BAB 3

Romance Completed 4625

SEBAIK sahaja melangkah ke dalam ruang pejabat, Nadiya disapa kehairanan. Lengang. Dia memerhatikan sekeliling, kiri kanan namun kelibat rakan-rakan sepejabatnya tidak kelihatan.

Diakah yang terlalu awal datang? Nadiya menyelak sedikit lengan baju, meneliti jam di tangan. Tidak, telahannya salah. Dia datang seperti kebiasaannya. Nadiya menjongketkan bahu. Ah, biarlah. Paling nanti adalah tu.

Nadiya menuju ke kubikalnya dan mulai menyibukkan diri untuk memulakan hari baru. Sedang menghidupkan computer, lengannya dicuit lembut. Dia menoleh. Wawa. Aduh, pagi-pagi lagi dah nak mula kerja part time cik akak ni! Nadiya mengeluh. Kurang berkat rezeki aku hari ni, pagi-pagi lagi dah mengeluh sakan.

“Selamat pagi cik Wawa,” Nadiya sekadar berbahasa. Senyuman tipis diukir. Tidak mahu juga dikatakan sombong.

“Amboi! Pagi-pagi ni macam ceria je,” Wawa sengih. Tubuhnya disandarkan ke kubikal Nadiya.

“Pagi-pagi elok mulakan dengan senyuman dan perkara yang lebih berfaedah. Barulah hati tenang, jiwa senang,” sahut Nadia, selamba. Menyindir? Ah, biarkan empunya yang makan cili terasa sendiri.

“Hah! Ni mesti tak tahu cerita lagi ni,” Wawa sudah memulakan jerat.

“Cerita apa pulak ni?” Nadiya sudah malas mahu melayan. Kalau tak hilang pahala dengar gosip pejabat si Wawa ni setiap pagi, tak sah agaknya hidup Nadiyatul Husna.

“Ariz…” Wawa berjeda. Lama. Mahu melihat reaksi Nadiya. Dia tahu pasti gadis itu tertanya-tanya apakah cerita yang ingin disampaikan mengenai Ariz. Bukan selalu Ariz menjadi bahan ceritanya.

“Ariz? Dah kenapa pulak?” Nadiya menyoal lagi. Aneh. Kenapa pula Ariz menjadi tajuk perbahasan seisi pejabat pada kali ini. Apa yang berlaku?

“Jangan terkejut pulak ye kalau aku cerita,” Wawa masih mahu bermain tarik tali. Suka dia melihat reaksi tidak senang duduk Nadiya.

“Cakap jelah,” gesa Nadiya.

“Dengar cerita, Ariz ada merisik seseorang. Katanya perempuan tu bukan orang jauh dengan dia. Entahlah kawan zaman kecik ke perkenalan atas keluarga ke macamana, tak tahu la pulak. Tapi katanya, pilihan hati dia tu memang tip top la. Baik, kerja pun boleh tahan, beriman. Bertudung lingkup. Kalau setakat aku ni macam tak ada apalah dengan dia. Datang pulak dari keluarga baik-baik.

Dengar ceritanya lagi, bukan setakat merisik je, mungkin sekaligus tunang agaknya. Tapi, yang part tunang tu tak berapa nak pasti sangatlah. Tapi kalau part hantar rombongan, ni Wawa Salleh memang yakin 100%. Kalaulah jadi bertunang, aku rasa tak lama bolehlah kita satu pejabat makan nasi minyak. Hai, beruntung badan siapa yang dapat si Ariz tu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience