BAB 2

Romance Completed 12076

KINI, tinggal Adriana Iffah dan Harraz Rifqi sahaja di ruang tamu. Mariana yang sudah masuk ke bilik tidak pula keluar-keluar sejak tadi. Entah apalah yang dibuatnya di dalam bilik itu.

Senaskhah majalah di atas meja yang sudah sedia terbuka helaiannya menarik perhatian Harraz Rifqi. Perlahan-lahan dia mendekati majalah tersebut.

TANDA-TANDA KITA JATUH CINTA

Suara Harraz Rifqi yang kuat membaca tajuk di dalam majalah itu telah menarik perhatian Adriana Iffah. Spontan dia menoleh ke arah Harraz Rifqi. Keningnya sedikit berkerut. Seketika, dia sudah duduk di sisi Harraz Rifqi. Nampaknya, dia juga tertarik dengan apa yang sedang dibaca oleh Harraz Rifqi itu.

“Jatuh cinta tu, apa ya?” Tiba-tiba Adriana Iffah menyoal.

“Jatuh cinta tu… jatuh cintalah.” Harraz Rifqi menjawab. Yakin sahaja gayanya, walhal, dia juga tidak pasti.

“Sama tak macam kita jatuh tangga?” Adriana Iffah bertanya lagi.

Dua-dua sebutan ada perkataan jatuh. Bukankah lebih kurang sahaja bunyinya tu? Fikir Adriana Iffah di dalam hati.

“Kena jatuh tangga dulu baharu akan jatuh cinta kut,” kata Harraz Rifqi sambil mengusap-usap dagunya. Gayanya seperti sedang memikirkan masalah negara.

“Hahahaha!!!”

Tiba-tiba perbualan dua orang kanak-kanak itu terganggu dengan bunyi ketawa kuat yang sudah kedengaran seperti orang hilang akal. Rupa-rupanya Mariana yang sedang ketawa sambil menekan perut di hadapan pintu biliknya. Geli hati sungguh dia apabila terdengar teori tidak munasabah yang keluar dari mulut Adriana Iffah dan Harraz Rifqi.

“Kenapa Kak Mariana ketawa?” Soal Adriana Iffah tidak puas hati.

Mariana menghampiri Adriana Iffah dan Harraz Rifqi dengan tawa yang masih bersisa. Kemudian, dia duduk di atas sofa tanpa berlengah.

“Korang nak dengar sebuah cerita tak? Cerita best punya!” Ajak Mariana dengan penuh semangat.

Luas bukaan mata Adriana Iffah dan Harraz Rifqi. Teruja.

“Nak… Nak… Cerita cinta ke, kak?” Spontan Rifqi bertanya.

Mariana mengecilkan matanya. Haisy, budak ni. Tak padan dengan kecil. Mahu cerita cinta saja. Hmmm…. sebenarnya salah Mariana juga. Siapa suruh dia letak majalah yang ada topik cinta itu di tempat umum a.k.a di ruang tamu. Tidak pasal-pasal sahaja budak kecil yang membacanya.

“Hei, budak kecil tak boleh tahu cerita cintalah. Gatal Rifqi ni, ya!”

Mariana menegur sambil berpura-pura marah. Matanya dijegilkan ke arah Harraz Rifqi yang sedang tersengih. Sementara Adriana Iffah pula terkebil-kebil tidak faham apa-apa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience