BAB 1

Romance Completed 4625

Tepat 30 minit berlalu, Nadiya mengangkat kepala yang sedari tadi tunduk menghadap lembaran kertas-kertas kerja yang berselerakan di atas meja. Ah! Dia menyeringai. Lantas tangannya hinggap di belakang tengkuk yang dilapisi hijab.

Baru dia sedar betapa lenguh tengkuknya kini setelah berapa lama menekur meja. Memang sudah menjadi tabiatnya. Kalau sudah hanyut dengan pekerjaannya, langsung lupa semua perkara lain. Bahkan kesakitan yang menyerang bahagian tengkuknya itu juga langsung tidak terasa. Nadiya menggeliat kecil, menghilangkan kelenguhan yang merantai.

“Assalamu’alaikum,” serentak bersama salam yang dihulurkan, terdengar ketukan kecil di mejanya.

Nadiya menoleh. Wajah Ariz Haikal menyapa pandangan. Nadiya melemparkan senyuman tipis. Sekadar berbahasa walaupun perasaan segan mula timbul. Seenaknya sahaja dia menggeliat tanpa memikirkan kemungkinan perlakuannya menjadi bahan pandangan orang. Lebih-lebih lagi jika orang itu ialah Ariz Haikal. Aduhai..

“Lenguh?” Ariz menyoal lembut.

Nadiya hanya mengangguk sebagai jawapan. Hati masih mengutuk kealpaan sendiri.

“Kan saya dah pesan banyak kali, lain kali buat kerja pun ada masa rehatnya jugak. Kerja pun kerja, rehat pun mesti,” lembut nasihat yang diutarakan Ariz membuatkan perasaan Nadiya terbuai. Ah! Terharunya dia dengan perhatian Ariz.

“Dengar tak ni?” soal Ariz lagi apabila tiada balasan yang diterima daripada Nadiya.

“Dengar,” Nadiya mengangguk kecil sambil menekur pandangan ke lantai lagak orang yang baru sahaja dijatuhkan hukuman.

“Take 5 la. Pergi dulu,” sebelum berlalu, sempat Ariz meletakkan segelas Nescaffe yang masih berasap di atas meja Nadiya dengan lagak yang bersahaja.

Nadiya terpaku. Belum sempat dia menyedari, kelibat Ariz sudah hilang. Mug berisi Nescaffe di atas meja dipandang lama. Ah, hatinya terus sahaja terbuai lembut dengan kebaikan yang dihulurkan Ariz. Bukan sekali lelaki itu membuatkan minuman kegemarannya itu.

Sudah berpuluh kali sampai dia juga sudah naik segan. Tapi, Ariz dengan lagaknya yang bersahaja itu membuatkan dia juga hilang cara untuk menghalang. Lama, diambil juga Nescaffe itu dan dihirup perlahan. Ah! Aromanya memang memikat hati. Hilang dirasakan kepenatannya seharian.

“Ewah, bahagia nampak?” sapaan dari meja sebelah mengganggu keasyikan Nadiya menikmati minumannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience