BAB 7

Romance Completed 4625

“AKU terima nikahnya Nurul Nadiyatul Husna binti Ahmad Hakim dengan mas kahwinnya RM80.00 tunai,” terlafaznya kalimah itu, barulah Ariz boleh menarik nafas lega.

Dada yang terasa terhimpit sebentar tadi, kini baru terasa lapang. Mendengar pengakuan sah daripada saksi-saksinya membuatkan Ariz makin lega.

Meski dia tahu dengan terlafaznya kata itu, bererti bahunya tergalas dengan satu tanggungjawab yang berat. Tanggungjawab terhadap Nadiyatul Nisa yang kini sudah bergelar isterinya. Ya, isteri! Nadiyatul Husna kini ialah isterinya.

Teringat pula saat ibu dan abahnya mengusulkan untuk menghantar pinangan kepada anak kawan lama mereka. Dia kecewa kerana impian untuk memperisterikan Nadiya bagai mati di tengah jalan. Namun rasa kecewa itu bertukar kepada rasa syukur saat ibu menunjukkan foto Nadiya, gadis dambaannya selama ini.

Siapa sangka aturan Allah itu sangat istimewa. Dipendam isi hatinya selama ini kerana ingin menjaga hatinya dan hati Nadiya daripada bisikan jahat. Ariz yakin bila tiba saat yang seharusnya, dia akan menyuarakan isi hati kepada Nadiya sekaligus memperisterikan gadis polos itu. Belum sempat dia mengorak langkah, Allah terlebih dahulu mencorakkan jalan cerita mereka.

Rasa syukurnya tinggi melangit. Dan Nadiya, ah! Dia tidak tahu isi hati Nadiya. Hanya menurut adik iparnya Nisa, Nadiya langsung tidak pernah cuba mengambil tahu siapa yang bakal menikahinya. Bukan memprotes dengan perkahwinan yang ditentukan ini namun katanya, baik di mata umi, baiklah buat dia.

Tidak perlu untuk mengenali siapakah bakal suaminya jika umi sudah berkenan. Meskipun umi tidak pernah mendesak atau memaksa setiap keputusan yang harus dibuat Nadiya, namun gadis itu hanya akur dengan setiap tindakan umi. Patuhnya Nadiya membuat Ariz makin jatuh hati.

Daripada Nisa juga Ariz tahu bahawa diam-diam, Nadiya memang menaruh perasaan padanya. Namun sebagai gadis, rasa malu yang menebal membuatkan Nadiya diam seribu bahasa.

Ariz bangkit dan menuju ke arah isterinya bila ada isyarat mata daripada sanak saudaranya yang hadir. Dia berlutut di hadapan Nadiya yang masih menunduk. Mungkin malu, mungkin segan. Ah, Ariz terasa kerdil. Dia benar-benar merasakan bahawa dirinya masih gagal memahami isi hati Nadiya. Ariz menghela nafas panjang. Menenangkan rasa hati yang tidak mahu bertenang.

“Assalamu’alaikum,” salam Ariz hulurkan. Lembut.

Nadiya terkedu. Suara itu? Perlahan kepala diangkat. Saat pandangannya beradu dengan pandangan redup Ariz, Nadiya terpempam. Ariz Haikal!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience