BAB 4

Romance Completed 4625

Bukan senang nak pikat. Aku tengok liat je dengan perempuan. Dengan aku ni, sekalipun tak pernah dipandangnya. Dengan kau jelah kalau yang macam cair sikitpun. Tapi sayanglah. Ingatkan kau yang dapat dia, alih-alih dapat kat orang lain. Gigit jari jugaklah kau, ye tak?” panjang lebar Wawa menyampaikan ceritanya. Herot berot bibirnya bercerita.

Nadiya hanya mampu menahan perasaan dan mendengar sahaja berita yang disampaikan Wawa. Pedih. Hatinya pedih, terasa bagai dicarik-carik. Ariz merisik? Bertunang? Siapakah gadis itu? Nadiya gigit bibir. Yang pasti, gadis itu bukan dia. Bukan dia yang ada di hati Ariz. Soalan yang selama ini bermain di benaknya sudah terjawab. Ariz tidak pernah menyimpan rasa yang sama dengannya.

“Nadiya, okey tak?” soal Wawa, risau. Sedari tadi hanya dia yang rancak berceloteh, Nadiya hanya membisu. Khuatir juga kalau gadis polos itu jauh hati. Dia memang tidak dapat membaca apa yang ada di hati Nadiya. Namun dia yakin, Nadiya pasti menyimpan sesuatu perasaan jauh di dalam hatinya. Cuma enggan diluahkan sahaja.

Nadiya angguk bersama senyuman hambar. Cuba untuk tidak mempamerkan perasaannya kala ini.

“Aku.. err.. eh, nanti aku sembang lagi. Bye!” Wawa cepat-cepat berlalu. Aneh. Nadiya menoleh ke hadapan. Patutlah Wawa cepat-cepat sahaja beransur. Kelihatan Ariz sedang menapak masuk ke ruangannya dengan tenang. Ketenangan itu membuatkan Nadiya terluka. Birai mata mula berkaca membuatkan Nadiya tunduk menekur lantai. Inikah kesudahannya?

* * * * * *

NADIYA meraup wajah yang terasa kusut. Mata yang mula berkaca, diseka perlahan. Beberapa kali dia menghela nafas, meredakan perasaan yang mula berombak. Ah, berat sungguh dirasakan beban perasaan yang harus ditanggung saat ini.

Nadiya tidak yakin kalau dia mampu untuk bertahan. Sekian lama hatinya tidak didatangi perasaan asing itu, namun saat perasaan itu mula bertunas, dia harus membayar dengan rasa hampa pula.

Ariz Haikal ialah lelaki pertama yang mendiami hatinya. Tidak pernah dirasakan hatinya bergetar berhadapan dengan mana-mana lelaki lain. Ariz Haikal satu-satunya lelaki yang mampu membuatkan dia tersenyum sendiri.

Hakikat bahawa lelaki itu sudah menjadikan wanita lain sebagai penyeri hidupnya cukup membuatkan Nadiya patah hati. Tidak cukup dengan perkhabaran itu, hati Nadiya terluka lagi dengan berita yang baru diterima uminya.

Dirinya dipinang orang!

Mengikut kata umi, pinangan itu bukan pinangan dari orang asing. Keluarga mereka sudah sangat sebati dengan umi dan abah. Rakan lama abah sewaktu sama-sama mengajar di sekolah dulu katanya.

Nadiya sudah tidak mampu berkata apa-apa memandangkan umi kedengaran benar-benar teruja. Meskipun hanya melalui panggilan telefon, Nadiya tahu pasti wajah umi benar-benar bercahaya tika ini. Dan dia pula merasakan dirinya begitu kerdil berhadapan dengan umi.

Menolak bererti dia telah menghampakan perasaan seorang ibu yang telah berkorban banyak deminya. Segala jasa umi terasa masih belum terbalas, dia bagai tidak punya hak untuk mengatakan tidak kepada umi. Namun, mengatakan ya bererti perasaannya yang terluka. Bererti nama Ariz harus dihapus dari hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience