BAB 2

Romance Completed 4625

Dia menoleh ke arah Wawa yang sedang memandangnya sambil tersengih nakal. Nadiya menjegilkan mata. Wawa tergelak halus dan mengangkat punggung lalu mendekati Nadiya yang masih tidak lepas dengan mugnya. Dia menyandarkan bahu di kubikal Nadiya.

“Apa?” Nadiya menyoal seraya mengeluh kecil. Dia tahu niat dan tujuan Wawa saat ini. Paling tidak kalau bukan mahu menyakatnya, pasti mahu membuka cerita yang bukan-bukan.

“Hari-hari dia buatkan kau air, confirm ke tak ada apa-apa?” Wawa sudah memulakan operasi mencungkil cerita. Untung-untung bolehlah dijadikan bekalan untuk gosip terbaru pejabat.

“Ada apa? Rasa nikmat tu adalah. Cuba bau sikit. Haa..! Nikmat sungguh kan. Hilang pening kepala aku,” Nadiya loyar buruk. Mug yang sudah separuh berisi itu disuakan di hadapan Wawa. Kembang kempis hidung si gadis kepoh itu menghidu aroma Nescaffe.

“Main-main pulak kau. Kalau ada udang di sebalik batu, siapa tahu, untung-untung boleh juga aku merasa nasi minyak kau,” Wawa masih tidak mahu beralah memasang jerat.

“Nasi minyak? Kalau nak, nanti datanglah rumah. Insha-Allah aku masakkan,” Nadiya hanya menayang wajah kosong.

“Ishh! Dahlah, malas aku cakap dengan kau. Loyar buruk sungguh,” Wawa mendengus lantas berlalu kembali ke tempatnya. Dia sudah putus asa mahu menyingkap cerita. Bukan sekali dua dia cuba menggali cerita antara Nadiya dan Ariz, namun masing-masing dengan lagak tidak tahu apa-apa.

Dia bukannya apa, mahu juga tahu apa hubungan sebenar antara mereka berdua. Kalau benar ada hubungan istimewa antara mereka, dia tumpang bahagia. Dia akui kalau Nadiya dan Ariz cocok bersama. Ah, biarlah! Nanti lambat laun, terbukaklah cerita. Sampai bila mampu disorok. Ini Wawa Salleh la! Sebut sahaja berita dan gosip terbaru di pejabat, semua ada di celah kuku Wawa sahaja.

Nadiya hanya memandang langkah Wawa dengan hujung mata. Bukan dia tidak sukakan Wawa, bukan juga rimas. Namun, sikap Wawa yang sering menjaga tepi kainnya membuatkan Nadiya khuatir kalau suatu hari nanti akan timbul fitnah.

Dia tidak mahu nanti cerita-cerita yang tidak benar antara dia dan Ariz bakal terjaja satu pejabat. Dia tidak mahu kehormatannya tercalar. Dia juga tidak mahu mengeruhkan hubungannya dengan Ariz.

Benar, dia dan Ariz memang tidak memiliki apa-apa hubungan yang istimewa. Namun, tidak dapat dia menolak hakikat bahawa di sudut hatinya, tertanam nama Ariz Haikal. Dia tidak mampu menidakkan hakikat yang satu itu.

Tapi dia juga tidak mampu untuk meluahkannya. Dia seorang gadis, bunga yang harus menanti waktu untuk dipetik. Dia tidak ingin dikatakan perigi mencari timba walaupun dia tahu zaman sekarang istilah itu sudah tidak diguna pakai.

Tapi memikirkan kemungkinan kalau sahaja dia ditolak mentah-mentah oleh Ariz, mana mahu diletak mukanya. Terasa bagai tebal mukanya mahu menghadap Ariz. Tidak pasal-pasal nati dia dikatakan hidung tak mancung, pipi pula yang tersorong-sorong.

Lainlah kalau dia sudah pasti bahawa dia tidak bertepuk sebelah tangan. Tapi bagaimana mahu memastikan kalau Ariz sendiri tidak pernah membicarakan soal ini. Aduh! Pening dia memikirkan masalah hatinya yang satu ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience