BAB 3

Romance Series 7643

“ADUH, panas...Tepi tepi,” Periuk sederhana besar yang sedang berasap, Isya letakkan di atas dapur mini yang sudah disediakan di atas meja kopi. Kain yang digunakan untuk memegang periuk itu dilemparkan ke tepi. Jari jemari yang mula memerah diletakkan belakang telinga.

“Cepat woi. Aku lapar!” Laungnya kuat sambil memandang ke arah dapur menantikan kehadiran Zahra. Namun batang hidung gadis itu tidak pula kelihatan.

“Wah... Sedapnya bau.” Sampuk Sara si gadis bermata hazel. Sekelip mata sahaja dia bersila di tepi meja kopi. Matanya bersinar melihat kuah oden di dalam periuk sederhana besar itu. Beberapa kali juga meneguk liur dengan perut yang berkeroncong hebat.

“Nah nah nah.” Terkecoh-kecoh Zahra muncul sambil membawa dua mangkuk besar. Di dalamnya terdapat pelbagai jenis bebola dan beberapa bahan lain yang digunakan untuk membuat oden.

Tidak lupa juga dua ikat kangkung. Memang sudah menjadi kebiasaan mereka untuk makan oden bersama kangkung. Manusia yang tinggal di rumah ini memang melantak kedarah. Bagi je makan apa pun, semua akan telan sampai licin.

“Cun lah. Makan besar kita malam ni!”

“Makan sampai habis. Mahal tahu tak...”

“Jangan risau. Malam ni kita makan sampai kenyang okey.” Isya ketawa mengekek sambil memegang chopstick. Terangkat-angkat bahunya mengikuti rentak dia ketawa. Manakala Sara pula bermain dengan mimik muka. Sekejap gelak seperti langsuir, sekejap serius, sekejap tersenyum lebar macam budak baru dapat lolipop.

Zahra yang melihat gelagat sahabat-sahabatnya hanya tersenyum lucu.

“Oh ya Zahra, aku lupa... Siapa perempuan yang kau cerita petang tadi?” Pandangan Sara tertumpu pada Zahra. Bercantum keningnya dengan dahi yang berlapis. Cuba mengingati nama yang disebutkan Zahra petang tadi.

“Perempuan mana? Dekat restaurant?”

“Ya.”

“Aku tak kenal.”

“Aku dah tanya tentera-tentera aku. Diorang cakap, si minah tu nama dia Amirah. Dia tu adalah...”

Zahra dan Isya memberi tumpuan kepada Sara. Lagi teruja menunggu apa yang mahu dikatakan gadis itu daripada pengumuman keputusan peperiksaan.

“Adalah?”

“Tak penting pun. Diorang cakap dia tu memang acah-acah sikit. Konon diva. Mungkin tak cukup 'kasih sayang' lah tu.” Sara menekan ayat di akhirnya. Sambil itu, mata dijuling ke atas, hidung dibuat kembang, bibir dijuihkan keluar. Buruk betul mukanya.

Nampak dekat bakal mak mertua, lari dia tak cukup tanah Sara oi. Elok nak dibuat menantu, terus dia batalkan.

"Hahaha. Itu diva? Diva taik kucing kau." Kutuk Isya pula sambil membaling bebola ke dalam periuk. Zahra yang sedang makan, terus tersedak. Bahu Isya ditolak geram.

“Sakitlah minah!” Rungut Isya tidak puas hati. Tambahan lagi apabila Zahra menayangkan muka selamba seperti tidak ada apa-apa yang terjadi.

Ewah-ewah... Aku rebus sekali oden ni nak. Hancur muka comel kau. Rambut ikan paus kau pun dah hilang.

“Aku tengah makan. Nak sembang pasal 'taik' pergi jauh-jauh.” Cebik Zahra sambil menjeling 'manja' ke arah Isya. Dia meneguk segelas air putih bagi menghilangkan loya di tekak.

"Eee... Kenapa dalam banyak-banyak taik, taik kucing juga yang kau pilih. Kan ada taik kambing, taik lembu, taik ayam, taik-"

"Sengallah!"

Jeritan Zahra mematikan kata-kata Sara. Dia menekup kedua telinga menggunakan tangan. Pecah ketawa Isya dan Sara. Siap ber high five lagi mereka. Seronok dapat mengusik Zahra. Memang seronok tengok muka gadis itu bila marah. Sebab di bahagian pipi, akan naik garis-garis merah.

Cute sangat! Eee, geyamm!

'Tokkk! Tokkk! Tokkk! Tokkk!’

Serentak ketawa mereka mati serta merta. Rumah yang pada mulanya bising menjadi senyap sunyi. Hanya sayup-sayup suara dari televisyen yang kedengaran.

‘Tokkk! Tokkk! Tokkk! Tokkk!’

Bunyi ketukan pintu bergema lagi memecahkan suasana hening itu. Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri. Kenapa dari cara bunyi ketukan, macam dah biasa dengar.

“Cik Jenab?” Duga Isya dengan mimik mulut.

Zahra dan Sara mengangguk laju. Ya betul. Cara ketukan seperti Cik Jenab. Mati! Apa yang orang tua itu mahu malam-malam macam ini. Sewa rumah bulan lepas sudah bayar. Kan?

Tapi bulan ni? Hari ini 31 haribulan. Esok 1 haribulan?

Huh?

Perlahan-lahan, tangan panjang Sara mencapai remote televisyen yang berada di hujung meja. Butang merah ditekan seraya mematikan televisyen yang masih terpasang.

Keadaan jeda.

‘Bukak pintu ni! Korang masak apa?! Korang nak bakar rumah aku ke woi!’

Sah, itu Cik Jenab!

Cepat-cepat api dapur yang masih menyala dimatikan. Periuk diangkat lalu dibawa ke dapur dengan pantas. Dapur mini disorokkan di dalam almari televisyen. Semuanya berlaku sekelip mata.

Tanpa diarah, ketiga-tiga mereka rebah di ruang tamu. Sara melelapkan mata di atas sofa. Isya terbaring santai di atas lantai sambil menekan-nekan keyboard skrin telefon bimbitnya, manakala Zahra menjatuhkan kepala di atas meja dan turut terlelap dibuai mimpi.

‘Korang jangan ingat aku tak tahu korang ada dalam rumah. Bukak pintu ni!’

Pekik Cik Jenab lagi. Dengan malas, Isya bangun dari pembaringan lalu menuju ke arah pintu.

“Kejap.”

Selak pintu ditarik lalu pintu dikuak sedikit. Sebaik sahaja pintu dibuka, terpapar wajah bengis Cik Jenab. Mata wanita itu menjegil ke arahnya.

Huh, kus semangat.

“Cik Jenab?”

“Korang masak apa? Korang nak bakar rumah aku ke!” Sembur Cik Jenab geram. Hujung baju disinsing ke siku. Hujung tudung dilipat masuk ke dalam. Sedalam-dalamnya sehinggakan muka dia hanya sebesar kacang.

Halah halah halah, comel!

Isya menahan tawa. Maafkan saya bersikap biadab Cik Jenab.

“Masak? Kitorang tak masak apa.” Bohong Isya dengan wajah polos. Meskipun begitu, dia pasti Cik Jenab tidak akan percaya. Bukan sekali mereka kena tangkap dengan Cik Jenab iaitu si pemilik rumah kerana memasak di ruang tamu.

“Korang jangan nak menipu aku. Rumah aku, aku tahu lah. Tepi... Aku nak masuk. Huh!” Bahu Isya ditolak sehingga gadis itu menginjak ke tepi. Lalu badannya yang sedikit berisi dibawa menerobos ke dalam rumah yang didiami para pelajar itu.

Isya membontoti Cik Jenab dari belakang. Bibir digumamkan apabila melihat wanita 45 an itu bercekak pinggang. Matanya menyoroti ke arah dua orang sahabatnya yang pulas tidur di ruang tamu.

“Huargh... Sakitnya badan aku.”

Pandangan dihalakan kepada Zahra yang sedang mengeliat dengan kedua tangannya didepakan. Gadis itu menguap kecil dengan mata yang separuh terbuka.

Zahra yang menyedari kehadiran orang lain di situ, terus berdiri tegak dalam keadaan bersedia. Rambutnya yang kusut dibetulkan-betulkan. “Cik... Cik Jenab,”

“Apa Cik Jenab, Cik Jenab! Pandai berdrama pulak malam-malam macam ni kan! Jangan nak tipulah, aku tahu korang masak dekat ruang tamu!” Tempik Cik Jenab dengan kepalanya yang berasap. Mungkin kalau dalam cerita kartun, ada asap dan api di atas kepalanya.

Kerana sedikit bingit, Sara yang sedang tidur pula terjaga. “Kenapa ni?” Soalnya polos.

“Aku ingatkan korang eh. Sekali lagi kalau korang masak selain dari dapur, aku penggal kepala satu-satu.”

Ketiga-tiga mereka tergamam. Menyeramkan. Cik Jenab ni mafia tersembunyi ke nak main penggal kepala orang.

“Esok aku datang lagi. Duit sewa bulan ni belum bayar. Ingat! Korang buat perangai, aku lapor dekat universiti korang. Huh!” Cik Jenab mendengus kasar sebelum berlalu pergi. Tidak mahu memanjangkan masalah kerana sudah malam. Macam lah dia tidak tahu yang gadis-gadis nakal itu mempermainkannya.

Tak apa, hari ini aku takkan perhitungkan dengan korang.

“Bye Cik Jenab. Hati-hati dekat jalan. Kalau ada orang ngorat jangan layan. Sian abang Jamil dekat rumah!”

Setelah yakin Cik Jenab sudah pergi, mereka bertiga melabuhkan duduk di sofa. Kau pandang aku, aku pandang kau, kau pandang aku, aku pandang kau.

Sesaat kemudian, ketawa mereka berderai. Boleh jadi pelakon utama!

“Aku berani bertaruh, esok Abang Jamil akan serang rumah kita.”

“Kunci pintu dan tingkap!”

“Ai ai bos!”

PELIPIS digaru-garu. Pening kepala kerana hampir dua jam bebelan Shania tidak berhenti sejak keputusannya untuk keluar makan malam dengan wanita itu telah dibatalkan. Telinganya sudah bernanah dan otaknya sudah tepu. Satu kerja pun tak boleh dibuat. Mahu tulis lain, lain pula yang tercatat. Karang mahu menyampuk, mahunya muncung memanjang. Jenuh pula mahu memujuk.

Haih...

‘Baby, you dengar tak I cakap ni?’ Rengek Shania di dalam panggilan. Barangkali tidak puas hati kerana Megat hanya mendiamkan diri seolah-olah dia bercakap dengan dinding.

Megat hanya menggumam dan perbuatannya itu mengundang amarah Shania.

‘Baby!’

“Ye Nia, I dengar...” Jawab Megat malas. Laptopnya yang masih terpasang, terus ditutup. Badan disandar lemah pada kerusi.

‘Apa yang you dengar?’
. .
. ‘Baby?’
. .
. “Nia? You de--ngar tak?”

‘Baby? Line you tak okay ke?’

“Hello?”

‘Baby?’

“Hello? Nia?”

Megat memanjangkan tangannya ke atas. “Nia?”

‘Baby,’

“Hello?”

Sorry Nia, line I tak okay.

Butang merah di skrin telefon ditekan seraya mematikan panggilan telefon di antara mereka berdua. Bibir menarik senyuman senget.

Good night dear...

Telefon bimbit dibaling ke atas katil. Kerusi yang didudukinya dipusing-pusing. Jika difikirkan semula, memang agak kejam kerana janji yang telah dibuat, tidak ditepati. Tetapi tidak mungkin dia mahu meninggalkan Asyaar sendirian di rumah semata-mata mahu keluar makan bersama Shania. Tidak mungkin juga Asyaar akan dibawa sekali mengekorinya.

Akhir sekali, terpaksalah janji tersebut dibatalkan di saat-saat akhir. Itu sebablah 2 jam bebelan wanita itu tidak berhenti. Sayangnya, satupun tak melekat di kepala. Masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

‘Krekkk!’

Bunyi pintu terbuka menarik perhatiannya. Muncul Asyaar disebalik pintu bilik yang terkuak sedikit. Keningnya terangkat tatkala melihat anak lelakinya menyeret bantal biru tua yang bercorak bintang-bintang kecil bewarna putih.

“Asyaar, kenapa tak tidur lagi ni?”

Asyaar behenti di hadapan Megat dengan wajah yang cemberut. Bibir mungilnya memuncung ke hadapan.

“Asyaar nak air ke? Bukan papa dah letak air atas meja tepi katil?”

Soalan Megat dibalas dengan gelengan. Rambutnya yang jatuh di dahi turut mengikuti gelengan kepala.

“Jadi?”

Asyaar tidak menjawab. Dia hanya mendiamkan diri sambil matanya menikam tepat muka blur Megat. Takkan lah tak faham lagi papa.

“Playground?” Duga Megat. Apa yang  sudah dijanjikan kepada Asyaar sehinggakan anak lelakinya menarik muncung sedepa.

Asyaar menggeleng.

“Papa tak faham. Nak apa? Cakap dengan papa.”

“Sapu tangan.” Perlahan sahaja perkataan itu muncul dari mulut Aysaar.

Dahi Megat berkerut. Sebelah keningnya terangkat. Sapu tangan? Seakan-akan baru teringat akan sesuatu, mulutnya berbentuk 'o'. Pasti sapu tangan yang dimaksudkan Asyaar adalah sapu tangan berwarna ungu lembut yang diberikan seorang perempuan kepada anaknya.

Tetapi--

Asyaar menghulur tangan. Meminta semula sapu tangan milik kakak yang dijumpainya petang tadi. Tadi seingatnya papa cakap papa tak jumpa Kakak Ara.

Megat menggumam bibir. Bagaimana dia mahu memberitahu Asyaar bahawa sapu tangan itu sudah masuk ke dalam tong sampah. Difikirkan, Asyaar tidak mempedulikan lagi sapu tangan itu setelah memberi kepadanya.

“Papa, nak...”

Kepala yang tidak gatal digaru-garu.

“Asyaar, sebenarnya...” Sudah, berat pula mulut mahu menceritakan benda sebenar. Asyaar, sebenarnya sapu tangan tu papa dah buang dalam tong sampah!

Kemon Megat, hanya beberapa patah perkataan.

“Sebenarnya... Sapu tangan tu papa tinggal dekat pejabat.”

Aduh, kenapa jadi pejabat pula ni!

Asyaar memalingkan mukanya ke tepi. Tidak mahu memandang wajah Megat. Ini tanda yang dia sedang merajuk. Merajuk dengan papa.

“Okay. Esok papa bagi dekat kakak tu. Papa janji.” Pujuk Megat sambil menggosok kepala Asyaar. Difikirkan pujukannya berhasil, namun lain pula yang terjadi. Anaknya memberontak tidak puas hati. Kaki dihentakkan di atas lantai. Tidak setuju dengan apa yang dicadangkan papanya.

Megat menghela nafas panjang. Semakin lama, semakin banyak pula kerenah Asyaar. Kadang sehinggakan dia sudah mati akal mahu melayan anaknya itu.

“Asyaar nak ikut papa.”

Ikut?

Laju Megat menggeleng. Kalau Asyaar mendapati yang sapu tangan itu sudah lesap, satu hal pula mahu memujuk si anak.

“Nak ikut jugak.”

“Esok papa kerja. Balik kerja, papa bawak Asyaar keluar.”

“Nak ikut jugak.”

“Papa nak tidur. Mengantuk.” Malas mahu melayan karenah Asyaar, Megat membaringkan badannya di atas katil. Comforter ditarik sehingga paras dada. Kelopak mata dipejamkan.

Seperti dugaannya, Asyaar tidak berputus asa. Asyaar memanjat katil dan perut Megat menjadi tempat pelabuhannya. Tangan Megat digoyang kuat. Apabila tiada reaksi dari papanya, dia menarik kedua-dua kelopak mata Megat ke atas.

Tidak tahan dengan tindakan Asyaar, Megat mengalah. Dia ketawa kecil sambil merenung si anak. Baik punya landing.

“Nak ikut papa esok?”

Asyaar mengangguk, mengiyakan.

“Sayang papa dulu. Baru papa bawa.” Megat mengalihkan mukanya ke tepi. Ciuman Asyaar mendarat ke dahi, pipi kanan dan kiri, dagu, hampir segenap ruang diciumnya Asyaar. Kemudian, anak bujangnya terus ditarik ke dalam pelukan.

Satu-satunya permata dan nyawanya tika ini. Hanyalah Asyaar Luthfan bin Megat Luqman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience