian pada badan Asyaar bukanlah wangian yang selalu digunakan.

“Wanginya anak papa. Nek Ya mandikan ye...”

“Tak...”

“Habistu, Asyaar mandi sendiri ke? Siapa yang siapkan Asyaar segak-segak macam ini? Bukan selama ini Asyaar tak suka sikat rambut selepas mandi? Nek Ya sikat ye?”.Bertalu-talu Megat ajukan soalan buat anaknya. Sebenarnya itulah yang menjadi tanda tanya buatnya sejak dia baru pulang sebentar tadi. Memang penampilan anaknya berubah. Lebih kemas dan teratur.

Asyaar tidak membalas. Dia hanya mampu tertawa bagi menjawab setiap pertanyaan yang diajukan. Melintas wajah cantik kakak Ara di fikirannya.

Tak sabar mahu menunggu esok hari.

SUIS lampu bilik ditekan. Dan bilik yang terang benderang itu mula menjadi gelap. Pintu bilik Asyaar ditutup dengan berhati-hati supaya tidak mengejutnya si anak yang sudah lena dibuai mimpi.

Sungguh dia katakan, sikap Asyaar sedikit sebanyak berubah pada hari ini. Jika Asyaar mengamuk, pasti makan masa hampir seminggu untuk dipujuk. Namun sekarang ini tidak sampai sehari.

Selain itu, anaknya tidak pernah tidur awal sebegini dan memerlukannya untuk menemani tidur. Tetapi kali ini Asyaar tidur pada jam 9.30 malam dan tidur di biliknya sendiri.

Dia tidak tahu apa yang jadi hari ini. Mungkin Nek Ya membelikan Asyaar sesuatu sehingga menjadikan Asyaar ceria sedimikian.

Setelah yakin bahawa papa sudah tidak berada di dalam biliknya, kelopak mata diangkat. Dia berubah posisi tidur kepada meniarap dan tablet PC yang disorokkan di bawah bantal, dikeluarkan. Lantas nama 'KAKAK ARA' dicari.

Apabila panggilan yang dibuat tidak berangkat, dia sudah menarik muncung. Nombor kakak Ara terus didail.

‘Helo...’

“Kakak Ara!” Jeritnya gembira.

‘Siapa ni?’

“Kakak Ara, ini kite lah”

‘Huh? Kite? Siapa Kite’

“Kite Asyaar. Asyaar Luthfan.”

‘Ya Allah, Asyaar rupanya. Haa, ini kenapa tak tidur lagi ni. Dah 9.30 malam kan...’

Asyaar tertawa. "Kakak, awal lagi lah. Asyaar mana bole tido awal-awal."

‘Aip, Asyaar mana boleh tidur lewat. Selalu Asyaar tidur pukul berapa?’

“Sepuluh setengah.”

‘Lambatnya sayang... ’

“Pukul sebelas baru lambat.”

‘Pandai dia ye. Asyaar telefon kakak ni, papa Asyaar tahu tak?’

“Tak... Papa dah keluar. Nanti kalau papa tahu mesti papa marah Asyaar. Papa suka marah Asyaar. Asyaar tak mahu makan nasi pun papa marah.” Adu Asyaar tidak puas hati membayangkan muka si bapa. Sikit-sikit nak marah Asyaar, Asyaar tak buat salah pun.

‘Hmm, ni mesti Asyaar nakal sangat ni.’

“Tak lah kakak... Kite budak baik.”

‘Ye ke baik?’

“Betul kakak...”

‘Kalau macam tu, sekarang Asyaar perlu tidur. Asyaar tak elok tidur lewat.’

“Tapi Asyaar tak mengantuk...”

‘Biar kakak ceritakan sebuah cerita dekat Asyaar.’

Asyaar menukar posisi tidurnya semula menghadap siling. Tablet PC diletakkan di atas perutnya.

“Cepat kakak, Asyaar nak dengar kakak cerita ni.”

'Okay, tajuk cerita kakak adalah Jack dengan pokok kacang. Cerita ini di antara seorang penduduk kampung dan gergasi. Pada suatu hari...'

“SELAMAT MALAM Asyaar...” 15 minit kemuidan, barulah panggilan dimatikan. Dia pasti Asyaar sudah terlena mendengar cerita tentang Jack dengan pokok kacang. Cerita kegemarannya satu ketika dahulu.

Zahra kembali menyalin nota dari buku Isya. Nasiblah semasa kelas Prof Marlissa sebentar tadi, wanita itu tidak mengesyaki bahawa Sara menggantikan tempatnya di kelas. Jika tertangkap, tidak dapat dibayangkan akibatnya. Sudahlah Prof Marlissa seorang yang tegas dan tidak boleh diajak berbincang. Serius semacam. Benda kelakar pun dia tidak ketawa.

'Ting!'

Telefon bimbit dicapai kembali. Berkerut dahinya apabila menerima mesej daripada Arif. Sudahkah lelaki itu menukar fikiran dan mahu pulang ke rumah?

Mesej daripada Arif dibuka.

'Aku ada depan rumah sewa kau.'

Terburu-buru Zahra menuju ke tingkap. Apabila kelibat Arif tidak ditemui, tudung disarungkan pada kepala. Dia memastikan keberadaan Sara dan Isya terlebih dahulu sebelum keluar dari rumah.

Berhati-hati pintu pagar dibuka agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi dan menarik perhatian Sara dan Isya yang berada di dalam rumah. Dia tidak mahu merisaukan kedua-dua mereka kerana kehadiran Arif di sini. Bukannya dia tidak tahu bahawa mereka tidak menyukai adiknya kerana sikap sosialnya yang agak melampau.

Sebaik sahaja melepasi pintu pagar, Arif muncul di sebalik pohon besar. Lantas dia berlari ke arah adiknya dan tangan lelaki itu ditarik sehingga menjauhi rumah sewanya.

“Kenapa dengan muka kau?” Luka di kening Arif mahu disentuh, namun tangannya ditepis kasar lelaki itu. Terperanjat dia dengan keadaan Arif tika ini. Luka dan lebam memenuhi wajah lelaki itu. Bukankah baru pagi dia memerhatikan Arif dan adiknya dalam keadaan baik-baik sahaja?

“Aku nak pinjam duit.” Kata Arif tanpa perasaan.

“Aku--”

“Disebabkan kau, aku jadi macam ini. Sekarang aku nak duit. Anggap sebagai kau ganti rugi pada aku.” Arif bermuka tembok. Tidak dipedulikan kata-katanya beberapa hari lepas yang menghalang Zahra daripada berjumpa dengannya lagi. Yang pasti aku perlukan duit sekarang ini.

Duit!

“Apa maksud kau?”

“Kau tahu tak gangster yang nak beli kau itu, hantar orang-orang dia pukul aku! Kalau bukan kau datang ke sana, aku takkan jadi macam ini!”

“A-Arif, ak-aku--”

“Kau tak payah buat muka bodoh kau! Aku nak duit sekarang ini. Bagi aku duit!”

“Arif--”

“Atau kau nak aku pecah masuk rumah kau? Biar aku cari sendiri.”

“Arif, kau jangan buat gila boleh tak.”
Lengan Arif terus dicapai semasa lelaki itu mula menapak pergi menuju ke arah rumahnya. Lelaki itu tersenyum sinis.
“Aku serius sekarang ini.”

‘Serius tengkorak kau!’

‘Pranggg!’

“Isya!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience