BAB 1

Romance Series 7643

SEORANG perempuan berambut perang separas pinggang berjalan dengan penuh lenggang lenggok. Kaca mata hitam terletak elok di wajahnya, hidung yang mancung serta bibir yang merah menyala bak delima menambahkan lagi keanggunannya. Setiap langkah yang diambil, diiringi dengan bunyi kasut tumit tinggi yang tersarung di kaki.

Setiap kali dia berselisihan dengan orang-orang awam, tiada senyuman yang dilemparkan. Dia berwajah serius sehinggalah tiba di bangunan 10 tingkat.

"Maaf cik Shania, cik tak boleh masuk sekarang ini." Ujar pengawal yang berjaga di situ sambil tangan kanannya lurus ke hadapan menghalang perempuan berambut perang itu dari meneruskan langkahnya.

Shania tercengang. Kaca mata hitam ditarik sedikit ke bawah dan dia melihat pengawal yang memakai baju seragam putih itu sambil menundukkan kepalanya sedikit.

"I nak masuk." Katanya mendatar.

"Cik, Tuan Aiman dah pesan supaya tak benarkan sesiapa masuk hari ini."
Pengawal itu mengangguk mengharapkan Shania supaya faham dengan apa yang dikatakannya. Dia hanya menjalankan tugas dan mengikut arahan dari pihak atasan.

"I nak masuk. Jangan sampai i cakap benda yang sama untuk kali ke 3." Kata-kata berbaur amaran dilemparkan Shania buat pengawal itu. Melihat pengawal itu masih terkulat-kulat sendirian, Shania menolak tangan lelaki itu dengan hujung telefon canggih yang dipegang.

Dia melangkah masuk ke dalam ruangan kerja yang berdinding kaca. Pekerja-pekerja di situ hanya menyapa dia dengan anggukan. Sudah sedia maklum akan semua staf tentang statusnya di sini.

"Eh. Kak Shania. Kak Shania nak jumpa dengan tuan muda ke?" Seorang gadis berusia 20 an terus memintas Shania dari menolak pintu kaca. Terburu-buru dia berlari anak menuju ke arah Shania.

Shania memandang ke arah gadis bertubuh genit itu dengan kening yang terangkat. Gadis itu adalah Aira, pengurus kepada Megat Luqman iaitu teman lelakinya.

"Hmm."

"Tapi sekarang tuan muda ada perbincangan dengan Tuan Aiman. Harap kak Shania boleh--"

'Pap'!

"Kak Shania!" Terjerit kecil Aira apabila Shania sudahpun melangkah ke dalam bilik Tuan Aiman. Sambil menepuk dahi, dia turut membontoti wanita itu.

"NANTI aku bincang lain dengan Encik Fahim. Kalau Encik Fahim setuju, baru kita akan.--"

'Pap'!

Kedua-dua mereka memandang serentak ke arah pintu yang ditolak kasar oleh seseorang. Bunyi kuat yang terhasil seperti mahu menghancurkan pintu kaca itu.

Tak guna kau Shania.

"Maaf Tuan Aiman. Maaf tuan muda," Aira yang baru tiba terus memohon maaf sambil menundukkan sedikit badannya. Mendapat isyarat daripada Tuan Aiman, dia beredar meninggalkan ketiga-tiga manusia yang berada di dalam ruangan itu.

Pasti sesuatu yang besar akan terjadi sebentar lagi. Mungkin boleh meletupkan bangunan 10 tingkat ini.

"Baby, you ni kan. Bukannya nak jawab call i. Mesej pun tak balas." Dengan muka yang cemberut, kaki dihentakkan ke lantai bermozek. Kemudian dia melangkah ke arah Megat Luqman yang hanya menayangkan riak biasa. Seperti tidak teruja sahaja dengan kedatangannya di sini.

Tanpa meminta izin terlebih dahulu, dia berlabuh di sebelah Megat. Kerusi lelaki itu ditarik supaya menghadapnya.

Aiman Harris atau lebih dikenali dengan nama Tuan Aiman menyandarkan badannya pada kerusi. Kedua tangan disilangkan di dada. Dia memandang Shania dengan muka yang menyampah.

Tergedik-gedik macam pacat yang kena letak dengan garam. Menggeletis betul. Pang bagi sekali baru sedar kot.

"Baby... You ni senyap je," Rengek Shania dengan badannya yang digoyangkan seperti kanak-kanak membentak.

Bertambah geram jadinya apabila Megat tidak membalas rungutannya sebentar tadi. Apa yang jadi sebenarnya.

"Kau jangan nak menggedik sangat depan mata aku boleh tak? Humban dalam hutan sana satgi kang." Aiman mula bersuara apabila tidak tahan lagi melihat perangai gedik Shania. Kisah apa dia kalau wanita itu terasa atau tidak. Memang dia dengan Shania tidak sebulu. Sejak di bangku sekolah lagi. Lagi memalukan bila ada sesiapa tahu yang Shania adalah sepupunya. Euu! Ikut perangai siapa entah.

"Siapa suruh kau tengok?" Garang Shania membalas. Dia mencebik bibir melihat wajah Aiman.

Pandangannya kembali terarah kepada Megat yang hanya mendiamkan diri. Kedua pipi lelaki itu dipegang pula. Anak matanya merenung dalam sepasang mata milik Megat.

"You marah dengan i ke? Hmm?" Soalnya lembut.

Aiman memegang tekaknya yang terasa kembang. Tiba-tiba sahaja terasa loya dan mahu muntah hijau. Sesiapa tolong carikan baldi. Urgent!

"Baby,” Rengekan Shania semakin menjadi. Badannya turut menggedik ikut rengekannya.

"Gediknya perempuan ni. Sekarang ni waktu kerja tahu tak. Dia tengah kerja. Aku tengah kerja. Kau? Menyemak dekat sini. Dah tak de benda nak buat? Kalau tak de benda, pergi buat kerja amal sana." Sembur Aiman melepaskan kegeraman. Dihadiahkan jelingan tajam pada Shania apabila wanita itu mencerlung ke arahnya.

Ingat aku takut? Podah kau.

"Huh, menyibuk je lah kau ni. Jeles cakap jeles." Sindir Shania sambil menjeling Aiman.

"Jeles? Woi, tak de masa aku nak jeles. Buat apa nak jeles dengan sotong tak de tulang macam kau. Buang tabiat ke apa."

Megat memicit pelipisnya. Sakit kepala bertandang lagi mendengar pertikaman lidah di antara dua manusia di sini.

Pantang berjumpa, pasti ada sahaja perkara yang hendak didebatkan. Boleh pecah kepala kalau 24 jam ada dengan dua orang manusia tu.

"Shania...You balik dulu okey. Malam ni i jemput you. Kita dinner sama-sama." Megat bersuara setelah lama mendiamkan diri tadi. Dia sudah tidak tahan menerima sindiran demi sindiran, perlian demi perlian daripada mereka.

"Baby...Tapi."

"I janji."

Shania menghelakan nafas panjang. Nak tak nak, dia bangun juga dari duduknya. Handbag di atas riba dipegang.

"Nanti dah habis kerja you call i okey." Pesan Shania sebelum beredar pergi. Sempat juga dia membaling pen yang terdapat di atas meja ke arah Aiman. Tepat mengenai batang hidung lelaki itu.

Puas hati.

“Nanti dah habis kerja you call i okey.”
Ajuk Aiman sambil menggosok hidung yang mula merah. Dia menghempas kasar fail di tangan melawan bunyi pintu yang dihempas Shania. Rosak pintu bilik aku, kau nak ganti?!

“Hahaha. Risau aku tengok kau.” Megat menyandarkan badannya di kerusi. Butang baju di pergelangan tangan dibuka kedua-dua belah.

“Kau cari mak we lain eh. Jangan nak teruskan dengan perempuan tu. Nak muntah hijau aku.” Tunding Aiman kepada Megat yang masih tersenyum. Nampak ada yang kelakar ke. Aku dah berasap dekat sini tahu tak.

Ketawa meluncur dari mulut Megat. Sekaligus sebagai balasan kata-kata Aiman. Bukannya sekali sahabatnya itu pernah memesan, sudah berpuluh-puluh kali mungkin. Tetapi nak buat macam mana. Kalau dah sayang, yang buruk pun nampak cantik.

Cinta itu buta.

Lagipun salah siapa dekat sini? Kalau Aiman tidak memperkenalkan dia dengan Shania, tidak mungkinlah dia jatuh cinta kepada wanita itu. Sekarang ini, suruh putus pula.

“Jangan nak gelak je lebih. Menyesal kau tak sudah nanti.” Aiman memberi amaran lagi. Botol mineral disebelah diteguk rakus. Sekelip mata sahaja sudah tinggal separuh. Huh, panas.

“Nanti kalau aku jumpa yang lebih berkenan, aku fikirkan lain. Hahaha"
Tersentak Megat apabila ringtone peringatan penting di telefon canggih miliknya berbunyi.

Telefon bimbit di dalam kocek seluar dikeluarkan. Punat kecil di sisi telefon ditekan sehingga skrin yang gelap mula menyala terang.

'11.30 a.m'

“Weh, aku nak ambil Asyaar dulu. Nanti lepas zohor aku datang balik.” Megat bangun dari duduknya. Telefon bimbit kembali disimpan di dalam kocek seluar.

Sudah menjadi kebiasaannya, setiap hari pada jam 11.20 dia akan menjemput Asyaar Lutfan dari sekolah. Kanak-kanak berusia 4 tahun itu adalah anak bujang merangkap anak tunggalnya. Disebabkan seringkali dia terlepas dan terlalai, itu sebablah dia sudah set jam awal-awal untuk menjemput anaknya itu.

“Nak ikut.” Bingkas Aiman bangun.

Megat memandang Aiman atas bawah. Lelaki itu tidak lain tidak bukan, pasti malas mahu menyiapkan kerja yang bertimbun. Kemudian mahu mengekorinya.

“Bukan ke kau ada meeting dengan Encik Fahim? Kau nak tunda lagi?”

“Ah, biarlah. Jom jom...” Telefon bimbit serta dompet di dalam laci meja kerjanya, dicapai lalu dia mengorak langkah, mendahului Megat. Sempat dia menepuk bahu lelaki itu. Jangan haraplah dia akan bagi peluang dekat Megat untuk berjumpa dengan Shania walaupun dia tahu yang Megat tidak pernah menemukan Asyaar dengan dengan wanita itu.

Tetapi semuanya boleh jadi kan. Mana lah tahu kalau-kalau Megat sudah berubah fikiran dan mahu memperkenalkan Shania sebagai ibu tiri kepada Asyaar. Naya budak tu kalau hidup dengan perempuan senteng itu.

Jadi, lebih baik aku selamatkan Asy. Sian anak buah aku.

"Batalkan meeting i dengan Encik Fahim. I ada hal." Pesanan turut diberikan kepada Safiyyah PA nya semasa melintasi meja wanita itu. Hari ini dia mahu menangkan diri. Serabut dengan kerja yang tidak sudah. Lagi pening bila memikirkan raut wajah Shania.

Eee... Ahli sihir tu memang menakutkan.

“SELALU Asyaar balik pukul berapa?” Soal Aiman sambil membetulkan rambutnya melalui cermin sisi kereta. Okey, dah handsome, kacak, tampan, bergaya!

Sekarang mereka sudah tiba di perkarangan sekolah yang menempatkan Asyaar Lutfan. Tetapi tidak pula nampak ibu bapa yang lain. Hanya Mercedes milik Megat yang tersadai di hadapan pintu masuk sekolah.

“11.45” Seat belt dibuka dan mask hitam di bawah dagu ditarik sehingga menutupi hidungnya. Telefon bimbit yang terletak di atas dashboard kereta, dicapai. Sekarang jam baru menunjukkan pukul 11.30. Masih ada 15 minit sebelum sesi persekolahan Asyaar akan berakhir.

“Wah, macam bapak mithali lah!” Bahu Megat ditumbuk perlahan sambil hujung bibirnya terangkat sedikit. Megat hanya mencebik mendengar perlian sahabatnya. Malas mahu melayan.

“Aku tunggu dia dekat dalam. Jangan nak bawak lari pulak kereta aku.” Megat keluar dari perut kereta tanpa menunggu balasan daripada Aiman. Dia membutang blazer biru tua yang tersarung di tubuhnya. Mask hitam di wajahnya dibetulkan dan dia bergerak menuju ke dalam perkarangan sekolah.

Kepala hanya diangguk kepada dua orang pengawal yang berjaga di pondok pengawal. Mereka sudah sedia maklum tentang dirinya, jadi dia tidak perlu melapor lagi. Cukup dengan memakai kad 'khas' pelawat.

Kaki terus diatur menuju ke blok Mesra yang menempatkan beberapa buah kelas tadika. Kemudian dia menuju ke kelas 2. Tersenyum kecil dia melihat anak bujangnya yang duduk di sudut kelas. Muka berkerut Asyaar membuatkan dia geli hati. Comel betul. Anak siapa lah kan.

Matanya dengan Asyaar bertembung. Serentak itu, senyuman Asyaar terbit dan matanya bersinar-sinar melihat papanya sudah berada di luar kelas.

Megat menggeleng kecil. Dia melirik ke arah cikgu perempuan yang sedang mengajar. Mengarahkan supaya anak bujangnya fokus semasa belajar. Apabila Asyaar sudah memandang ke hadapan, terus Megat beredar pergi. Tidak mahu membuatkan anak bujangnya terganggu lagi.

"OKEY... Okey. Kemas buku dulu sebelum balik." Cikgu Alisa menguatkan sedikit suaranya. Melawan kelas yang sedikit riuh dengan suara anak-anak muridnya. Masa balik je semua jadi teruja. Ada pulak si tukang yang mengingatkan waktu balik. Apa lagi, kecoh lah kelas.

"Adrian..beg mana beg?" Soal Cikgu Alisa lembut kepada seorang budak yang sudah melompat-lompat sambil bertepuk tapak. Memang hyper active budak-budak kelas ini.

"Tu beg." Jari kecilnya ditundingkan ke arah kerusi warna kuning. Beg biru berbentuk robot tersangkut di sisi kerusi.

"Okey...simpan buku dalam beg dulu." Arah Cikgu Alisa.

"Papa... Papa."

"Eh Asyaar... Awak berdiri dulu dekat tempat awak." Bahu Asyaar dipegang lalu dipimpin budak itu sehinggalah tiba di tempatnya semula. Laju betul larinya. Kemudian pandangannya terarah pula pada beberapa orang anak muridnya di muka pintu.

"Tia, Lala, Abbas. Awak pun sama. Berdiri dekat tempat awak dulu. Kita tak baca doa lagi..."

"Siapa yang tak berdiri dekat tempat dia, tak boleh balik." Sejurus kata-kata Cikgu Alisa, tergedek-gedek anak-anak muridnya berdiri di tempat masing-masing. Nak kena cakap tak boleh balik dulu, baru nak dengar cakap.

"Kita baca doa dulu... Wal asr'" Cikgu Alisa memimpin bacaan surah Al-Asr dan diikuti dengan anak-anak muridnya yang lain. Kemudian dibaca pula doa naik kenderaan.

Walaupun baru berusia 4 tahun, tetapi mereka semua memang dididik sebegitu sejak awal persekolahan lagi.
Jadi, mereka semua sudah terbiasa.

"Okey...Semua boleh balik... Hati-hati. Jangan lari nanti jatuh pulak." Lembut Cikgu Alisa bersuara semasa semasa anak-anak muridnya bersalaman dengannya sebelum masing-masing keluar dari kelas.

"Papa... Papa." Tergedek-gedek Asyaar lari sebaik sebaik sahaja melihat kelibat Megat yang sedang menunggu di hadapan muka pintu.

Kaki papanya terus dipeluk erat.

Megat tergelak kecil. Dia bertinggung bagi menyamakan ketinggian dengan Asyaar. Tubuh kecil anak bujangnya ditarik ke dalam pelukan lalu ciuman berlabuh di dahi anaknya yang dilitupi rambut.

"Macam mana belajar? Okey?"

Asyaar mengangguk laju mengiyakan pertanyaan Megat. Tangannya melekap di perut. Dia memandang wajah Megat dengan bibir yang memuncung.

Faham dengan renungan Asyaar, Megat tersenyum lagi. Kepala anaknya digosok.

"Jom...Papa bawa makan."

"Yeay!"

--------------------------------

Have a nice day????

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience