BAB 4

Romance Series 7643

“ZAHRA, lepas habis kelas-”

“Aku ada hal yang perlu dibuat hari ni. Aku mungkin lewat balik. Korang tak yah tunggu aku.” Terburu-buru Zahra menuju ke muka pintu. Kasut sandal yang tersusun di rak kasut, disarung pantas pada kakinya. Sekilas dia memandang ke arah Isya yang baru tiba di situ. Gadis itu tidak lepas memandangnya. Mungkin pelik kerana dia begitu kalut pada awal pagi ini.

“Kau tak ke kelas ke?” Soal Isya penuh tanda tanya. Lihat pakaian santai yang dikenakan Zahra juga dia sudah dapat mengagak bahawa tujuan Zahra pada pagi ini bukanlah mahu ke kelas.

“Tak. Kau tolong cover aku eh. Aku pergi dulu.” Tanpa menunggu balasan daripada Isya, menonong Zahra meninggalkan gadis itu. Setelah sudah jauh daripada perkarangan rumah sewa mereka, telefon bimbit dikeluarkan dari poket beg yang digalasnya. Nama 'Arif' ditekan untuk menghubungi adik lelakinya. Setelah dua panggilan yang dibuat, barulah panggilannya bersambut.

‘Apa kau nak?’ Satu suara garau menyapa pendengarannya. Kasar dan garang.

“Kau ada dekat mana?” Soal Zahra kembali tanpa menjawab soalan Arif terlebih dahulu. Setelah grab yang ditempah tiba, dia memboloskan badannya ke dalam kereta itu.

‘Kau kisah apa aku dekat mana.’

“Mak kata kau dah tak balik 3 hari. Kau ada dekat mana?” Gumamnya sedikit keras. Sedaya upaya dia menahan sabar supaya marahnya tidak meletus melayan karenah si adik.

‘Sejak bila orang tua tu ambil berat pasal aku?’

“Arif!”

'Lantak aku lah nak buat apa pun. Jangan nak menyibuk boleh tak!'

“Jaga sikap kau.”

’Apa bising-bising ni? Mmm, i nak tidur pun tak senang.’ Muncul suara asing yang penuh lunak di corong telefon.

Zahra menggumam bibir kuat. Hujung baju digenggam. Kesabarannya benar-benar sudah tipis pada kali ini.

‘Sudahlah. Kau dengan mak kau jangan nak menyibuk pasal aku. Aku ada hidup sendiri.’ Usai kata-kata daripada Arif, panggilan telefon dimatikan.

Lemah Zahra bersandar di kerusi kereta. Mata dipejam lama. Dia tahu Arif semakin dingin kepadanya kerana dia tidak memberikan lelaki itu wang seperti permintaannya.

Sungguh dia katakan, rindu semakin mencengkam saat membayangkan keluarganya pada 7 tahun lepas. Semasa mereka bergurau senda, rumah yang penuh gelak ketawa, penuh dengan adab sopan dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Namun semua hal itu diragut dalam sekelip mata. Kebahagiaan keluarga mereka mula memudar. Arif mula terjebak dengan dunia sosial dan mempertikaikan mengapa dia dilahirkan di keluarga miskin, Along  yang terdesak mahukan wang terpaksa bekerja sebagai pelacur. Pada mulanya hanya mencuba dan lama-kelamaan kakak sulungnya itu sudah sebati dengan tempat syaitan itu. Abah dengan mak bercerai kerana diketahui mak bahawa abah ada isteri lain dibelakangnya. Akhirnya, mak mula menyalahkannya kerana bagi mak dialah punca semua itu berlaku.

Alasan? Dia juga tidak tahu alasan mak menuduhnya sebagai punca kebahagiaan keluarga mereka hancur. Walaupun dia sudah dilayan dengan dingin sejak dulu oleh Mak, dia tahu mak buat seperti itu kerana mak sayangkannya. Mak... Mak mahu yang terbaik untuk anak-anaknya.

Mak... Sebak datang bertandang tanpa dipinta. Cecair jernih mengalir laju di pipi.

Kenapa mak benci dengan Zahra...  Kenapa mak selalu lebihkan kakak daripada Zahra? Kenapa mak sayangkan Arif daripada Zahra? Kenapa Zahra tak pernah ada dalam hati mak?

Rintih hatinya tidak dapat membendung kesedihan lagi. Kata-kata itu sudah lama mahu diluahkan, namun selama ini dia tidak membenarkan kata-kata seperti itu menggangu dirinya.

‘Adik, adik okey’ Teguran pak cik si pemandu grab, menyedarkannya kembali. Air mata yang masih bersisa di pipi, dikesat menggunakan tapak tangan. Segera dia beristighfar di dalam hati akibat kelalaiannya.

Kepala diangkat memandang ke arah si pemandu. Senyuman tipis diukir. ”Saya okey,”

“Kalau adik ada masalah, adik tak boleh pendam. Kena luahkan. Kalau adik tak kisah, adik boleh cerita pada pak cik.” Lembut pemandu grab berkata. Sebiji seperti kata-kata abah satu ketika dahulu. Bayangan mak dan abah yang kembali bermain-main di kepala, segera ditepis. Tidak mahu dia terus-terusan terganggu dengan masalah ini.

“Terima kasih pak cik. Saya okey,”

“Baguslah kalau macam tu, risau pak cik tengok kamu,”

Hanya senyuman Zahra ukirkan sebagai balasan kepada pemandu grab itu.

“Oh ya, adik nak buat apa pergi Dendalion? Adik tahu tak tempat apa tu?”

Dendalion? Tempat judi atau lebih tepat lagi rumah pelacur. Dia tahu Arif berada di situ. Disebabkan itulah dia perlu ke sana dengan harapan Arif akan terpujuk dengan kata-katanya dan akan pulang ke rumah. Dia tidak mahu mak terus-terusan risaukan lelaki itu sehingga menyebabkan kesihatan wanita itu terganggu.

“Saya tahu pak cik. Saya cuma nak buat kajian sikit untuk assignment saya.” Zahra beralasan. Alasan yang sangat 'tidak' logik.

“Adik hati-hatilah ye. Jangan dekat-dekat sangat dengan tempat tu. Bahaya. Adik perempuan...”

“Baik pak cik, saya akan ingat nasihat pak cik.”

SETELAH menyarungkan pakaian, seikat wang dibaling ke atas katil mengenai seorang perempuan yang sedang tersenyum ke arahnya. Perempuan itu mengambil wang tersebut lalu dicium  penuh ceria.

“Itu sebagai tambahan sebab kau layan aku.” Ujar Arif sebelum punggung dilabuhkan di birai katil. Serta merta perempuan itu bangun dari pembaringan kemudian tangannya dilingkarkan pada leher Arif. Kepalanya diletak di atas bahu lelaki itu dan tubuh lelaki itu dipeluk mesra dari belakang.

“You paling terbaik.” Bisiknya penuh menggoda. Manja dia membelai-belai dada Arif. Mengharapkan lelaki itu akan menggunakan khidmatnya lagi selepas ini. Dia sayangkan wang lelaki itu.

Arif terpejam lama. Menahan gelora nafsunya yang semakin mengganas.
Dia terbuai dengan layanan yang diterima. Namun, kebahagiaannya terganggu saat bunyi benda dibaling bergema di seluruh gudang itu.

'PRANGG!'

Automatik matanya terbuka dan pandangannya terus dihalakan ke arah pintu. Hatinya berdebar secara tiba-tiba.

“Macam you tak tahu orang-orang di sini seperti apa.” Kata perempuan itu menenangkan Arif setelah sedar akan keresahan lelaki itu. Keadaan bising seperti ini sudah biasa berlaku di Dendalion. Tiada apa yang perlu dirisaukan.

Arif berdiri seraya merungkaikan pelukan di antara mereka. Kata-kata perempuan itu tidak berjaya menenangkannya. Debar semakin mengasak dada. Bagai ada yang memanggil-manggil dia untuk melihat apa yang terjadi di luar sana.

Lantas dia melangkah menghampiri pintu. Semakin lama, bunyi-bunyi pergaduhan di luar semakin jelas di pendengarannya. Terselit suara seorang perempuan dan juga beberapa orang lelaki.

Tombol pintu dicapai lalu dipulas secara perlahan-lahan. Dia menuju ke  ke tingkat bawah bagi melihat dengan lebih jelas keadaan di sana.

‘Janganlah jual mahal sangat, jomlah ikut aku. Aku bayar kau dengan harga tinggi.’

‘Jangan dekat!’

‘Kau nak takut apa? Jangan risau, aku takkan cederakan kau.’

‘Lepas!’

Jeritan seorang perempuan itu benar-benar membuatkannya semakin tertanya-tanya. Dia menyelit di antara orang ramai yang berkumpul dan tiba di baris paling hadapan. Terhidang di hadapan matanya seorang perempuan yang sedang mempertahankan diri daripada dibawa oleh beberapa orang lelaki.

Matanya membuntang luas. Nafasnya turun naik dengan urat-urat yang mula timbul disekitar leher dan dahi. Dengan penuh amarah, dia merentap tangan perempuan itu daripada pegangan seorang lelaki yang berbadan tegap.

“Woi, kau siapa nak rampas perempuan aku!”

Naik bengang Arif jadinya mendengar tengkingan lelaki itu. Lantas dia menerkam lelaki itu. Lalu tumbukan dihadiahkan bertalu-talu pada muka lelaki itu.

“Berani kau sentuh dia dengan tangan kotor kau!” Arif semakin menggila dan marahnya tidak dapat dikawal lagi. Bagai hilang akal waras dia mengerjakan lelaki berbadan tegap itu. Mujur beberapa orang masuk campur dan menjauhkan mereka berdua.

“Kau... Ikut aku!” Arahnya garang seraya menarik kasar tangan Zahra yang hampir dibeli lelaki-lelaki sampah di situ. Setelah tiba di tempat parkir kereta, badan kakaknya ditolak sehingga gadis itu berlanggaran dengan sebuah kereta yang terparkir di situ.

“Kau buat apa dekat sini perempuan?!” Tengkingnya kuat. Wajah ketakutan Zahra membuatkan darahnya semakin menggelegak.

“A-Arif, aku... Aku cari kau,”

“Kau bodoh ke? Aku dah cakap jangan cari aku!”

“A-Arif, mak... mak ri-risaukan kau. Baliklah rumah. Jenguk mak,”

“Aku dah pernah cakap sebelum ni, selagi kau tak bagi aku duit, selagi tu aku takkan balik rumah. Korang jangan sibuk sangat dengan hal aku!”

“Arif... A-Arif...” Tangan Arif dicapai dengan badan yang sedikit menggigil. Jujur dia katakan, dia gerun dengan adiknya sekarang ini walaupun sudah lali menghadap perangai syaitan lelaki itu.

“Aku betul-betul tak ada duit sekarang ini. Kalau aku ada duit, aku...aku akan bagi kau. Aku janji. Sekarang...aku nak kau balik jenguk mak. Itu je yang aku minta..." Rayu Zahra. Tubir matanya mula menjadi panas. Hatinya sakit setiap kali Arif menghina mak, wanita yang susah payah melahirkan lelaki itu.

Arif tersenyum sinis. Tangannya yang dipegang Zahra, ditarik kasar. “Aku takkan percaya penipu macam kau. Sudahlah, sebelum aku jual kau lebih baik kau blah dari sini.” Katanya mendatar tanpa melihat ke arah wajah Zahra.

“Arif--”

“Aku takkan ulang benda yang sama.”

“Arif--”

"Pergi!"

HUJAN membasahi bumi dengan selebat-lebatnya. Tubuh yang terasa lemah, digagahkan untuk terus berjalan sehinggalah tiba di bawah pondok bas. Kedua tangan digosok-gosok bagi mendapatkan sedikit haba dan menghilangkan kedinginan yang semakin mencengkam.

Seraut wajah perempuan yang agak berusia bermain-main di fikirannya. Wanita itu hanya termenung di tepi jendela dengan wajahnya yang muram.

Mak... Maafkan Zahra, Zahra tak dapat pujuk Arif untuk balik.

Meskipun hanya mampu melihat dari jauh, namun kerunsingan hatinya memudar serta merta. Dia tidak berdaya mahu bertentangan empat mata dengan mak. Pasti mak tidak akan senang dengan kepulangannya di rumah papan itu. Yang mak mahukan, hanyalah Along dan Arif. Mak hanya rindukan  kedua-dua mereka.

Zahra janji, Zahra akan cuba bawa pulang Arif. Zahra nak tengok mak gembira dan senyum seperti sebelumnya.

Lamunannya terganggu saat sebuah kereta mewah hitam berhenti betul-betul di hadapan pondok bas, tempat dia berada. Hatinya menjadi tidak tenteram dan bermacam-macam persoalan negatif bermain di benaknya.

Pintu di bahagian pemandu terbuka. Seseorang yang bersut hitam keluar dari perut kereta dan menuju ke pondok bas sambil memegang payung.

Duduknya dienjak sedikit ke tepi apabila lelaki itu turut melabuhkan duduknya di situ. Pandangannya dibuang ke arah jalan raya yang lenggang.

Bunyi telefon berdering memecahkan suasana jeda di antara mereka. Telinga dipasang mendengar perbualan lelaki itu.

‘Okay baik, 10 minit saya sampai.’

Lelaki itu berdiri dari duduknya dan payung dibuka semula. Semasa mahu menuju ke kereta, dia teringat akan satu perkara lalu memandang ke arah perempuan muda yang berada di situ. Bajunya basah kuyup dan mukanya sedikit pucat, mungkin kerana kesejukan.

“Cik, saya boleh hantarkan cik di depan sana kalau cik tak keberatan. Jalan sekitar sini memang sunyi dan susah sikit nak dapatkan bas atau teksi.”

Kata-kata lelaki itu membuatkan Zahra terdiam seribu bahasa. Memang dari tadi sebiji kereta pun susah mahu lihat dan muncul di jalan besar ini. Tapi-- “Tak apa, terima kasih.” Senyumnya tipis.

Lelaki itu mengangguk. Baru selangkah dia menapak ke hadapan, langkahnya terhenti semula. Dia kembali ke arah kerusi pondok bas. Payung yang terbuka, ditutup dan diikat kemudiannya diletakkan di atas kerusi itu.

“Jaga diri.” Ucapnya sebelum berlari ke arah kereta. Enjin kereta dihidupkan dan kereta mewah miliknya meluncur laju di atas jalan raya.

Jalan raya yang kembali sunyi dipandang dengan pandangan kosong sebelum pandangannya jatuh pada payung hitam yang ditinggalkan lelaki itu. Teragak-agak dia mahu mengambil payung itu. Namun, mengingatkan tentang keadaan tika ini, akhirnya payung itu dicapai.

Lain masa dia akan datang semula ke sini untuk mencari Arif.

“PAPA...”

Dari jauh, kelihatan tubuh kecil itu tergedek-gedek berlari ke arahnya. Badannya ditunduk separuh lalu tubuh kecil itu digendong. Pipi gebu anak kecil itu dikucup berkali-kali.

“Masamnya anak papa.”

“Heh, Asyaar tanak kawan papa.” Asyaar memeluk tubuh lantas memalingkan kepalanya ke arah bertentangan. Tidak mahu memandang wajah Megat. Dia masih merajuk kerana papa tidak mahu membawanya keluar.

Sudah bawa ke pejabat, lepastu tinggalkannya dengan Uncle Aiman.

“Halahai, merajuk pula sayang papa sorang ni.”

“Heh, tanak kawan.”

“Ye lah, papa minta maaf sebab tinggal Asyaar dekat sini. Sekarang papa dah habis kerja, jadi kita jalan-jalan nak?”

Laju Asyaar memalingkan semula kepalanya menghadap Megat. Kepala diangguk laju dengan senyuman yang mekar di wajahnya.

‘Ewah ewah... Siapa bagi kebenaran?’ Sampuk seseorang yang baru tiba di situ. Siapa lagi kalau bukan Aiman. Asyaar ditinggalkan dengan lelaki itu sebentar tadi disebabkan dia ada hal
di luar yang perlu diuruskan.

“Bini kau.” Selamba Megat membalas.

“Eh mamat ni, main bini pulak.”

“Kenapa? Ouh lupa, kau tak ada bini,”

“Main kasar nampak. Kau ada bini ke? Mana bini kau? Tunjuk sikit dekat aku.” Bidas Aiman kembali tidak mahu mengalah. Cakap orang tak ada bini, macamlah dia tu ada bini.

“Eee, Uncle Aiman nampak macam monster merah.” Ujar Asyaar sambil mengekek ketawa. Pipi Aiman dicucuk-cucuknya.

Ketawa turut dihambur oleh Megat. Pipi anaknya dikucup lagi. Pandai Asyaar selamatkan papa daripada soalan maut Uncle Aiman. Tanya kalau aku ada bini atau tak. Memanglah aku ada. Kalau tidak, macam mana Asyaar boleh wujud atas muka bumi ini. Takkanlah dia wujud daripada benih pokok.

Apadah, itupun tarak boleh fikir ka... Cumanya gelaran bini aku special sikit iaitu ' Bekas bini'.  “Asyaar memang pandai.”

Aiman sudah mencebik bibir. Anak dengan bapak, sama sahaja. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. 
Selalu sangat berpihak bapak dia, sekali sekala berpihak lah pada aku jugak.

“Uncle gigit Asyaar nanti, haa... Putus tangan.” Aiman membuka mulutnya luas dan berura-ura mahu menerkam
Asyaar di dalam dukungan Megat. Lantas anak kecil itu memeluk leher papanya. “Ah, papa... Takut.”

“Hahaha, sudahlah. Aku nak bawa dia keluar kejap. Nanti lepas aku hantar dia balik, aku datang sini semula.”

“Mana boleh.” Laju Aiman menyangkal.

“Kenapa pula? Aku dah minta izin lah,”

“Tak boleh, tak boleh... Kalau kau nak keluar, kau...kena bawak aku sekali,”

“Eh, siapa nak bawa dia.”

Pantas Megat bergerak meninggalkan Aiman yang masih terkontang-kanting sendirian.

“Babay Uncle Aiman.”

“Tunggu Uncle, Asyaar! Megat, kejap!”

'ISH, kau ni, nak laju-laju pergi mana.’ Aiman merengus geram setelah dapat menyaingi langkah Megat yang jauh ke hadapan. Pakaiannya dirapikan, begitu juga rambutnya yang sedikit kusut. Pasti kerana kalut mengemas barangnya kerana mahu mengejar Megat.

“Lah, sibuk lah jebon ni. Aku nak dating dengan anak aku.” Sekilas Megat menoleh ke arah Aiman di sisinya.

“Ah, tak ada dating-dating. Aku bukan boleh percaya dengan kau. Entah-entah kau nak bawa Asyaar  jumpa Shania?”

Tebakan Aiman membuatkan Megat tertawa kecil. Walaupun dia jatuh sayang dengan wanita itu, namun tidak pernah terlintas di hatinya mahu menemukan Asyaar dengan wanita itu. Lagipula, anak bujangnya bukanlah seorang peramah dengan orang yang baru dikenalinya.

“Itu... Nanti aku akan fikirkan lain.”

“Hah? Kau ada niat rupanya?”

Soalan Aiman dibiarkan berlalu. Sengaja mahu menyakitkan hati lelaki itu. Asyik nak mengekor sahaja kerjanya. Di mana ada dia, wujud jugalah Aiman. Sudah serupa dua bapa dan satu anak. Eee, sejak bila aku ada hubungan dengan kau.

‘Baby...’

“Astaghfirullahalazim. Aku ingat hantu opera cina mana tadi.”

“Ya Allah, kenapa mulut aku masin sangat hari ini...”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience